Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Hasrat wujud budaya wakaf di sini mampu segera dicapai

Dec 06, 2020 | 05:30 AM



Di Singapura, institusi pendidikan Islam seringkali dikaitkan dengan wakaf. Malah banyak madrasah sepenuh masa negara ini, seperti Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah, disokong aset-aset wakaf bagi menampung sebahagian perbelanjaan operasi mereka. Dalam rencana ketujuh yang meninjau sektor wakaf Republik ini, BERITA MINGGU menemubual dengan asatizah mapan, Ustaz Pasuni Maulan, mengenai peranan besar wakaf dalam membangunkan institusi madrasah dan asatizah Singapura, dan sejauh mana masyarakat boleh mewujudkan budaya wakaf demi menyokong institusi keagamaan negara. Ikuti laporan di halaman ini dan halaman sebelah.




VISI untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang membudayakan wakaf sebagai salah satu instrumen amal jariah tidak begitu jauh dan mampu dicapai dalam masa terdekat.



Ini kerana masyarakat Islam sering dilihat sebagai masyarakat yang pemurah dan sifat kedermawanan itu begitu terserlah untuk membantu satu sama lain.



Begitulah pandangan tokoh agama tanah air, Ustaz Pasuni Maulan, ketika ditemui baru-baru ini untuk berbual-bual tentang topik wakaf serta peranan yang dapat dimainkan institusi tersebut kepada pembangunan masyarakat, khususnya golongan asatizah.



SIFAT DERMAWAN



"Masyarakat Islam, baik kaya atau miskin, memiliki sifat dermawan yang tinggi," kata Ustaz Pasuni, 75 tahun.



Memberikan contoh, meskipun keadaan Covid-19 kini dilaporkan menjejas status ekonomi ramai anggota masyarakat, namun beliau perhatikan masih ramai juga yang tidak putus-putus menghulurkan sedekah dan sokongan kewangan bagi rayuan-rayuan derma, termasuk di wadah-wadah media sosial seperti Facebook.



"Cuma kebanyakannya berbentuk sedekah infak, bukan sedekah wakaf.



"Semangat untuk memberi sudah ada, jadi bagaimana kita boleh mendapatkan perhatian masyarakat untuk bersedekah kepada wakaf, itu boleh kita fikirkan bersama," kata Ustaz Pasuni.



Berbeza dengan sumbangan sekali seperti infak - yang digunakan keseluruhannya - wakaf merupakan sedekah jariah di mana ia dilaburkan dan hanya pulangan pelaburan wakaf itu yang diagihkan.



Bahkan, kata beliau, mekanisme untuk berwakaf sudah wujud dalam masyarakat sejak sekian lama - Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) merupakan sebuah dana wakaf masyarakat yang mana sumbangannya diubah menjadi bangunan masjid yang kekal digunakan buat jangka masa yang lama.



"Kita sudah memulakan MBMF yang khusus (bagi wakaf masjid) melalui undang-undang. Tapi kali ini kalau kita mahu budaya wakaf diperluaskan, amalan ini perlu dilakukan dengan sukarela," kata Ustaz Pasuni.



Tambah beliau, salah satu cara untuk memasyarakatkan dan membudayakan amalan berwakaf ialah dengan memperkenalkan duta-duta yang dapat mendekati dan memberikan pencerahan tentang wakaf kepada masyarakat.



"Bagi saya pemahaman masyarakat tentang wakaf masih belum menyeluruh," kata beliau.



Justeru tambahnya, masyarakat sering diperlihatkan dengan situasi di mana sokongan kepada masjid umpamanya, lebih tinggi berbanding program-program lain.



Ditanya adakah kerana masyarakat mempunyai pandangan bahawa pahala menderma kepada masjid itu lebih "afdal" dari menderma kepada wakaf yang membangunkan masyarakat, Ustaz Pasuni berkata:



"Ada hadis yang menyatakan, 'Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak manfaatnya kepada manusia lain.'



"Kalau masjid, satu sahaja, kalau masyarakat, manfaatnya lebih meluas.



"Jadi maksud saya, kita perlu lihat pada keperluan pada ketika itu dan di mana kita dapat sumbang untuk berikan kesan yang lebih besar."



PEMBANGUNAN ASATIZAH



Mengulas mengenai ajakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad untuk menghidupkan budaya wakaf bagi memperkasakan golongan asatizah, Ustaz Pasuni berkata langkah tersebut dialu-alukan kerana asatizah disifatkan sebagai "ejen perubahan".



Katanya asatizah memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat, bukan pada masa sekarang, tetapi pada masa akan datang.



"Ada kekata yang masyhur dari Sayidina Umar Al-Khattab yang menyuruh kita didik anak-anak kita sesuai zamannya.



"Jadi apa yang dilakukan asatizah kita hari ini ialah untuk mempersiapkan para pelajar kita, anak-anak kita bagi kehidupan mereka dan cabaran di masa akan datang. Dan kita semua tahu, masa akan datang akan jauh berbeza dari apa yang kita alami kini. Mungkin juga jauh lebih mencabar.



"Jadi kalau kita tidak bekalkan asatizah kita dengan ilmu dan kemahiran yang sesuai sekarang, pastinya pelajar kita tidak akan menerima pendidikan yang lengkap bagi zaman mereka nanti," kata Ustaz Pasuni.



Oleh itu, katanya, sokongan masyarakat amat diperlukan kini bagi membina dana yang cukup untuk memastikan golongan asatizah dapat disokong dengan kemahiran yang sewajarnya.



Bagi tujuan yang sama, Ustaz Pasuni berkata gagasan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) yang diumumkan beberapa bulan lalu merupakan jentera yang sesuai bagi tujuan itu "sekiranya ia dapat ditadbir dan diperluaskan dengan baik."



"Kita juga kena faham, kalau kita buat wakaf, pahalanya berterusan meskipun selepas kita tiada. Manfaat yang dinikmati juga berterusan bagi generasi kedua, ketiga, keempat dan seterusnya selepas kita. Manfaatnya luas," kata Ustaz Pasuni.



Sejauh ini, Singapura memiliki 91 wakaf dan kesemua aset-aset wakaf - hartanah dan tunai - ditaksirkan bernilai lebih $800 juta.



Setiap tahun, sekitar 20 peratus agihan wakaf-wakaf yang diuruskan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) disalurkan kepada madrasah dan sebahagian kecil darinya bagi tujuan pembangunan asatizah - jumlah yang tidak mencukupi.



Kebanyakan wakaf tersebut - yang rata-ratanya wakaf khas - telah didaftarkan puluhan, jika tidak ratusan tahun lalu dan ia mengambil kira keperluan masyarakat pada ketika itu.



Namun ada satu lagi wakaf iaitu wakaf am, yang lebih fleksibel.



PENYESUAIAN ZAMAN



Dalam konteks kehidupan masyarakat hari ini yang banyak berubah sepanjang tahun dan zaman, wakaf am boleh disesuaikan bagi memenuhi keperluan tersebut.



Ustaz Pasuni memberikan contoh, dari sekadar menetapkan satu objektif, sesebuah wakaf am seperti yang dicadangkan bagi WMS yang baru itu boleh meletakkan beberapa objektif agar penggunaannya disesuaikan mengikut keperluan.



"Jika wakaf itu fleksibel, ia memberi kita peluang untuk kita bangunkan masyarakat mengikut keperluan pada ketika itu," kata Ustaz Pasuni.



Ditanya tentang amalan wakaf dalam sejarah awal Islam, Ustaz Pasuni berkata pembinaan Masjid Nabawi oleh Rasulullah saw boleh disifatkan sebagai sumbangan wakaf yang pertama dalam Islam.



Ada juga kisah tentang Sayidina Othman bin Affan ra yang membeli sebuah telaga berharga 35,000 dirham dan diwakafkan untuk kegunaan awam.



"Pada masa itu 200 dirham sudah dikenakan zakat. Sekarang nisab zakat sekitar $7,000. Jadi kalau dibandingkan dengan wang ringgit hari ini, telaga tersebut dibeli Sayidina Uthman dengan harga anggaran $1.2 juta. "Beliau memang orang yang kaya dan kekayaannya digunakan untuk memanfaatkan orang lain," kata Ustaz Pasuni.



Dalam konteks yang serupa, beliau berharap masyarakat dapat mengubah pemikiran untuk mempertimbangkan memberi lebih perhatian pada pembentukan wakaf sebagai amal jariah.



"Tak kenal maka tak cinta. Kita mungkin tak nampak hasil sumbangan wakaf kita dengan mata kepala kita sendiri, macam kita bina masjid, kerana pembangunan modal insan mengambil masa yang lama dan kesannya juga bukan dalam generasi kita tetapi yang akan datang.



"Hasil wakaf kita akan dinikmati anak-cucu kita nanti bila kita sudah tiada di dunia," kata Ustaz Pasuni.



BUDAYA WAKAF



Ditanya tentang apa yang harus dilakukan sekarang bagi meraih amalan budaya berwakaf yang diinginkan itu, Ustaz Pasuni berkata:



"Cita-cita kita besar. Usaha kita mestilah lebih besar untuk dapatkan hasil yang lebih besar. Justeru kita tidak boleh bersendirian. Kita perlu gembleng tenaga sebagai satu masyarakat."




"Cita-cita kita besar. Usaha kita mestilah lebih besar untuk dapatkan hasil yang lebih besar. Justeru kita tidak boleh bersendirian. Kita perlu gembleng tenaga sebagai satu masyarakat."
- Ustaz Pasuni Maulan.




  • Penulis anggota sekretariat Wakaf Masyarakat Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >