Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

HOLLYWOOD

Hempas pulas, kerja keras sebelum bergelar selebriti

Nama besar dalam industri filem dan muzik Barat pernah kerja jadi pelayan, pekerja pembersihan dan tukang kayu
Dec 10, 2021 | 05:30 AM



DI sebalik kejayaan selebriti ternama dunia, pasti ada kisah jerih payah mereka mencari rezeki untuk menyara kehidupan sewaktu meniti usia muda.



Meskipun perlu mendaki tangga dari bawah, semangat gigih dan disiplin yang ditonjolkan beberapa penyanyi industri muzik Barat dan pelakon Hollywood berikut nampaknya menjadi antara resipi kecemerlangan mereka kini.



Bon Jovi pekerja pembersihan studio



John Francis Bongiovi Jr, 59 tahun, atau lebih dikenali dengan nama pentas Jon Bon Jovi, kini membuai ramai dengan lagu cinta janji setia seperti I'll Be There For You dan Always.



Menurut laman Eazy Entertainment Australia, bintang kacukan Italy, Slovakia, Russia dan Jerman ini pernah bekerja sebagai pekerja pembersihan di studio rakaman sepupunya, Tony Bongiovi, yang diberi nama 'Power Station'.



Beliau menganggapnya sebagai satu kerja murni menjaga kebersihan studio yang digunakan ramai pemuzik mapan mahupun baru.



Tony pula tahu betapa cenderungnya Bon Jovi dengan muzik. Kadangkala beliau melihat Bon Jovi ponteng sekolah hanya untuk cipta lagu dan main muzik dengan bandnya.



Bakat Bon Jovi menyanyi mula dikesan apabila penerbit album, Meco, berada di studio Tony untuk merakam album Krismas, Christmas in the stars: The Star Wars Christmas Album pada 1980.



Tony mengusulkan agar Bon Jovi menyanyikan lagu R2-D2 We Wish You A Merry Christmas. Itulah kali pertama suara serak-serak basahnya berkumandang dalam album.



Ia membuka jalan buat Bon Jovi kemudian mencipta nama dalam bidang muzik bersama band legendanya yang mengambil sempena namanya, Bon Jovi.



Madonna sempat kerja di Dunkin' Donuts selama seminggu



Penghibur antarabangsa, Madonna Louise Ciccone, 63 tahun, berpindah dari Michigan ke New York pada 1978 untuk mengejar impian dalam dunia hiburan.



Sukar baginya mencari rezeki dengan tahap kewangannya yang membimbangkan.



Lantaran itu, Madonna yang ketika itu berusia 20 tahun, mencari pelbagai pekerjaan bagi menampung hidupnya.



Dalam satu wawancara bersama personaliti radio Amerika, Howard Stern, pada 2015, Madonna berkongsi beliau pernah bekerja di kafe donut, Dunkin' Donuts tetapi hanya bertahan selama seminggu.



"Apakah anda dipecat kerana anda tersembur jeli donut pada pelanggan?" tanya Stern.



Madonna, pelantun lagu Crazy For You dan True Blue menjawab:



"Saya bermain dengan mesin semburan jeli dan ya... saya tersembur jeli itu pada kemeja dan pakaian pelanggan! Mereka rasakan saya tak serius buat kerja. Jadi saya dipecat."



Harrison Ford tukang kayu yang cekap



Sebelum dikenali sebagai Han Solo dalam francais filem cereka sains Star Wars, Harrison Ford, kini 79 tahun, adalah seorang tukang kayu.



Kemahiran bertukangnya malahan membantunya mendapatkan peranan sebagai Han Solo.



Menurut laman Showbiz CheatSheet, Ford pernah bekerjasama dengan pengarah Star Wars, George Lucas, dalam filem American Graffiti.



Beliau tahu Lucas tidak akan memilihnya untuk filem selanjutnya kerana mencari wajah baru bagi Star Wars.



Namun, Lucas terpandang Ford yang lasak itu sedang bertukang di pejabat pengarah Francis Ford Coppola dan langsung mengundangnya bagi sesi uji bakat Star Wars.



Kata Ford:



"Saya sedang bertukang menyiapkan serambi anjung pejabat Coppola apabila terpandang George masuk bersama Richard Dreyfuss, pelakon pertama yang diwawancara buat filem Star Wars.



"George memandang saya dan alih-alih memberitahu beliau berminat memberi saya peranan dalam filem Star Wars. Itulah titik tolak saya dilamar menjadi Han Solo."



Menurut Ford, walaupun filem American Graffiti berjaya, ia tidak cukup untuk memberinya keyakinan dapat menjadi bintang filem sepenuh masa.



Lantaran itu, beliau selesa mencari rezeki sebagai tukang kayu sambil berlakon pada awal kerjaya perfilemannya.



Mariah Carey cuba segalanya - dari menjadi pelayan, pemeriksa topi dan kot hingga sapu rambut di salun kecantikan



Dalam kedudukan penyanyi Mariah Carey, 52 tahun kini, sebagai diva yang pernah menghasilkan banyak lagu 'hit' daripada Hero hinggalah Vision of Love, pastinya ada ramai pelayan atau pekerja salun kecantikan yang ingin memberi khidmat terbaik buatnya.



Laman Weird Job of Celebrities melaporkan Carey mencuba bermacam pekerjaan untuk menampung kehidupannya sewaktu belum lagi dilamar label rakaman besar.



Beliau pernah menjadi pelayan, pemeriksa topi dan kot di butik serta tukang sapu rambut pelanggan di salun kecantikan.



Namun, tiada yang kekal buatnya kerana majikan di tempat-tempat ini sentiasa mendapatinya terlalu glamor dan diva buat tugas sebegitu.



Bagaimanapun, Carey mengikuti kelas dandanan dan kecantikan serta tamat pengajian 500 jam di sekolah kecantikan itu.



Baginya, ia adalah untuk kegunaannya apabila bergelar penyanyi. Kebetulan, ketika belajar di sekolah itu, Carey diminta menjadi penyanyi latar buat penyanyi Puerto Rico, Brenda K. Starr.



Itulah pembuka jalan buatnya mengasah kemahiran menyanyi dan akhirnya membina kerjaya solonya.



Jim Carrey pernah lalui hidup susah dan bertugas membersihkan gudang



Kesusahan sewaktu meniti usia remaja membuatkan pelawak Jim Carrey, 59 tahun, sentiasa berhati-hati dalam perihal kewangan.



Laman Celebretainment melaporkan pelakon filem Ace Ventura: Pet Detective itu bertugas sebagai pekerja pembersihan di gudang Ontario bersama keluarganya.



"Bapa saya hilang pekerjaannya sebagai akauntan. Kami juga kehilangan rumah kami. Bagi memastikan kami ada tempat tinggal, semua anggota keluarga bekerja di kilang dan gudang.



"Saya biasanya akan bersihkan tandas di kilang dan gudang selama lapan jam sejurus tamat sekolah. Markah saya merosot kerana penat bekerja. Pada usia 16 tahun, saya berhenti sekolah," ceritanya yang membina kerjaya seni dengan berlawak di khalayak ramai menerusi kelab komedi 'stand-up'.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >