Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Fenomena album 'Sour' bintang remaja Olivia Rodrigo

Album sulung di tangga teratas Carta Muzik Billboard 200; album kedua paling banyak distrim di wadah digital
Jun 02, 2021 | 05:30 AM



KISAH sakit hati, remuk redam, kecewa memanjang dan marah meluap-luap dek putus cinta sarat terisi dalam album bintang remaja Olivia Rodrigo yang kini dianggap fenomena dunia.



Tidak cukup dengan itu, album pertamanya yang berjudul Sour juga menyentuh perihal rasa rendah diri dan putus asa tatkala dibanding-bandingkan dengan orang lain di media sosial.



Pendek kata, album sulung yang terjual sebanyak 295,000 unit di Amerika Syarikat sejauh ini malah merupakan album kedua paling banyak distrim di wadah digital ibarat ensiklopedia dunia remaja yang penuh asam garamnya.



Ia juga berada di tangga teratas Carta Muzik Billboard 200.



Apa-apa yang anda ingin tahu tentang masam manis, pahit getir, pasang surut dan putaran roda alam remaja boleh diperolehi dalam album ini.



Baru-baru ini, Rodrigo, 18 tahun, yang merupakan kacukan Filipina-Amerika dan pelakon siri Disney+, High School Musical: The Musical: The Series, bertemu media Asia Tenggara dalam satu sesi wawancara Zoom, yang turut disertai Berita Harian.



Sesi ini diselaras label rakaman Universal Music.



Beliau yang bermula sebagai model iklan pakaian dan aksesori Old Navy tidak menduga lagu-lagunya diterima baik malah menjadi siulan ramai di merata dunia yang kini dilanda cabaran pandemik Covid-19.



Mengenai lagu patah hati, Drivers License yang dihasilkan selepas hubungan cintanya dengan bekas teman lelakinya terputus, Rodrigo menjelaskan:



"Saya tak sangka lagu ini menerima sambutan luar biasa dan 'menggila' di merata dunia hinggalah saya menonton rancangan sembang komedi Saturday Night Live di mana ada sketsa dipaparkan berdasarkan lagu ini. Saya sampaikan terpekik!



"Ia adalah pencapaian yang sangat 'cool' bagi saya. Saya tidak meletakkan sebarang jangkaan buat lagu ini. Saya hanya duduk di rumah dalam tempoh kuarantin dan mengelamun sambil tatap nombor-nombor pada telefon bimbit saya.



"Tahu-tahu macam mimpi di siang hari apabila Drivers License 'meletup'!"



Lagu ini mengisahkan kekecewaan seorang gadis yang tidak lagi dapat mengotakan harapan memandu ke rumah teman lelakinya setelah memperolehi lesen memandu kerana mereka tiada lagi kaitan cinta.



Ramai peminatnya mengandaikan ia adalah mengenai hubungan cinta lama Rodrigo dengan pelakon Joshua Bassett.



Mereka dikatakan keluar dating sewaktu penggambaran High School Musical pada 2019 dan putus cinta pada awal 2020.



Mengenai pengalaman peribadinya memperolehi lesen memandu pula, Rodrigo berkata beliau gementar bercampur teruja tatkala menjalani ujian memandu.



"Saya adalah pelajar kelas memandu paling patuh undang-undang malah rajin membaca buku panduan memandu dengan baik dan cekap.



"Alangkah gembiranya apabila jurulatih memandu saya mengatakan saya jauh lebih baik daripadanya. Sewaktu ujian, saya hanya buat satu kesilapan berbanding jurulatih yang bikin tujuh kesilapan dalam ujian pertamanya!" kongsinya.



Mengenai sebab mengapa Sour menjadi tajuk album pertamanya yang diterbitkan pada 21 Mei lalu, Rodrigo yang gemar mendengar pelbagai genre muzik khususnya yang dilantunkan rapper wanita, berkata:



"Saya mula mencipta lagu bagi album Sour pada usia saya 17 tahun. Ia adalah secebis perasaan 'Si Manis 17'! Ada rasa marah, cemburu, resah dan tidak selesa dengan diri sendiri.



"Itulah tempoh peralihan di mana emosi bergejolak dan penuh 'angst'. Saya memang suka rasa bingit disisipkan dalam lagu-lagu saya.



"Saya tabik kepada pencipta lagu dan penyanyi lain yang berani tampilkan lirik jujur dari hati. Bagi saya, Sour menggambarkan bibit-bibit rasa tak sedap hati apabila kita putus cinta atau ada konflik dalam diri kita."



Mengenai Deja Vu, satu lagi lagu 'hit'-nya, Rodrigo mengatakan ia adalah rakaman rasa kenangan mengusik jiwa.



Secara umum, ia mengisahkan tentang seorang gadis yang melihat bekas teman lelakinya dengan gadis baru, melakukan perkara-perkara yang pernah mereka buat dahulu seperti berkongsi aiskrim strawberi dan memandu ke Malibu.



"Ia mengisahkan tentang ketulusan seseorang yang hanya kita tahu selepas melalui susah senang bersamanya dengan hubungan itu kemudian menemui jalan buntu.



"Namun, kalau ada yang tanya tentang kenangan 'Deja Vu' yang saya tak mahu lupakan adalah mengenai sambutan ulang tahun ke-16 saya. Ia sungguh indah sebab teman baik saya memberikan saya kejutan," katanya.



Bagi Rodrigo, muzik itu mengubati, penawar hati dan pemerkasa jiwa.



"Kalau orang lain kata, mereka terkesan dengan lagu-lagu saya...apa yang saya sampaikan dekat di hati mereka dan membantu mereka pandang ke depan dengan pemikiran positif, ia cukup buat saya," ujarnya.



Rodrigo kini hanya berharap dunia yang tenat dengan koronavirus akan terubat.



"Saya sebenarnya ingin mengembara dunia dengan muzik saya. Ingin sekali saya ke Filipina, negara asal-usul ayah saya. Saya ada beberapa sepupu di sana. Ingin saya tinjau sejarah warisan saya.



"Antara bintang Filipina yang saya gemari adalah Ratu Universe 2018, Catriona Gray. Orangnya cantik. Suaranya lunak.



"Apabila ada yang kata wajah saya mirip beliau, saya macam...oh ya ke? Catriona adalah wanita tercantik dunia. Betulkah saya sepertinya? Terharu pula.



"Ia buat saya impikan suatu hari nanti, kami berdua dapat berlakon dalam satu filem sebagai adik-beradik atau orang yang sama dalam peredaran masa berbeza," katanya lagi.




TRIVIA



Olivia Rodrigo



- Lahir pada 20 Februari 2003 di Temecula, California



- Kacukan Filipina-Amerika. Moyangnya berhijrah dari Filipina ke Amerika sewaktu usia remaja.



Rodrigo bagaimanapun mesra dengan budaya, tradisi dan makanan Filipina.



- Lagu All I Want dalam siri High School Musical: The Musical: The Series membuat ramai mula ketahui bakat mencipta lagunya.



- Drivers License yang disambut baik pendengar dunia sudah distrim lebih 802 juta kali di Spotify.



- Penyanyi mapan Taylor Swift dikatakan adalah peminat Rodrigo dan sering memujinya di Instagram. Beliau pernah mengirim baju panas buat Rodrigo.



- Rodrigo juga pernah menulis cereka tentang kumpulan One Direction sewaktu di sekolah menengah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >