Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Menjadi Global, Berfikir Secara Tempatan

Menjadi Global, Berfikir Secara Tempatan : Firma kimia Jerman bangunkan bakat S'pura

Evonik hantar pekerja jalani latihan, alih kemahiran teknologi
Jul 15, 2021 | 05:30 AM



Membuka peluang kepada warga Singapura yang berbakat sambil memanfaatkan kepakaran asing. Itulah yang dilakukan syarikat kimia Jerman, Evonik, yang telah membuat pelaburan bagi membangunkan golongan pekerja setempat sejak ia mula bertapak di Singapura pada 1950-an. Apakah manfaat yang diraih pekerja tempatan di atas kehadiran syarikat asal Jerman ini? Apakah program yang mereka perkenalkan bagi menarik dan mengekalkan bakat setempat?




MINATNYA terhadap bidang bioperubatan berputik sejak di bangku sekolah.



Tidak hairanlah Dr Eva Loo, 39 tahun, memilih bidang Kejuruteraan Bioperubatan tatkala mengambil kursus ijazah Doktor Falsafahnya (PhD) beberapa tahun lalu.



Baginya, penyelidikan berkaitan bidang bioperubatan menjadi tumpuan kerana berkaitan dengan kesihatan tubuh manusia. Justeru, dengan tidak secara langsung ia meningkatkan motivasi beliau terhadap minat peribadinya itu.



"Ia ada kaitan dengan kaedah atau proses yang memberi kesan terhadap kesihatan manusia.



"Apabila ini berlaku, pastinya ia dapat memberi manfaat kepada orang ramai," jelasnya.



Yang pasti, apabila penyelidikan berjalan, ia memerlukan kerjasama dengan pelbagai pihak - termasuk kakitangan setempat dan asing.



Berkata demikian semasa ditemui media baru-baru ini, Dr Loo yang kini Ketua, Kejuruteraan Sel dan Tisu di syarikat Evonik, berkata selain kakitangan setempat, kerjasama dengan rakan-rakan asing juga sama penting kepadanya sebagai usaha merancakkan lagi proses penyelidikannya.



"Saya lihat daripada sudut kita perlu dapatkan dimensi yang pelbagai terhadap penyelidikan yang dijalankan.



"Tanpa disedari perspektif daripada rakan sekerja asing itu juga dapat membantu menghuraikan masalah berbilang disiplin.



"Ia juga dapat merancakkan penyelidikan kami berkaitan produk sejagat yang dapat disesuaikan kepada konteks setempat," ujarnya lagi.



PELUANG LUASKAN PENGALAMAN



Dr Loo, yang merupakan saintis penyelidikan yang berpengalaman dalam rekaan dan pembangunan bahan bagi tujuan aplikasi bioperubatan, juga berpeluang melakukan tugasan kemahiran lain di luar bidang penyelidikan dan pembangunan semasa di Evonik.



Beliau akur, pendedahan yang diberi kepadanya termasuk aspek lain seperti peranan tugasan di luar zon keselesaannya, selain didedahkan kepada pengalaman antarabangsa dapat meningkatkan kemahirannya.



"Pada masa yang sama, Evonik memberi saya peluang meluaskan rangkaian hubungan antarabangsa, dan saya juga pernah melakukan tugasan lain pada peringkat pengurusan pertengahan yang memberi saya peluang mengasah kemahiran lain.



"Sebagai saintis dalam penyelidikan dan pembangunan, biasanya seseorang itu berfikiran lebih kepada isu teknikal.



"Tapi, apabila diberi peranan dalam pengurusan pertengahan, seseorang itu perlu juga berhubungan dengan jabatan lain termasuk penjualan, pemasaran dan kakitangan penghasilan. Kadangkala dengan orang awam juga.



"Ini memerlukan saya berfikiran lebih berbeza sedikit, bagi menyampaikan apa yang ingin diketengahkan secara lebih berkesan," katanya lagi.



Beliau, yang meraih ijazah PhDnya dalam Kejuruteraan Bioperubatan daripada Universiti John Hopkins, menyertai Evonik sejak dua tahun lalu.



Mereka terdiri daripada kakitangan di jabatan penghasilan dan bidang-bidang lain seperti sumber manusia, kewangan dan penjualan.



Secara keseluruhannya, terdapat sekitar 800 kakitangan di Evonik di sini.



Evonik aktif di Singapura sejak 1950-an dan sebelum ini ia menggunakan syarikat pengedar untuk menjual produk mereka di negara ini.



Sebelumnya, Evonik pernah dikenali sebagai Degussa dan secara rasmi ditubuhkan di Singapura pada Julai 1997 bagi tujuan pembangunan korporat, dan menyokong perniagaan serta penghasilan di Asia Tenggara.



Secara keseluruhan, Evonik kini menggajikan sekitar 33,000 kakitangan di serata dunia.



SINGAPURA LOKASI IDEAL



Presiden Serantau Evonik SEAANZ, Cik Shirley Qi, yang ditemu ramah media, menganggap Singapura sebagai sebuah lokasi sempurna dengan rangkaian serantau dan sejagat yang strategik.



"Kami juga rasakan Singapura mempunyai bakat-bakat dengan minda antarabangsa, selain pemerintah di sini menyokong kehadiran kami dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).



"Singapura menawarkan juga rangkaian sejagat yang unik. Hab penyelidikan kami berkedudukan untuk meluaskan kerjasama dengan institusi penyelidikan dan pertubuhan - bukan sahaja setempat bahkan di serata dunia. Rangkaian hebat Singapura juga membenarkan kerjasama di serata Asia.



"Singapura juga mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang meluas dengan banyak negara. Pastinya ini memberi manfaat kepada Evonik dan pelanggan kami.



"Dan akhir sekali, Singapura mempunyai bekalan pekerja yang berbakat dan berkemahiran tinggi. Ekosistem R&D Singapura yang rancak menawarkan suasana yang sesuai untuk menarik bakat dalam pelbagai bidang," katanya.



KAKITANGAN SETEMPAT BERBAKAT



Ketua Pembangunan Penyelidikan dan Inovasi Asia-Pasifik Evonik, Dr Ronny Sondjaja, menganggap kehadiran syarikat itu di sini membuka peluang kepada usaha menarik, membangun dan terus mengembangkan bakat-bakat setempat.



"Di hab penyelidikan kami, saya lihat kakitangan setempatnya sudah bersedia bekerja dalam rangkaian penyelidikan dan pembangunan antarabangsa. Mereka memang berbakat.



"Sebabnya, bakat setempat, termasuk saya sendiri, telah dilengkapi dengan ekosistem sedemikian, memandangkan kami sudah didedahkan kepada syarikat berbilang bangsa seperti Evonik semasa dalam pengajian.



"Semua pekerja setempat dan asing biasanya mempunyai rakan yang akan memperkenal beliau kepada budaya kerja di sini apabila mula masuk. Inilah yang dinamakan sistem buddy," jelasnya yang merupakan anak kelahiran Indonesia dan kini warga Singapura.



Sebelum ini, beliau melanjutkan pengajiannya di sini dan akur akan cabaran yang dihadapi ketika beliau mula-mula bekerja di syarikat itu.



Nasibnya baik kerana mendapat sokongan daripada rakan-rakan sekerja.



Sehinggakan ada sesetengah rakannya yang datang dari sejauh Jerman untuk membimbingnya dalam menjalankan tugasannya, katanya yang mempunyai ijazah PhD dalam Kejuruteraan Kimia.



Salah seorang bakat setempat, Dr Lim Teck Chuan, yang bekerja selaku Pengurus Projek Kejuruteraan Sel dan Tisu, menganggap kerjayanya dengan Evonik menjadi lancar memandangkan syarikat itu mempunyai "platform dan asas kukuh justeru memudahkan pekerjaannya".



Beliau, sebelum ini, yang pernah bertugas dengan Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR), menyertai Evonik sejak dua tahun lalu.



Ditanya mengenai isu adakah pekerja asing mengambil peluang pekerjaan daripada penduduk setempat, beliau berkata kehadiran kakitangan asing memberi peluang kepada pekerja setempat dan asing saling menimba pengetahuan masing-masing.



"Saya lihat dari sudut jangka panjang. Contohnya, sekiranya saya inginkan pengalaman kepakaran khusus untuk penyelidikan dan menghasilkannya secara besar-besaran, maka saya akan dapatkannya daripada luar Teknologi Massachusetts.



"Justeru, banyak manfaat sebenarnya yang dapat diraih sekiranya kita berpandangan jauh dan positif,'' katanya.



Seperti syarikat lain yang terjejas dek pandemik Covid-19, kakitangan Evonik juga mengamalkan sidang melalui dalam talian di mana mereka saling berkongsi pengetahuan secara dua hala.



Pastinya ini baik bagi kakitangan setempat dan asing.



Seorang kakitangan asing, Cik Anna Verges, yang berasal dari Sepanyol pula menganggap penting rakan sekerja setempat dan asing terus bekerjasama kerana ia memberi peluang agar sama-sama berkembang.



"Kita tinggal dalam dunia yang global di mana wujudnya rangkaian antarabangsa.



"Maka penting belajar daripada semua pihak, termasuk daripada luar negara.



"Ini akan membuka peluang untuk berkembang bukan sahaja bagi kakitangan asing, malah kakitangan setempat yang bekerja dengan syarikat berbilang negara," kata penyelidik bersekutu yang bekerja di syarikat itu sejak awal tahun lalu.




 • Laporan ini dibawakan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).




PROGRAM EVONIK YANG BOLEH DIMANFAATKAN KAKITANGAN SETEMPAT



PROGRAM PENJUALAN DAN PEMASARAN ANTARABANGSA (ISAM)



 • Bagi dimanfaatkan kakitangan muda dalam kerjaya penjualan antabangsa dan pemasaran.



 • Program pembangunan bekerja selama dua tahun disusuli dengan latihan teori yang intensif.



 • Tawar kakitangan baru peluang sesuaikan diri dengan pelbagai bidang, dengan sekurang-kurangnya satu peluang bekerja pada peringkat antarabangsa selama berbulan dengan latihan dalam bahasa asing.



PROGRAM LATIHAN PEMASARAN DAN PENJUALAN CEMERLANG



 • Tawar pasukan pemasaran dan khidmat pelanggan dengan latihan mendalam berkaitan beberapa topik yang sesuai dengan bidang kerja mereka.



 • Topik ini termasuk kemahiran seperti pengurusan perhubungan dan rundingan, selain risikan pemasaran.



 • Sukatan pelajaran berperingkat disediakan mengikut tahap kesukaran.



LANDSKAP PEMBELAJARAN PENGAYAAN DIGITAL



 • Sumber pembelajaran bagi menyokong perkembangan pekerja.



 • Contohnya, kurikulum 'Learning Journey: Asia' yang disediakan Perpustakaan Pembelajaran dan Individu Evonik (LILY).



 • Bagi dimanfaatkan semua pekerja, pasukan pengurusan serantau Asia- Pasifik Evonik sumbang kepada inisiatif 'Asia - Empowered for Growth'.



 • Ia merupakan satu perjalanan pembelajaran yang direka bagi galak mereka teroka peluang pembelajaran. Ini termasuk topik kewangan, pemikiran dan strategik, serta inovasi bagi memastikan pekerja daripada semua peringkat diperkasa dengan set minda dan set kemahiran yang betul.



 • 'Evonik Learning Hour': Sesi secara langsung selama sejam yang memberi peluang belajar daripada pakar Evonik mengenai pelbagai topik. Ini termasuk kemahiran digital, panduan inovasi dan proses penyesuaian, bagi memastikan kakitangan dapat membantu pekerja baru sesuaikan diri dengan baik



PEMBANGUNAN BAKAT



 • Evonik merupakan sebuah syarikat global, dan ia memastikan akan terus membentuk bakat secara skala global.



 • Singapura merupakan sebahagian daripada program pembangunan bakat yang mengenal pasti eksekutif berpotensi pada masa depan serta sediakan mereka dengan pelan khusus bagi latihan dalam bidang tertentu.



 • Mereka akan mempunyai mentor, pembimbing, pertukaran maklum balas yang berterusan dan juga program pekerjaan serta kehidupan yang seimbang. Ia juga memberi peluang kepada mereka bagi meluaskan rangkaian dan bekerjasama dengan bakat-bakat Evonik lain secara meluas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >