Walaupun dunia hiburan sering dikaitkan dengan glamor dan kepopularan, wujud golongan artis termasuk wanita, yang lebih sukakan imej misteri tanpa memaparkan wajah mereka kepada khalayak ramai. Di Barat, sudah sekian lama wujud artis Barat seperti Gorillaz, Daft Punk mahupun Sia, yang lebih ingin anda menilai suara dan muzik. Namun, dua kumpulan Melayu Singapura tampil dengan kelainan sebagai satu eksperimen atau bagi mencorak jenama baru dengan topeng ala adiwira. BERITA HARIAN melaporkan.
SEKILAS pandang, mereka kelihatan seperti adiwira DC Comics, Catwoman, yang bertopeng.
Salah seorangnya pula berpelitup jauh sebelum wabak Covid-19 melanda demi satu identiti yang ingin dikekalkan.
Dua wanita Singapura yang menggelar diri mereka Poetic Maleeka muncul dalam persada seni Singapura dengan imej berbeza lagi penuh misteri tanpa ingin diri mereka yang sebenar diketahui.
Terdiri daripada penyanyi rap Kasilda dan vokalis Laika yang ingin merahsiakan usia mereka, Poetic Maleeka menerima sambutan menggalakkan bagi lagu tentang diskriminasi jantina, Hipnotiz.
Ia dicipta penggubah lagu setempat Amyr Abadawn dengan lirik coretan Poetic Maleeka.
Lagu ini juga antara yang tersenarai dalam Carta Dasyat Giler, usaha artis setempat bergabung tenaga bagi mewujudkan pentas saingan sihat buat 'single' Singapura.
Duo rap ini ditubuhkan pada November 2019 sekitar 3 pagi di studio rakaman Studio 47. Awalnya, mereka tiada rancangan menjadi artis rakaman dan hanya menghasilkan lagu buat kenangan peribadi.
Namun, atas usulan Amyr yang ingin menggalakkan mereka agar tidak gentar mencuba dan mengetengahkan kelainan pada persada muzik Singapura, maka tertubuhlah Poetic Maleeka yang penuh misteri.
Hipnotiz, jelas Amyr, unik kerana mengadun irama hip hop dengan bunyian tradisional gamelan.
Diminta menjelaskan lebih lanjut tentang nama Poetic Maleeka, Kasilda berkata:
"Poetic Maleeka bermaksud Ratu Puisi atau 'Queen of Poetry'. Antara sebab kami memilih nama ini adalah berdasarkan keserasian keperibadian kami.
"Maleeka dipilih kerana kami suka perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud 'ratu'. Ia ibarat melambangkan seorang wanita yang tegas dalam penulisan kata-kata.
"Perkataan itu disampaikan secara jujur dengan susunan ayat dipentingkan kerana sesuatu kisah itu harus ada dalam penceritaan sesebuah lagu."
Laika pula menambah 'poetic' pula digunakan kerana ia simbol penulisan lagu mereka yang condong ke arah coretan puitis kesusasteraan dengan Kamus Dewan menjadi sandaran bagi penghasilan lagu-lagu rap.
Adakalanya, pantun nasihat juga dijadikan penyeri kerja seni mereka.
"Kami sebenarnya tidak menjangka Hipnotiz akan pergi sejauh ini dan menjadi perbincangan sesetengah pengamat muzik di YouTube yang membuat ulasan mereka.
"Kami awalnya hanya ingin dikenali secara 'underground' oleh golongan pencinta muzik tukikan sahaja. Mujurlah, Amyr dan pihak pengurusan Voz Management banyak membantu dan memberi dorongan kepada kami tanpa henti agar ketengahkan karya seni kami di media sosial," tambah Kasilda.
Imej misteri 'tidak berwajah' Poetic Maleeka pula ditetapkan kerana kedua-dua wanita ini merasakan ia bukanlah aspek penting yang menjadi keutamaan buat mereka.
Laika berkata:
"Kami lebih mengutamakan karya kami lebih daripada niat nak menonjolkan wajah kami. Kami tidak meraih sebarang inspirasi daripada kumpulan Barat atau mana-mana sumber lain. Malah, idea bertopeng ini dibuat secara spontan."
Selain Hipnotiz yang merupakan 'single' pertama mereka, terdapat beberapa lagu lain yang dihasilkan (termasuk gabungan dengan bakat lain) dan buat masa ini belum dirasmikan.
Ia termasuk Fasa 4, Rintihan (menampilkan Erynn dan Fatin SerulingLady), Mujahidah,Habib Albi (menampilkan Nertasha dan YK) dan Gari (menampilkan Fiezah Mazlan).
Kerjasama dengan rapper dan vokalis Malaysia juga diusahakan dengan rakaman dibuat melalui aplikasi Bandlab memandangkan Covid-19 masih melanda.
"Lagu itu bertajuk Kesuma dan menampilkan Dewi Roslan dan Asha Ortega. Ia dilancarkan sebulan yang lalu," tambah Kasilda.
Beliau kemudian menambah Hipnotiz terhasil daripada pengalamannya sendiri. Justeru, isu diskriminasi jantina ini harus diutarakan secara umum.
"Perkara ini memang wujud antara berlainan jantina, lelaki dan perempuan di mana salah seorangnya mempunyai muslihat mencapai matlamat peribadi dan menjatuhkan jantina yang seorang lagi.
"Sikap mengambil kesempatan dalam kebaikan seseorang dan setelah kepercayaan diberi 100 peratus ini adalah yang ingin kami ketengahkan dalam Hipnotiz," jelas Kasilda.
Poetic Maleeka mengharapkan kerjasama dan sokongan bakat tempatan tanpa mengira mereka sudah lama atau masih baru dalam persada seni.
Laika menambah:
"Pada masa akan datang, kami ingin menyampaikan penulisan yang berunsurkan positiviti seperti nasihat, pengalaman atau luahan hati yang memerlukan kefahaman daripada masyarakat dengan stereotaip masih berlaku di sana sini."
Mereka berdua mendapat inspirasi menghasilkan lagu rap dengan unsur sosial mendengarkan lagu-lagu 'rapper' legenda Malique dan anak buahnya, Kmy Kmo, Luca Sickta, BHeart dan Siqma.
"Tulisan lirik mereka mendalam dan tajam sehingga kita harus meneliti setiap ayat yang dihasilkan. Kepuitisannya begitu terasa dengan nilai kesusasteraannya begitu kaya.
"Poetic Maleeka banyak menonton drama Melayu di samping berdoa hasil karya kami mendapat reda Allah.
"Adakalanya, kami perlu gunakan imaginasi dengan mengharapkan ia datang tulus dari hati hasil pengamatan keadaan sekeliling dan bukan setakat dibuat-buat sehingga menjejas realisme lagu itu," kongsi Kasilda pula.