Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Tiga wanita peneraju TV Melayu S'pura

Kekal berkhidmat sejak 40 tahun lalu, tempuhi pelbagai pengalaman, tugas dan jawatan
tv
Oct 17, 2021 | 05:30 AM



Langkah tiga wanita ini dalam meniti kerjaya, bermula seiringan sejak di pusat pengajian tinggi - ketiga-tiganya merupakan lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS).Kemudian mereka memulakan kerjaya di stesen televisyen tempatan pada tahun yang sama pada 1981. Walaupun masing-masing mempunyai skop kerja yang berlainan, ketiga-tiga mereka kekal berkhidmat sehingga 40 tahun - dari era Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) hingga terkini, Mediacorp Pte Ltd. Ketiga-tiganya dilihat sebagai antara wanita peneraju yang memainkan peranan penting dalam membentuk wajah penyiaran televisyen Melayu tempatan. Ikut temubual BERITA MINGGU melalui HANIM MOHD SALEH (hanim@sph.com.sg) dengan wanita peneraju TV yang dimaksudkan - Sabariah Ramilan, Azizah A. Malik dan Amanah Mustafi.




Main peranan pemangkin masyarakat menerusi drama



ADA sebab mengapa kalau disebut tajuk-tajuk drama Melayu televisyen tempatan yang meninggalkan kesan mendalam sehingga berjaya memenangi anugerah, pasti akan terkait dengan nama Azizah A. Malik.



Drama seperti 'Anak Metropolitan', 'Teater Komedi', 'Tetangga', 'Rahsia Perkahwinan', 'Jeritan Sepi', 'Gerimis Di Hati', 'Embun Di Tengah Hari', 'Aduh Bibikku', 'Bingit', 'Bunga Tanjong' dan 'SAGA' adalah antara ratusan rancangannya yang diterajuinya.



Sebagai penerbit eksekutif kanan Eaglevision, Mediacorp, beliau akui sering memasang niat dan azam, iaitu apa saja bentuk kisah yang dihidangkan kepada masyarakat, ia haruslah mengandungi nilai-nilai hidup yang boleh direnungkan, menimbulkan kesedaran, sekali gus mempengaruhi penonton untuk refleksi diri.



"Saya merasa bertanggungjawab memainkan peranan sebagai pemangkin membentuk masyarakat dengan isu-isu yang diketengahkan. Ia juga cara untuk berdakwah dengan cara terbaik yang saya mampui dengan segala peluang dan keterbatasan. Walaupun rating tontonan itu penting bagi kayu ukur kejayaan drama-drama yang saya terbitkan, bagi saya sikap tanggungjawab terhadap apa yang saya dan pasukan saya hidangkan itu adalah lebih utama," kata penerbit veteran yang disegani ramai pelakon itu.



Azizah, yang menyertai Mediacorp pada Julai 1981 ketika stesen itu masih dikenali sebagai Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), sejurus selepas mendapatkan ijazah Sarjana Muda (Major) dalam bahasa Inggeris dan Sosiologi di NUS apabila saluran Melayu stesen itu sedang giat membangunkan unit penerbitan rancangan Melayu.



HARGAI MENTOR



Sebagai pengarah drama muda ketika menyertai stesen itu 40 tahun lalu, Azizah berkata beliau mendapat bimbingan dan dorangan daripada pengarah Allahyarham Bani Buang yang dianggap mentor yang tidak lokek ilmu dan sabar.



"Zaman saya masuk dulu, tak ada kursus penerbitan TV di pusat pengajian tinggi. Jadi, saya terpaksa bergantung kepada bahan-bahan dan tunjuk ajar mentor saya, Allahyarham Bani Buang. Mujur beliau banyak membantu seperti seorang guru dan anak muridnya.



"Agak mencabar ketika itu kerana hampir semua drama tempatan ketika itu dihasilkan oleh pihak stesen sendiri. Tetapi, jangkaan masyarakat tinggi kerana pada era itu, teknologi baru sudah mula berkembang dan penonton sudah mula banyak pilihan terutama filem-filem dari negara jiran.



"Rakaman untuk suasana dalam rumah atau bangunan hampir semua dibuat di studio. Di studio jugalah kita masukkan semua aspek penyuntingan termasuk muzik dan kesan bunyi," singkap Azizah.



Sepanjang menerbitkan drama selama empat dekad, Azizah berkata beliau sentiasa merasakan dirinya masih "belajar dan bersekolah" mengenai perubahan dan pengembangan teknologi penerbitan.



Azizah, melalui era penerbitan kaedah analog sehinggalah kini era digital, boleh membawa penonton mengembara ke serata pelosok dengan layar hijau.



SERONOK DENGAN KERJA



"Saya rasa tertekan? Tidak juga sebab mungkin kerana saya dikelilingi rakan-rakan kerja yang mudah bekerjasama. Kami seronok dengan kerja kami. Selalu teruja dengan projek baru, cabaran baru dan belajar benda baru. Keadaan jarang membosankan sehingga kadangkala tak terasa kami bekerja, tetapi melakukan apa yang kami suka," ujar beliau.



Antara drama yang dianggap paling meninggalkan kesan dalam masyarakat ialah 'Rahsia Perkahwinan', yang dibuat di bawah penyeliaan Khamaliah Salleh. Drama itu memenangi Drama Terbaik dan Arahan Terbaik Pesta Perdana.



"Saya anggap 'Rahsia Perkahwinan' mantap dan bermakna dari semua aspek... cerita, pengarahan, mutu lakonan dan kesan kepada penonton," ujarnya.



Dilihat sebagai pengarah dan penerbit yang lembut berbicara dan fokus dengan tujuannya, Azizah berkata, antara perkara yang memudahkan langkahnya ialah bekerja dengan "para pelakon yang boleh berfikir."



"Saya suka bekerja dengan pelakon bijak yang boleh berfikir. Mereka juga bantu saya memperbaiki mutu penerbitan. Sebab itu beberapa pelakon yang pernah bekerjasama, sudah diberi peluang mengarah drama. Ada yang menulis skrip. Ini adalah antara proses mengembangkan bakat dan membentuk kerjaya mereka," ujarnya.



Antara ramai pelakon yang mendapat peluang demikian termasuklah Azhar Nor Lesta dan Siti Aishah.



Bagi Azizah, kejayaan yang dicapainya sebagai penerbit eksekutif dan pengarah tidak terletak kepada pencapaian anugerah yang dimenangi, baik di Pesta Perdana atau di Festival Televisyen Asia, bahkan apa saja bentuk pengiktirafan masyarakat untuk rancangan dan pelakon terlibat dianggap sebagai satu kejayaan manis.



Antara drama yang diterajuinya sebagai penerbit eksekutif yang diiktiraf di peringkat antarabangsa ialah 'Bunga Tanjong' (Anugerah Televisyen Asia 2016) untuk kategori Pelakon Pembantu dan sebagai siri mini Finalis Top 5 kategori Drama Terbaik di Festival Filem New York 2017.




Skrip komedi boleh, buat penonton menangis pun mahir



ANDA tidak perlu menjadi seorang pelawak untuk mampu menghasilkan skrip komedi.



Apa yang lebih penting ialah kemahiran menggabungkan imaginasi situasi adegan dengan gelagat-gelagat manusia yang biasa dilihat di depan mata.



Masih segar di ingatan penulis dan pengkaji rancangan Amanah Mustafi bagaimana beliau pertama kali mencabar diri untuk menghasilkan skrip sketsa komedi pada sekitar awal 1990-an.



"Saya masih ingat pada era 1980-an, kalau perlukan skrip komedi, biasanya kita dapatkan khidmat Cikgu Yusnor Ef. Kemudian saya terfikir, apa sebenarnya yang diperlukan untuk buat naskhah komedi? Setelah mengkaji, saya cabar diri untuk tulis skrip komedi. Tetapi ternyata, untuk buat penonton ketawa adalah lebih sukar daripada menulis untuk buat orang menangis.



"Maklum balas skrip pertama komedi saya agak baik... ia dihoskan Sahfudin Mahfudz dan Amzah Adon. Pengarah Amirudin Abbas, tak cakap apa-apa, tetapi beliau minta saya tulis lagi skrip komedi untuk rancangan seterusnya," cerita Amanah.



Sejak itu, beliau menghasilkan lebih banyak naskhah komedi termasuk untuk drama 'Bubur Masjid Air Kathirah' dan '2 X 5 Dol'.



LALUI PENDEDAHAN LUAS



Sepanjang 40 tahun perkhidmatan, Amanah, yang kini penulis penyelia eksekutif, Eaglevision/penyokong operasi penerbitan (kandungan) telah didedahkan dengan semua bentuk program yang pernah disiarkan di saluran Melayu.



Bermula sebagai pengkaji rancangan, beliau kemudian turut menulis skrip TV bagi program kanak-kanak seperti 'Aksi Mat Yoyo' dan 'Tok Selampi't, informasi seperti 'Mustika' dan 'Potret Keluarga', hiburan, budaya dan drama serta menerbitkan program ehwal semasa di radio dan televisyen.



"Boleh dikatakan saya seronok melalui kesemua fasa perkembangan kerjaya saya. Mula-mula saya dimasukkan ke bahagian Ehwal Semasa, saya berpeluang berjumpa dengan para pemimpin, peka dengan isu-isu semasa. Tetapi, setelah empat tahun, saya dipindahkan ke bahagian kreatif pula... jadi bergaul pula degan golongan artis dan seniman," kata Amanah.



Tidak pernah merasa bosan dengan kerjanya, Amanah berkata tugas sebagai penulis seperti menyerap nasi kehidupan dan mencurahkannya semula secara kreatif untuk refleksi diri.



Sebagai penulis, beliau belajar menghasilkan lakaran konsep drama bersiri seperti 'Selagi Ada Kasih', 'Jeritan Sepi' dan 'Gerimis Di Hati'.



"Bukan senang nak buat lakaran konsep secara berepisod dengan terperinci. Saya masih ingat, ketika membuat lakaran bagi siri 'Gerimis Di Hati', imiginasi saya tentang keadaan hidup yang tertekan dengan kemelesetan ekonomi, menerawang hampir sepanjang 24 jam, kecuali semasa tidur. Kadangkala sampai termimpi-mimpi," kongsi beliau, sambil menambah, beliau banyak mendapat bimbingan penulis mampan Hamed Ismail yang disifatkan sebagai "seorang yang begitu luas pembacaannya."



AKTIF DALAM PENULISAN SASTERA



Menariknya, penglibatan Amanah dalam dunia penulisan tidak terbatas di televisyen dan beliau aktif juga dalam penulisan sastera dan lirik lagu.



Pada 2015, lirik lagu 'Titik Merah' telah menjuarai pertandingan Liriik Baiik, anjuran Berita Harian/Berita Minggu. Dua naskhah skrip dramanya dipilih untuk buku 'Tekad', antoloji bagi pelajar Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' (2012) dan buku 'Titik Pertemuan', antoloji bagi pelajar peringkat GCE 'A' (2021).



Beliau juga pernah mewakili negara ke Program Penulisan Mastera di Bogor, Indonesia pada 2010 dan di Penulisan Antarabangsa di Iowa, Amerika Syarikat pada 2016. Beliau diundang menjadi ahli panel di Pesta Penulis Singapura pada 2017 dan 2018.



Sebagai penulis, Amanah akui pernah juga melalui detik karya yang diusulkan ditolak kerana isu-su peka. Antaranya naskhah mengenai kehidupan seorang "mak nyah" yang disiapkan pada 2009.



Apabila ditanya kelebihan kekuatan seorang penulis wanita, Amanah berkata beliau tidak pernah melihat jantina lelaki atau wanita sebagai penentu mutu sesebuah naskhah.



"Cuma wanita ni... kalau tulis tentang isu orang perempuan, perasaan dia lebih emosi dan mendalam. Penulis lelaki lebih objektif," ujar beliau.




Dari pengkaji ke bos stesen TV dan radio



TIDAK ramai golongan "bos" dalam pertubuhan gergasi boleh mengakui mereka membina kerjaya langkah demi langkah dari peringkat bawah.



Namun, Sabariah Ramilan, apabila menyingkap pengalaman kerjayanya selama 40 tahun di stesen televisyen, boleh berbangga menceritakan perjalanannya yang cukup luas - bukan setakat dalam pelbagai tugasan dari peringkat asas hingga bertaraf majikan, bahkan mendapat pendedahan di saluran Inggeris dan Melayu, Channel 5 dan Suria dan Vasantham juga.



Sabariah, yang kini memegang jawatan Ketua, Audiens Melayu & Eaglevision, Mediacorp sejak 2018, menyertai stesen itu pada 1981 sebagai pengkaji rancangan sebelum menjadi penulis dan kemudian penerbit.



Beliau juga sempat menjadi hos rancangan majalah 'Potret Keluarga'.



"Saya tak pernah bosan dengan kerjaya saya kerana perubahan dan cabaran baru selalu ada. Teknologi berubah dan berkembang, kita pun kena ikut berubah dan meningkatkan kemahiran.



"Dulu kita buat rakaman di studio, gunakan sistem anolog. Kemudian beralih ke digital. Kini, selain memastikan rancangan-rancangan untuk siaran saluran percuma (FTA) tetap bermutu dan terjaga, kita juga kena bersaing di wadah media sosial.



"Tetapi, saya seronok kerana sentiasa belajar benda baru. Sebab itu walaupun dah 40 tahun bekerja, tidak begitu terasa. Bahkan boleh dikatakan, dalam tempoh tiga tahun lalu... apa yang saya belajar adalah lebih banyak dan cepat daripada era lalu. Usia bukan faktor penghalang untuk belajar dan cuba perkara baru," ujarnya.



DAMBAKAN CABARAN



Mencabar diri untuk menghasilkan program dengan pendekatan berbeza sering didambakan Sabariah dan beliau menyukai debaran yang menguji kemampuannya.



Antaranya projek "mendebarkan" yang tidak boleh beliau lupakan ialah membawa konsert Simfoni Layar Perak, pementasan berdasarkan lagu-lagu filem era Studio Jalan Ampas, ke Teater Konsert Esplanade pada 2003. Beliau bekerja rapat dengan peneraju projek, Aimi Jais.



"Itulah kali pertama kami adakan konsert di Esplanade. Pening kepala memikirkan konsert berskala besar dengan bajet yang sangat terhad. Kami kemudian menjalin kerjasama dengan pihak Istana Budaya (IB) di Kuala Lumpur... sebahagian besar pemain orkestra dan penyanyi seramai 65 orang adalah dari pihak IB dengan susunan muzik sebahagiannya disiapkan pengarah muzik Singapura, Allahyarham Iskandar Mirza Ismail.



"Hasil kolaborasi ini memenuhi impian kami, dan sebagai sebahagian perjanjian, konsert serupa diadakan di KL, selang beberapa minggu kemudian. Nak jimat belanja, semua pemuzik naik bas ke KL, dan yang lain pandu kereta sendiri," cerita Sabariah.



Pada 2014, beliau diberi tanggungjawab mengetuai Eaglevision, yang menghasilkan rancangan untuk Suria dan Vasantham. Di bawah penyeliaannya, rancangan drama seperti 'Bunga Tanjong', 'Bingit', 'Vettai', 'Amarkala Deepavali', 'Mat Yoyo', dan siri 'Anugerah' telah memenangi anugerah penerbitan.



Setelah empat dekad berkhidmat dan melalui pelbagai pendedahan, Sabariah berkata jika diberi kesempatan, beliau mahu kembali menulis.



PERNAH INGIN BUAT FILEM



"Dulu saya simpan angan-angan nak buat filem. Jika saya masih muda, saya mungkin ke Los Angeles untuk belajar buat filem. Belajar tentang penerbitan televisyen daripada tokoh-tokoh hebat dunia, sebab dulu di universiti saya ikuti bidang sains masyarakat... bidang penerbitan TV dan filem belum ditawarkan di institut pengajian tinggi setempat.



"Angan-angan itu mungkin kini sudah pudar sebab saya sudah belajar lebih banyak benda yang saya tak jangka, tetapi menggembirakan saya. Saya sangat bersyukur. Bagi saya, apa pun peluang yang ada selepas ini, ia adalah bonus dan amanah akan tetap dijalankan, tak kira kecil atau besar," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >