Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Hempas pulas bina kampung suku kaum di hutan Sarimbun

Nov 27, 2021 | 05:30 AM



Membina prop rumah Orang Asli di tengah hutan rimba di Singapura merupakan antara perkara yang menyeronokkan tetapi mencabar buat kru penerbitan drama Dilema Dania.Ini adalah kerana sekatan pandemik Covid-19 menghambat mereka daripada menjalani penggambaran di lokasi perkampungan Orang Asli di seberang Tambak. Apakah antara pengalaman menarik karyawan syarikat penerbitan Poetry In Motion serta pelakon utamanya? BERITA HARIAN melaporkan.



PANDEMIK Covid-19 yang membataskan pergerakan dan menjejas dunia penggambaran drama membawa cabaran buat kru penerbitan drama Dilema Dania dari syarikat Poetry In Motion.



Menurut penerbit drama ini, Cik Nusaibah Abdul Rahim, konsep asal drama tersebut dihasilkan penulis Cik Tuty Alawiyah Isnin dua tahun lalu berdasarkan jalan cerita yang sepatutnya berlaku di Amsterdam, Belanda.



"Tuty mahu Dania tinggal dalam masyarakat terpencil yang tertutup sekitarannya daripada dunia luar selepas terjebak dalam nahas, hilang ingatan dan kemudian ditemui oleh sesebuah masyarakat asing.



"Sayangnya, Tuty meninggal tahun lalu. Ditambah dengan Covid-19, kami terpaksa mengubahsuai jalan cerita drama ini dan menjadikannya berlatarbelakangkan keadaan di Borneo memandangkan penerbitan drama ini perlu dilakukan di Singapura," kata Cik Nusaibah.



Penerbit eksekutif, Encik Safiyuddin Razif, pula menjelaskan selain daripada menjalani penggambaran di dalam sekatan Covid-19, cabaran pihak penerbitan adalah menghasilkan keadaan nahas pesawat yang kelihatannya benar-benar berlaku.



"Bagi memastikan penakatan Dania di hutan selepas nahas pesawat terhempas dan situasi di mana dia ditemui suku kaum Rimbun, kami perlu bina perkampungan Orang Asli ini dari sifar.



"Kami perlu mencari rupa bumi yang sesuai, hutan dan pantai yang selamat dan mudah diakses. Tapi ini agak sukar.



"Tambahan pula, pihak penerbitan mengalami kesulitan menyiapkan segalanya dalam tempoh masa yang singkat. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar," jelasnya.



Ditanya mengenai pengalaman baru dalam dunia penerbitan drama yang dipelajari, Cik Nusaibah berkata jalan cerita tentang poligami adalah pembuka mata kerana ia berlaku secara tidak sengaja.



"Selain itu, saya belajar lebih lagi tentang Gangguan Tekanan Pasca-Traumatik (PTSD) dan penyakit mental 'pseudocyesis' di mana seseorang itu mengalami tanda kehamilan tetapi sebenarnya dia tidak mengandung, sesuatu yang kita dapat saksikan dalam drama ini.



"Banyak kajian yang diperlukan bagi kami memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat," jelas Cik Nusaibah lagi.



Mengenai pemilihan pelakon, Encik Safiyuddin berkata Shenty Feliziana adalah pilihan pertama pihaknya untuk membawa watak Dania seawal membuat usulan mengenai drama ini kepada stesen televisyen.



Ini adalah kerana keupayaan Shenty membawa watak sukar dan mencabar.



"Kami memerlukan seseorang yang memahami peranan seseorang pemandiri yang dapat menangani bahang panas di lautan ketika kami merakam babak pascanahas pesawat terhempas itu.



"Kebanyakan masa, Shenty perlu berkaki ayam di hutan dan menangani cacing di sekelilingnya. Semangat gigihnya lebih daripada 100 peratus," tambah Encik Safiyuddin.



Ini juga kali pertama Poetry In Motion bekerjasama dengan Izzat Yusoff dan Nurul Nabila yang menaiktarafkan lakonan mereka dari segi emosi dan perwatakan sehingga penonton dapat merasakan empati terhadap situasi mereka.



"Kami juga menghargai pengalaman Mastura Ahmad dan Azhar Noor Lesta kerana kemahiran lakonan mereka yang membawa drama ini ke tahap berbeza. Penonton boleh kaitkan diri mereka dengan watak-watak ini dan mahu tahu lebih lagi.



"Suhaillah Salam dan Fido Ahdross pula merupakan pelakon pembantu yang melengkapi drama ini. Kami juga sudah bekerjasama dengan Bella sejak dia lima tahun lagi.



"Dia kian mampu membawa watak serius dengan dialog matang. Tiada lagi dialog kebudak-budakan atau kedengaran comel semata," tambah Cik Nusaibah mengenai pelakon drama ini serta pengalaman 54 hari menjalani penggambaran.



Mengenai set rumah perkampungan Orang Asli di Sarimbun pula, Encik Safiyuddin menjelaskan set itu dibina bagi membawa penonton meninjau apa yang berlaku pada Dania sepanjang lima tahun dirinya menghilang.



"Segalanya kerja sepasukan bagi memastikan perkampungan Orang Asli itu nampak realistik. Kami menunjukkan pereka set foto rujukan rumah kampung yang kami lihat ketika menjalani penggambaran di luar negara.



"Kami berbincang dengan penata gaya dari segi penampilan pelakon dengan identiti suku kaum yang khusus bagi drama ini," tambahnya.




"Bagi memastikan penakatan Dania di hutan selepas nahas pesawat terhempas dan situasi di mana dia ditemui suku kaum Rimbun, kami perlu bina perkampungan Orang Asli ini dari sifar.

Kami perlu mencari rupa bumi yang sesuai, hutan dan pantai yang selamat dan mudah diakses. Tapi ini agak sukar."

- Encik Safiyuddin Razif, penerbit eksekutif.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >