Subuh
5:35
Syuruk
6:52
Zuhur
12:56
Asar
4:03
Maghrib
6:58
Isyak
8:07
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

'Gadis dan Bunga' usaha mekarkan misi seni Fathin, Rahimah

Mar 11, 2021 | 05:30 AM

RASA rindu bakat Singapura, Fathin Amira Zubir, menyanyi saban minggu di majlis kahwin dek sekatan pandemik Covid-19 terubat seketika apabila mendapat tawaran Esplanade.

Fathin, 29 tahun, anak ikon muzik tradisional Singapura, Zubir Abdullah, malah teruja dapat berkongsi pentas dengan biduanita legenda yang dihormatinya, Rahimah Rahim, pada 26 Mac ini.

Mereka berdua akan menyerikan konsert sejam 15 minit, Gadis dan Bunga, yang akan berlangsung di Dewan Konsert Esplanade mulai 8 malam.

Acara sempena program susuri jalan kenangan A Date With Friends 2021 itu juga diadakan dalam talian dari 26 Mac hingga 11 April.

Ketika dihubungi menerusi aplikasi Zoom, Fathin, yang dikenali kerana rajin menyertai peraduan daripada Singapore Idol 3, The Final 1, SG Mania, Asia's Got Talent hinggalah I Love OPM di Filipina, berkata:

"Saya sebenarnya terkilan sebab sudah lama tidak menyanyi di majlis kahwin kerana hanya muzik instrumental sahaja dibenarkan.

"Undangan Esplanade begitu istimewa buat saya, apa lagi dapat buat persembahan di dewan konsert yang besar bersama Kak Gerl (panggilan buat Rahimah).

"Dalam perjalanan kereta bersama ayah, kami pernah berangan-angan. Ayah kata suatu hari nanti, selepas buat persembahan di ruang legar dan teater luar Esplanade, saya pasti akan sampai ke dewan konsert.

"Alhamdulillah, kirakan saya ambil masa 11 tahun untuk akhirnya mencapai cita-cita menyanyi di dewan konsert Esplanade."

Beliau, yang akan memberi penghormatan buat tiga diva pilihannya - Anita Sarawak, Hetty Koes Endang dan Vina Panduwinata - dalam konsert ini akan membawa penonton menyusur jalan kenangan kerjaya seninya.

Ditanya apakah dilahirkan dalam keluarga seni (ibunya Masayu Johari juga penyanyi) menimbulkan tekanan buatnya, Fathin tertawa seraya berkata:

"Ia satu tekanan yang baik sebenarnya dengan saya dapat mendengar komen membina ibu ayah selepas setiap persembahan.

"Saya lihat diri saya berubah dalam tempoh sedekad. Daripada seseorang yang pendiam dan hanya menyanyi, saya kini lebih tekankan soal interaksi bersama penonton.

"Ini juga yang banyak saya belajar daripada Kak Gerl. Beliau banyak berkongsi tentang pengalaman hidup sebagai penyanyi yang bermula dari usia belasan tahun.

"Saya dapat kaitkan diri saya dengan pengalamannya sebab beliau pun datang dari keluarga seni. Perjalanan seni tidak semudah mana. Kadangkala kita rasa kita sudah usahakan yang terbaik tetapi belum kesampaian sepenuhnya cita-cita kita."

Rahimah, yang akur pada usia 65 tahun, ingin menggantung mikrofon bagi acara konsert yang memerlukan stamina, terharu masih diingati bahkan diberi peluang bekerjasama dengan anak muda berpotensi seperti Fathin.

"Gadis dan Bunga adalah tajuk pilihan Esplanade. Tapi ada yang tanya, siapa gadis, siapa bunga? Bagi saya, tajuk ini lambang semangat wawasan wanita agar terus berkembang maju.

"Ia simbol kecantikan. Setelah berkembang, bunga itu akan layu tetapi bagaimana pastikan ia mekar semula dalam bentuk semangat membara dan perkasa.

"Bagi saya, konsert ini lebih bagi memberi semangat buat anak muda seperti Fathin mengejar impian. Saya hadir sebagai pendorong sebab pada usia sebegini, peranan saya lebih pada memberi inspirasi buat mereka dan membawa penonton menyusur jalan kenangan," jelas Rahimah.

Beliau masih ingat kenangan manis menyanyi pada usia 14 tahun di pesta ria (funfair) bersama nama-nama besar seperti Datuk Sharifah Aini, Zaleha Hamid, Sanisah Huri dan Datuk Jeffrydin.

"Saya belum ada album lagi. Justeru itu, saya akan dendangkan lagu 'cover' bintang Indonesia seperti Ernie Djohan dan Titiek Puspa. Saya banyak belajar daripada berbual dan mengamati persembahan Sanisah, Zaleha, Jeffrydin dan Sharifah Aini.

"Banyak kenangan pahit manis menyanyi di pesta ria. Kena lastik di pipi pun terasa juga!"

Tiket $30 (konsert fizikal) dan $12 (dalam talian) boleh ditempah di laman, kaunter dan talian Sistic.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3