Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:56
Asar
4:20
Maghrib
6:56
Isyak
8:11

'Hanya $1,000 dalam CPF, mana cukup nak beli rumah?'

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Ekonomi & Kerja
29
0

SUSULAN RAPAT HARI KEBANGSAAN

'Hanya $1,000 dalam CPF, mana cukup nak beli rumah?'

Pekerja penghantaran harap dapat nikmati masa depan lebih cerah
Sep 05, 2021 | 05:30 AM

"Saya amat prihatin terhadap kumpulan khusus pekerja bergaji rendah. Mereka adalah pekerja penghantaran. Mereka bekerja dengan wadah dalam talian seperti foodpanda, Grab dan Deliveroo. Mereka adalah pemandangan yang biasa kita lihat, terutama semasa Covid-19, menghantar tempahan kita siang dan malam.
Ia adalah kerja yang sukar dan kebanyakan menjana pendapatan sederhana. Wadah dalam talian menetapkan harga produk mereka. Mereka tentukan pekerjaan yang diberikan kepada pekerja. Mereka uruskan bagaimana pekerja menjalankan tugas mereka, termasuk mengenakan denda dan pergantungan. Namun, pekerja penghantaran tidak mempunyai kontrak pekerjaan dengan wadah dalam talian. Selain pekerja penghantaran, terdapat juga pekerja bergaji rendah dalam pekerjaan lain yang mempunyai hubungan seperti pekerja dengan wadah itu. Mereka juga menghadapi kesukaran untuk mampu membeli rumah, penjagaan kesihatan dan seterusnya persaraan. Lebih ramai orang bekerja sebegini dan masalah ini semakin berkembang. MOM sedang mengkaji dan menjalankan rundingan. Kita perlu tangani isu ini dan memberikan para pekerja ini masa hadapan lebih terjamin."

– Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) mengenai pekerja penghantaran.


SEMASA hujan turun dengan lebat baru-baru ini, pekerja penghantaran Grabfood, Encik Saire Adnan hanya dapat bekerja selama dua jam yang memberikannya pendapatan $9 sehari.

Pada hari baik, beliau, yang kudung kaki kanannya dan bergerak menggunakan alat mobiliti peribadi (PDA), boleh mendapat $30.

Pada usia 37 tahun, Encik Saire belum memiliki flat kerana Tabung Simpanan Pekerjanya (CPF) tidak cukup.

Justeru, pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) baru-baru ini bagi memberikan perlindungan lebih tinggi, disambut baik olehnya dan ramai pekerja penghantaran.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan ia akan mengukuhkan perlindungan bagi pekerja yang bekerja sendiri, yang bekerja dengan wadah dalam talian seperti Grab, foodpanda dan Deliveroo.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang mengkaji dan menjalankan rundingan.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata, sebuah jawatankuasa kerja bebas yang dibentuk telah memulakan kerja untuk meneliti perlindungan kerja bagi pekerja penghantaraan yang dikaitkan dengan wadah dalam talian.

Berdasarkan kontrak, pekerja ini tidak dianggap pekerja dan tidak menyumbang kepada CPF.

Sekitar 40,000 individu yang bekerja sendiri bekerja sebagai pemandu kereta sewa privet, pekerja penghantaran dan pemandu teksi.

Penasihat Persatuan Pejuang Penghantaran Kebangsaan (NDCA) yang dibentuk di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling berkata bidang yang dikenal-pasti NTUC yang menjejas pekerja penghantaran ialah syarat pekerjaan, keadaan bekerja dan perlindungan perubatan serta kemalangan.

NDCA, yang dibentuk bagi mewakili pekerja bebas yang menjadi penghantar makanan atau barangan, telah menjalankan rundingan dengan para pekerja itu bagi mengetahui keprihatinan mereka.

"Ketika ini, perlindungan perubatan disediakan pengendali juga tidak mencukupi dan pendapatan adalah sifar atau sedikit jika mereka ambil cuti sakit,'' katanya.

NTUC telah meminta sokongan undang-undang bagi mewakili pekerja penghantaran dan membaiki kehidupan mereka.

Ia juga ingin hubungan lebih seimbang antara pengendali wadah dengan pekerja penghantaran. Pengendali wadah boleh menjadi lebih telus dalam struktur pampasan dan insentif serta notis diberikan kepada pekerja jika penyesuaian dibuat agar pekerja dapat mendapatkan penjelasan terhadap perubahan yang dibuat.

Bagi Encik Saire, mempunyai CPF adalah penting untuk membolehkan beliau menabung untuk memiliki rumah, mempunyai Medisave bagi perubatannya serta menabung bagi persaraan.

"CPF saya hanya ada $1,000. Tak cukup nak beli rumah. Saya juga kerap dirawat di hospital. Baru-baru ini, bahagian kaki saya yang kudung ada ketumbuhan dan saya jalani pembedahan bagi keluarkan ketumbuhan itu dan terpaksa dirawat di hospital selama seminggu.

"Mujur saya dapat bantuan daripada pekerja sosial perubatan yang membayarkan kos rawatan di hospital,'' katanya, yang sudah bekerja sebagai pekerja penghantaran sejak 2016.

Beliau cuba beberapa kali mendapatkan pekerjaan lain yang tetap tetapi oleh kerana kaki kanannya yang kudung, majikan pun keberatan untuk menggajikannya.

Kaki kanannya terpaksa dipotong pada 2013 selepas dijangkiti bakteria kerana sewaktu kecil, beliau terlibat dalam satu kemalangan.

Ia berlaku apabila basikal yang ditunggangnya terjatuh dan kemudian sebuah lori treler melanggarnya sehinggakan beliau terpaksa dirawat selama enam bulan di hospital.

"Harapan saya agar masa depan saya cerah jika terdapat perlindungan lebih baik bagi pekerja penghantaran seperti saya,'' tambah Encik Saire, seorang duda yang tidak mempunyai anak itu, yang sedang mencari flat sewa baru untuk tinggal ketika ini.


"CPF saya hanya ada $1,000. Tak cukup nak beli rumah. Saya juga kerap dirawat di hospital. Baru-baru ini, bahagian kaki saya yang kudung ada ketumbuhan dan saya jalani pembedahan bagi keluarkan ketumbuhan itu dan terpaksa dirawat di hospital selama seminggu. Mujur saya dapat bantuan daripada pekerja sosial perubatan yang membayarkan kos rawatan di hospital.''
- Pekerja penghantaran Grabfood, Encik Saire Adnan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3