Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Hati dekat di sanubari masyarakat Melayu

Oct 31, 2021 | 05:30 AM



SEBUAH hadis masyhur menyatakan dalam tubuh manusia ada segumpal daging dan kalau daging itu baik, maka akan baiklah seluruh tubuhnya. Tetapi jika ia rosak, rosak seluruh tubuhnya. Segumpal daging itu adalah kalbu (hati).



Hadis riwayat imam Bukhari dan Muslim itu biasa dipetik asatizah ketika menekankan perlunya menjaga kesucian hati.



Hati di sini bukan merujuk kepada organ kemerah-merahan dalam tubuh yang antara lain berfungsi mengambil saripati makanan dalam darah dan menghasilkan empedu.



Ia merujuk kepada unsur dalam tubuh manusia yang menempatkan jiwa, perasaan, emosi manusia.



Masyarakat Melayu yang umumnya beragama Islam memahami dan menjiwai peranan hati dalam kehidupan.



Lantaran itu, penggunaan hati begitu tersemat dalam jiwa dan kamus kehidupan masyarakat Melayu-Islam.



Hati antara perkataan paling banyak digunakan bagi mengkiaskan gambaran perasaan dalam diri.



Maka itu, selain mata di kepala, terdapat istilah mata hati - iaitu 'penglihatan' dengan perasaan hati.



Dalam istilah pengamal sufi, mata hati, atau kasyaf - pandangan yang menyingkap rahsia alam ghaib.



Yang berkaitan dengannya ialah hati sanubari (perasaan batin) atau hati nurani, iaitu hati yang mendapat cahaya Tuhan atau perasaan hati yang murni, setelah mengusahakan hati tawajuh, iaitu hati yang benar-benar diarahkan kepada Tuhan;



Dalam istilah bahasa Melayu, terdapat banyak ungkapan yang menggandingkan hati dengan memberi kiasan makna tersendiri.



Antara yang paling biasa ialah ada hati, yang bermakna mempunyai keinginan atau hasrat; baik hati menunjukkan keperibadian atau sikap orang berbudi luhur; sakit hati menggambarkan kepedihan perasaan atau rasa kecewa; kecil hati menggambarkan perasaan tersinggung; makan hati ialah dukacita atau menderita; makan hati berulam jantung ialah menderita kerana perbuatan orang yang menyakitkan hati; besar hati menggambarkan rasa bangga dan gembira; jatuh hati bermakna terpikat, umumnya pada seseorang; buah hati adalah orang yang disayangi; jaga hati adalah menjaga atau mengambil kira perasaan seseorang; satu hati menunjukkan persetujuan atau perpaduan.



(Lihat senarai beberapa ungkapan berkaitan hati).



Di samping kiasan, terdapat beberapa peribahasa berteraskan hati.



Antara yang biasa didengar ialah beraja di mana, bersultan di hati bagi menggambarkan perbuatan yang ikut kemahuan sendiri, orang yang suka berbuat sesuka hati dan sewenang-wenang.



Ikut hati mati, ikut rasa binasa pula bermaksud perbuatan yang menuruti hawa nafsu akan membawa celaka atau bahaya.



Luka di luar nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu ialah perasaan terguris atau rasa tersinggung yang tidak terlihat.



Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah bermakna untung atau rugi sama-sama dirasakan.



Hilang di mata di hati jangan pula suatu pesanan bahawa biarpun berpergian jauh atau berjauhan, jangan melupakan orang yang ditinggalkan.



Yang hampir dengannya - jauh di mata, dekat di hati - pula mengambarkan bertempat tinggal berjauhan tetapi jiwa (hati) selalu merasa dekat.



Lain di mulut, lain di hati menggambarkan tentang apa yang dikatakan tidak sama atau berbeza daripada isi hatinya.



Rambut sama hitam, hati masing-masing bermaksud setiap orang mempunyai pendapat atau kecenderungan tersendiri.



Makan hati berulam jantung menggambarkan keadaan seseorang yang dirundung kesedihan.



Membelah dada melihat hati adalah ungkapan untuk menyatakan kesungguhan, ungkapan pria dalam zaman yang berlalu dalam menyatakan kesungguhan cinta kepada kekasihnya.



Berkaitan dengannya ialah ungkapan mengukir dalam hati, iaitu mengingat baik-baik dalam hati.



Namun, ada juga pria yang tertambat hati terpaut sayang (sangat cinta) sehingga tidak lekang dari hati (bermakna selalu diingat) tetapi terkalang di mata, terasa di hati yang bermakna ada sesuatu yang akan dikemukakan, tetapi belum dapat disampaikan.



Pria sedemikian mungkin tergolong dalam rupa harimau, hati tikus yang bermakna kelihatan gagah berani, tetapi sebenarnya penakut, dalam hal ini, takut luahkan perasaan.



Antara peribahasa yang jarang didengar adalah seperti asal ada sama di hati, gajah terantai boleh dilepaskan, yang bermaksud kalau sudah ada persetujuan, apa pun halangannya dapat diatasi.



Beberapa yang lain termasuk 'bagai hempedu lekat di hati' yang menggambarkan persahabatan yang sangat karib dan tidak terpisah; dan 'hati bak serangkak dibungkus' bermakna orang yang sangat berharap akan mendapat sesuatu yang diingininya; dan 'padi segenggam dengan senang hati lebih baik daripada padi selumbung dengan bersusah hati' yang bermakna kesenangan hati lebih berharga daripada kekayaan.



Antara ungkapan menarik, sekali gus menggambarkan betapa pandangan hidup bangsa Melayu menjulang peri perlunya berfikir ialah ungkapan pikir itu pelita hati yang bermaksud menggunakan akal budi dan mempertimbangkan segala sesuatu dengan baik menjadikan seseorang lebih bijaksana.



Satu lagi ungkapan yang menjadi pesanan dengan bersahaja, sejajar dengan hadis di atas, ialah hati mau baik be!




"Hati di sini bukan merujuk kepada organ kemerah-merahan dalam tubuh yang antara lain berfungsi mengambil saripati makanan dalam darah dan menghasilkan empedu.

Ia merujuk kepada unsur dalam tubuh manusia yang menempatkan jiwa, perasaan, emosi manusia."

- Penulis.




Antara senarai kata berkaitan hati



  • ambil hati: menyenangkan hati orang;

  • baik hati: berbudi baik;

  • baca hati: faham atau tahu niat orang

  • berbalik hati: berubah pendirian;

  • bantut hati: tidak beri kebenaran, tidak menyukai

  • bawa hati: merajuk; 

  • berat hati: tidak suka, tidak sampai hati;

  • beri hati: memanjakan;

  • berperang hati: bingung; bimbang;

  • besar hati: bangga; gembira;

  • bisikan hati: suara hati;

  • buah hati/bintang hati: orang yang disayang atau kekasih;

  • bulat hati: segenap hati; sungguh-sungguh;

  • bunga hati: kekasih;

  • buka hati: menerangkan segala-galanya;

  • busuk hati: perasaan jahat berkaitan iri hati, dengki atau khianat;

  • buta hati: tiada pengetahuan, kejam, tiada hati perut;

  • cabang hati: pendirian/fikiran tidak tetap;

  • condong hati: suka atau tertarik kepada;

  • curi hati: jatuh cinta, cuba memikat;

  • dapat hati: mendapat keberanian/semangat, cinta berbalas;

  • dua hati: bimbang, ragu-ragu;

  • detak hati: kata hati atau perasaan tentang sesuatu akan terjadi;

  • dingin hati: tidak ghairah, rasa hambar, tidak bersemangat;

  • gaduh hati: gelisah;

  • gendang hati: perasaan yang timbul di dalam hati;

  • girang hati: riang, gembira;

  • gugah hati: menimbulkan perasaan dalam hati;

  • panas hati; marah;

  • jauh hati/kecil kecil: merajuk, tersinggung, sedih;

  • hati kaudu: busuk hati

  • hati terbuka: senang hati

  • hati terlonjak: girang;

  • iri hati: perasaan kurang senang hati melihat kelebihan orang lain; cemburu;

  • isi hati: apa yang terkandung di dalam hati, fikiran;

  • jantung hati: yang sangat disayangi

  • karat hati: kejahatan; perasaan tidak baik;

  • kata hati: perasaan yang timbul di dalam hati, gerak hati;

  • kaya hati: pemurah; dermawan;

  • kecut hati: takut, gentar;

  • tawar hati: tidak lagi bersemangat;

  • murah hati: dermawan

  • jatuh hati: jatuh cinta, terpaut, terpikat;

  • keras hati: tidak menurut kata, tidak mudah berasa kecewa

  • kuncup hati: rasa gementar;

  • tiada hati: tidak berminat;

  • kusut hati: gelisah, susah hati;

  • larat hati: sedih, pilu;

  • lembut hati: menjadi baik hati;

  • lubuk hati: perasaan hati paling dalam;

  • luka hati: sakit hati;

  • lunak hati: tidak keras kepala, dengar kata;

  • mahkota hati: kekasih;

  • melepaskan hati: ikut hawa nafsu;

  • memelihara hati: menjaga perasaan agar orang lain supaya tidak marah atau tersinggung;

  • senang hati/lapang hati: tenang, gembira;

  • menahan hati: bersabar untuk tidak berbuat sesuatu;

  • menaruh hati: suka, ada parasaan cinta;

  • ketuk hati: membangkit atau menggugah perasaan;

  • gamak hati: sanggup lakukan sesuatu tanpa belas kasihan;

  • geli hati: rasa lucu;

  • hati emas: sangat baik hati;

  • cuit hati: sentuh perasaan;

  • mengguris hati: melukakan perasaan;

  • menurutkan hati: mengikut sekehendak hati;

  • menusuk hati: menyakitkan hati;

  • meracun hati: mengganggu atau menggiurkan hati, contoh: senyumnya meracun hati;

  • berasa hati: tertarik, menginginkan sesuatu;

  • rendah hati: tidak menyombongkan diri;

  • merintang hati: menghiburkan;

  • muda hati: orang tua dengan tingkah laku seperti orang muda;

  • murah hati: suka (mudah) memberi; tidak lokek;

  • mutiara hati: sesuatu yang disayangi;

  • naik hati: menjadi gembira;

  • niat hati: keinginan, harapan;

  • panas hati: marah, sakit hati;

  • patah hati: hilang kemauan, kecewa;

  • pautan hati: yang disayangi;

  • pecah hati: tawar hati;

  • sakit hati: sedih;

  • sampai hati; tergamak;

  • penerang hati: sesuatu yang menjadikan mudah faham;

  • resah hati: cemas, gelisah;

  • sejuk hati: lega;

  • pengubat hati: penghibur hati;

  • pujaan hati: buah hati; kekasih;

  • putih hati: lurus, jujur; baik hati;

  • rapuh hati: mudah putus asa, mudah tersinggung;

  • rasuk hati: mengganggu, menggoda;

  • relung hati: lubuk, dalam hati;

  • rendah hati: tidak sombong, tidak angkuh;

  • sagu hati: pemberian tanda mata, penghargaan;

  • sampai hati: tergamak

  • sedap hati: berasa senang;

  • bisikan hati: ilham

  • sempit hati: cepat marah;

  • sepenuh hati: dengan sungguh-sungguh

  • sesuka hati: sekehendak hati;

  • silap hati: tidak ingat apa-apa;

  • suara hati: kata hati;

  • susah hati: gelisah, khuatir, sedih;

  • tabah hati: sabar dan kuat azam;

  • tahan hati: cegal, teguh hati;

  • tambatan hati: orang yang dikasihi;

  • tangkai hati: kekasih;

  • tebal hati: tiada belas kasihan;

  • tegar hati: keras hati;

  • terang hati: mudah faham, mudah belajar;

  • terdayuh hati: sedih, rawan;

  • tinggi hati: sombong; angkuh

  • tunggang hati: tabah atau tetap hati

  • ubat hati: penglipur hati




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >