Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

MUZIK BARAT

'hi' dan 'bye' hadiah pandemik band 'joan'

Oct 20, 2021 | 05:30 AM



SETIAP yang bermula pasti akan berakhir.



Setiap ucapan 'hi' tentunya akan disudahi dengan kekata 'bye', sama ada mampu terucap atau hanya tersimpan dalam hati.



Disebabkan adanya permulaan dan pengakhiran dalam sesebuah hubungan, maka kumpulan duo joan dari Arkansas, Amerika Syarikat, menamakan dua album EP mereka secara kreatif, hi dan bye.



Beberapa 'single' baru dalam dua album ini sudah mula disaji di gedung digital Spotify pada Khamis pertama setiap bulan.



hi bakal diterbitkan sepenuhnya bulan depan disusuli bye pada Disember.



joan yang ditubuhkan empat tahun lalu dan kini bergerak di bawah label rakaman 'indie' Photo Finish Records mengembalikan nostalgia pop retro era 1980-an yang santai.



Di sebalik sekatan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu, joan yang dianggotai dua sahabat karib, Alan Benjamin Thomas dan Steven Rutherford, kedua-duanya 30-an tahun, kian banyak menjana karya baru.



Apakah yang membuatkan ilham mereka mencurah-curah?



Ikuti wawancara Berita Harian bersama mereka menerusi sidang Zoom.



Soalan (S): Anda berdua nampaknya lebih berdaya penghasilan sewaktu pandemik ini. Apa yang memberi anda semangat luar biasa meneruskan kerja seni?



Alan Benjamin Thomas (ABT): Kami sebenarnya tidak pernah berhenti berkarya. Kami hanya terpaksa hentikan konsert jelajah kerana pandemik Covid-19.



Mujurlah, kami selesai siri konsert di Amerika sekitar 2020 sebelum jangkitan Covid-19 menular pesat.



Memandangkan kami sudah merancang mengeluarkan dua EP, hi dan bye sebagai satu kelainan, maka kami teruskan sahaja inisiatif kreatif ini. Tak ada sehari pun di mana kami perlahankan langkah kami.



Steven datang ke rumah saya untuk merakam lagu di studio rumah saya. Kami pun tinggal tak jauh daripada satu sama lain. Perjalanan dari rumahnya ke rumah saya cuma lima minit sahaja.



Steven Rutherford (SR): Kami mulakan dengan ciptaan 10 lagu. Kami merakamnya dalam memo suara di telefon bimbit.



hi dan bye meraih inspirasi daripada permulaan dan kesudahan sebuah hubungan. Gagasan idea kami lebih pada menyiapkan album yang ada jalan cerita, bukan setakat 'single' dengan cerita berasingan.



Idea kami mencurah-curah sebab kami ada banyak masa dan tidak terikat pada komitmen konsert jelajah.



Kami bekerja keras dan pastikan setiap bulan, ada lagu untuk diterbitkan. Dalam tekanan memenuhi tarikh akhir projek 'single' bulanan, itulah detik di mana kami dapat hasilkan karya terbaik.



S: Apakah yang istimewa tentang lagu 'something special' yang bakal dimuatkan dalam album 'hi'?



ABT: Ia kisah persahabatan dengan orang istimewa dalam hidup kami iaitu isteri kami. Kami bertuah bertemu jodoh dengan kawan baik sendiri pada usia 20-an tahun.



Kami cuba satukan kisah bagaimana saya bertemu isteri dan jatuh cinta dengannya serta bagaimana Steven terbuka hati melamar isterinya yang selama ini kawan rapatnya.



Ia cukup peribadi buat kami. Ia lagu cinta gembira berbanding dengan lagu waiting on nothing dalam album bye.



Lagu sedih itu tentang seseorang yang buat anda rasa terpedaya. Nampak macam dia suka tetapi dia biarkan anda menanti. Akhirnya, tiada ikatan apa-apa.



Banyak sumber inspirasi kami datang daripada pengalaman sendiri, rakan kami atau filem yang kami tonton.



S: Apakah lagu yang anda dengar sewaktu remaja?



ABT: Gabungan lagu yang ibu bapa dan teman saya dengar. Prince, James Taylor, Bob Seger... itu muzik yang ayah saya dengar. Ibu pula sukakan lagu 'country' dendang rakyat dan Guns N' Roses.



SR: Saya membesar dengan lagu rok yang ibu bapa saya sukai dari AC/DC, Creed dan Metallica sebelum akhirnya menemui muzik baru yang saya selami di kolej.



S: Namakan tiga perkara yang ingin anda ucapkan 'hi' dan tiga perkara yang wajar menerima 'bye' daripada anda?



ABT: 'Hi' kepada konsert jelajah... saya merinduinya. Saya juga sudah lama tidak ke pawagam. Kali terakhir adalah pada 2019. Akhir sekali saya akan ucapkan 'hi' kepada secawan kopi panas yang menyegarkan.



'Bye' pula kepada Covid-19, beberapa kilogram daripada berat badan saya dan tabiat buruk orang sekeliling.



SR: Saya ingin ucapkan 'hi' kepada pantai, sekawan arnab yang ingin saya dakap dan cium serta bayi perempuan comel kami. Kebetulan, isteri kami berdua hamil.



Ucapan 'bye' pula buat pesanan Twitter yang semakin tak masuk akal, Covid-19 dan bapa Britney Spears yang membuat Britney rimas.



S: Jelaskan tentang persahabatan anda. Sejauh mana anda saling melengkapi?



ABT: Kalau anda sering dengar cerita tentang band lain yang kerap bercekau, saya payah menamakan satu peristiwa pun di mana saya dan Steven berselisih faham.



Kami saling membantu, tahu kekuatan masing-masing dan jujur dengan satu sama lain. Saya percayakan dirinya mahir dalam kerja tertentu. Saya takkan kacau. Begitu juga dengannya. Hanya kalau ada benda tak kena, saya akan beritahu secara baik.



Kami saling menghormati bakat dan kebolehan masing-masing. Kekurangan saya adalah kekuatannya, begitu juga sebaliknya.



Dari hari pertama kami berkenalan, kami memang serasi, baik di dalam urusan profesional atau secara peribadi.



SR: Alan karyawan muzik berbakat. Saya rasa secara semula jadi kami boleh 'klik', baik ketika berurusan tentang bisnes muzik atau secara peribadi.



Tiada hari di mana saya rasa bosan atau terseksa apabila bekerja dengannya. Kami bertuah tidak bertemu ketika kami masih budak hingusan di sekolah.



Kami memulakan joan ketika kami kian matang dan ada tanggungjawab terhadap isteri dan anak. Kami sudah biasa bergaul dalam sebuah band. Jadi kami tahu apa yang baik dan tidak apabila berurusan dengan rakan sekumpulan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >