Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

PESTA FILEM GEYLANG SERAI

Geylang Serai dari lensa video anak muda, orang lama

Pesta filem WGS beri peluang karyawan kreatif arah filem pertama, dinobat juara
Oct 26, 2021 | 05:30 AM



SETELAH lapan tahun berkecimpung dalam bidang perfileman, bermula sebagai jurubunyi dan kemudian penolong pengarah, Aidil Muhaimin Ramlee, mengimpikan pula tugas sebagai pengarah.



Kebetulan, tiga tahun lalu, beliau sudah menyiapkan skrip untuk diusahakan sebagai sebuah filem ringkas.



Sayangnya, ketika itu rezeki tidak berpihak kepadanya kerana pelbagai hambatan yang timbul saban tahun.



Daripada penggambaran yang tidak menjadi kerana temannya menyifatkan skrip yang dihasilkan belum cukup baik kepada bapanya terlantar di hospital sewaktu Ramadan pada tahun berikutnya.



Apabila sudah dua kali projek filem ini tertunda, tahun lalu pula pandemik Covid-19 melanda sehingga menyulitkan proses penggambaran kerana sekatan langkah keselamatan.



Namun, sudah tertulis rezeki projek filem lima minit, Samad Hari Raya, yang juga terbitan Shafiq Affandi, menjuarai Pesta Filem Geylang Serai (GSFF) anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) tahun ini.



Menyusuli pemilihannya sebagai juara dan pengarah terbaik, Aidil, 30 tahun, yang terlibat sebagai penolong pengarah drama Suria, Tekan Minyak dan Tai Tai Berkecai, ditugaskan bagi menghasilkan filem ringkas 30 minit bertajuk Nyatu yang dibintangi Farhan Shah, Reuben Elishama dan Lydia Asyiqin, baru-baru ini.



Pada Khamis lalu, filem tersebut ditayangkan di Festive Arts Theatre@Our Tampines Hub (OTH), dalam sesi tayangan perdana yang turut dihadiri Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).



GSFF yang menerima 12 penyertaan video diadakan bagi mendekati masyarakat menerusi filem, pengimejan dan keratan video tentang Geylang Serai hasil penceritaan lensa pembikin filem berbakat.



Kriteria utama yang ditetapkan adalah setiap filem mestilah berlatarbelakangkan landskap Geylang Serai yang berwarna-warni.



Penilaian penyertaan dibuat pengarah Sanif Olek; konsultan media, Sabariah Ramilan; dan pelakon serta pengarah, Rafaat Hamzah.



Peserta dinilai dari segi penceritaan, kandungan, nilai penerbitan dan sandaran pada tema.



Semua filem juga harus menyisipkan dialog dengan frasa unik 'Lorong Engku Aman' (jalan terkenal di Geylang Serai) atau Pak Dollah Beca.



Samad Hari Raya yang menggabungkan pelakon dan penggunaan boneka, mengisahkan tentang Samad (si boneka) yang tidak dapat pulang beraya kerana gajinya dipotong selepas kehilangan projek seorang klien.



Dalam semangat memberi Ramadan, rakan sekerjanya Danial menghadiahkan baju kurung baru buat Samad dan seisi keluarganya.



Ia membentangkan tentang kemurnian persahabatan dua insan dan konsep berzakat.



Mengulas mengenai projeknya itu, Aidil yang pernah terlibat sebagai jurubunyi bagi projek saluran antarabangsa National Geographic berkata:



"Saya menggalas bermacam-macam amanah sebagai pengarah, penggerak boneka dan jurubunyi dalam filem ini.



"Sebelum ini, saya pernah terlibat dalam program yang menggunakan boneka. Justeru, saya ingin teroka penggunaannya bagi filem ringkas ini."



Menurutnya, segalanya memang diatur cantik dan tepat pada masanya. Walaupun tiada bazar Raya tahun ini, beliau menggunakan kedai baju kurung di Tanjong Katong Complex sebagai gantian bagi mewujudkan 'mood' Lebaran.



Aidil juga tidak pernah berputus asa apabila rancangannya menghasilkan Samad Hari Raya sebelum ini kerap tertunda sebanyak tiga kali.



"Allah tahu masa yang tepat dengan ganjaran lebih baik. Saya masih ingin belajar daripada mengamati karya pengarah seperti Sani Husin dan Seri Wahyuni Jaes.



"Bagi saya, GSFF adalah platform yang baik untuk pembikin filem meneroka teknik penggambaran baru. Lagipun, dalam zaman sekarang, penggambaran dan suntingan filem boleh dibuat dengan menggunakan telefon bimbit. Tidak perlu peralatan mahal," jelasnya lagi.



Mengenai pengertian Geylang Serai buatnya pula, beliau mengingati peredaran bazar serta Pasar Geylang Serai yang membuatnya teringatkan zaman nostalgia makan telur penyu dan kuih Melayu di situ.



Baginya, Geylang Serai kini adalah hab seni dan penjana rezeki buat karyawan kreatif sepertinya melalui pelbagai projek yang disediakan WGS.



Naib juara GSFF, Husin Saaban, 67 tahun, yang menghasilkan naskhah dan mengarah filem 242 Lorong Engku Aman tentang bekas penduduk kejiranan itu, Joe, yang mempunyai demensia pula berkata:



"Sebagai 'orang lama', saya sudah melihat perkembangan pesat dan peredaran Geylang lama kepada Geylang baru. Saya sukakan peluang mengkaji kejiranan ini dan berbual dengan bekas penduduk kawasan ini.



"Awalnya, terfikir nak buat cerita tentang keturunan Pak Dollah Beca. Namun, memandangkan kita tak boleh keluar daripada kawasan Geylang dan memikirkan kesulitan mencari beca, saya lupakan sahaja idea asal ini.



"Melalui watak Joe yang ada demensia, saya cuba paparkan bagaimana insan dengan kondisi ini boleh dibantu dengan menyusur jalan kenangan misalnya, zaman kanak-kanaknya atau zaman bujangnya membesar di Lorong Engku Aman."



Antara perkara yang beliau tidak dapat lupakan adalah merakam lampu Raya di Geylang dalam keadaan mata kanannya yang baru menjalani pembedahan tidak dapat melihat dengan jelas.



"Penggambaran dah siap. Penyertaan dah nak dihantar tetapi macam ada yang kekurangan. Sanggup saya korbankan keadaan yang sakit mata, hanya kerana nak rakam video lampu Raya!"



Apabila ditugaskan membuat filem susulan bertajuk Hijrah tentang taubat seorang anak yang banyak mengecewakan ibunya, Husin yang dikenali sebagai pelawak dan penulis skrip komedi, mencabar dirinya agar bikin filem serius yang penuh pasang surut emosi.



"Saya bersyukur dengan projek ini, saya dapat kongsi rezeki dengan teman lain serta buka peluang buat karyawan kreatif seperti Yazri Malik yang buat video muzik MTV untuk bikin filem ringkas dan cipta runut bunyi buat filem saya," jelas Husin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >