Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Indonesia lakar dasar penting demi elak penularan gelombang ketiga Covid-19

Nov 17, 2021 | 05:30 AM



PEMERINTAH Indonesia telah mula melakar dasar-dasar penting demi memastikan gelombang penularan ketiga dapat dibendung semasa musim perayaan hujung tahun ini.



Ini demi memastikan jumlah jangkitan kekal di paras terendah.



Perangkaan terbaru menunjukkan, daripada lebih empat juta orang Indonesia yang dijangkiti Covid-19 sejauh ini, sebanyak 96.3 peratus dinyatakan sembuh.



Kes aktif Indonesia kini berada di bawah 1 peratus.



"Tapi jangan lekas berpuas diri. Pandemik ini belum berakhir. Kerja kita belum selesai kerana virus masih mengancam. Jangan lengah dan tetap waspada," demikian amaran Presiden Indonesia, Encik Joko 'Jokowi' Widodo, di Facebook beliau awal bulan ini dengan mengetengahkan perangkaan terkini itu.



Yang jelas, usaha menangani pandemik koronavirus di Indonesia semakin positif dengan trend kes baru dan angka kematian berkurangan.



Memberi respons secara langsung di Facebook, Encik Jokowi, dua warga negara itu berkata:



"Alhamdulillah... Penanganan pandemik di Indonesia semakin membaik... semoga masyarakat tetap waspada dan menjalankan prokes (prosedur kesihatan) dengan baik. Terima kasih bapak Presiden Joko Widodo," kata Cik Ellen Rosyelina Sasmita.



"Kondisi negara kita di masa pandemik semakin membaik, dan semoga ekonomi dan sektor lainnya beransur pulih seperti sediakala," kata Encik Julfan Sibarani pula.



Terbaharu, pemerintah Indonesia bercadang melaksanakan vaksinasi ke atas kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun.



Agensi Pengawasan Makanan dan Ubat-Ubatan (BPOM) telah meluluskan penggunaan vaksin Coronavac, keluaran syarikat China, Sinovac, untuk penggunaan kecemasan bagi kanak-kanak semuda usia enam tahun.



Seorang ibu berusia 39 tahun, Cik Laura Noviana, dari Bekasi Jawa Barat ditukil akhbar, The Jakarta Post, minggu lalu sebagai menyatakan, beliau telah menunggu berbulan-bulan untuk anaknya yang berusia lapan tahun, Geoffrey, untuk mendapat vaksinasi.



"Izin penggunaan vaksin Covid-19 dari vaksin Sinovac Coronavac dan vaksin Covid-19 dari Bio Farma untuk anak usia enam hingga 11 tahun," kata ketua BPOM, Cik Penny Lukito, dalam sidang media pada 2 November lalu.



Langkah vaksinasi untuk kanak-kanak enam hingga 11 tahun ini adalah susulan selepas pelaksanaannya ke atas golongan 12 hingga 17 tahun.



Kelulusan penggunaan vaksin Coronavac ini dibuat selepas kejayaan uji kaji klinikal Fasa 1 dan 2 yang memberi tumpuan kepada keselamatan dan immunogenisiti - keupayaan vaksin mendorong respons pelalian dalam kalangan kanak-kanak.



"Kadar immunogenisiti yang dipamerkan semasa uji kaji itu sangat tinggi peratusannya - 96 peratus.



"Bagi kadar keberkesanannya pula, kami rujuk kepada hasil keputusan dari uji kaji klinikal sebelumnya," kata Cik Penny dalam sidang akhbar itu yang ditukil laman berita, Detik News.



Vaksin Sinovac adalah vaksin pertama yang mendapat kelulusan Indonesia bagi kegunaan dalam kalangan kanak-kanak, yang sebelum ini dihadkan kepada mereka berusia 12 tahun ke atas.



Dengan demografi yang lebih muda kini layak mendapat vaksin Covid-19, pembukaan sekolah boleh diluaskan dengan ibu bapa menjadi lebih yakin, kata Cik Penny.



"Pandemik masih jauh dari selesai dan kita mesti terus meluaskan usaha vaksinasi Covid-19. Saya fikir kanak-kanak tergolong dalam kumpulan rentan dan kita boleh mula vaksinasi mereka berusia enam tahun ke atas," katanya.



Indonesia telah melaksanakan lebih 194 juta dos vaksin Covid-19 sejak kempen bermula pada 13 Januari tahun ini, dengan 74 juta rakyat telah divaksinasi sepenuhnya.



Lebih daripada 26 juta kanak-kanak berusia di antara 12 dengan 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menurut dapatan Kementerian Kesihatan Indonesia.



Ketika ini, pemerintah Indonesia sedang membuat persiapan beberapa dasar bagi mencegah berlakunya gelombang ketiga jangkitan Covid-19 di hujung tahun dan semasa musim perayaan Krismas - tempoh yang dijangka menyaksikan pergerakan orang ramai dan menularnya varian jenis Delta.



"Pandemik Covid-19 belum selesai lagi. Pemerintah sedang menilai beberapa saranan dasar menjelang perayaan Krismas dan Tahun Baru 2022," kata Menteri Komunikasi dan Penerangan, Encik Johnny G. Plate, yang ditukil akhbar, Jakarta Globe, pada 8 November lalu.



Pasukan bertindak Covid-19 telah menggesa semua tapak pelancongan untuk beroperasi dengan jumlah terbatas dan mengarahkan pasukan bertindak membentuk protokol keselamatan.



"Kami masih menilaikan beberapa peraturan lain dengan kementerian dan badan berkaitan lainnya," kata Encik Johnny.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >