Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

TAZKIRAH MUFTI SEMPENA MAULID NABI

Islam susun formula akhlak baik bawa kebaikan pada manusia

Rasulullah saw dikenali sebagai insan dengan karakter moral yang tertinggi
Nov 05, 2021 | 05:30 AM



Berikut sedutan tazkirah Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir di Majlis Zikral Maulid di Masjid Al-Falah semalam.



"TINGGAL dua hari lagi sebelum Rabiulawal melabuhkan tirainya - dan oleh kerana kebanyakan kita meraikan Maulidul Rasul pada 12 Rabiulawal - dan ada yang mungkin mengatakan ia sudah agak terlewat.



Namun ingin saya mengingatkan bahawa mengingati Rasulullah dalam kehidupan kita perlu dilakukan setiap waktu dan setiap detik.



Ini kerana Allah swt sendiri dan para malaikatNya memuji dan memberkati Rasulullah saw dengan belas kasihan.



Apabila kita selawat ke atas junjungan Nabi kita, Nabi Muhammad saw, ia bermakna kita berdoa kepada Allah swt untuk memberkati Rasulullah saw.



Apabila Allah swt menghantar utusannya Nabi Muhammad saw untuk menunjukkan kebenaran daripada kepalsuan, memberi cahaya kepada kegelapan dan Allah berkata cukup untuk Allah menjadi saksinya.



Jika manusia enggan mengikuti ajaran yang disampaikan Rasulullah saw, ia sedikit pun tidak mengubah hubungan antara Rasulullah saw dengan Allah swt.



Sebaliknya kita yang memerlukan bimbingan daripada Rasulullah saw.



Dalam banyak ayat Al-Quran, Allah swt memberi keterangan terhadap perwatakan Rasulullah, Allah telah berkata bahawa Rasulullah saw memiliki karakter moral yang tertinggi.



Ini selain memberi keyakinan kepada Rasulullah mengenai usahanya dalam menyebarkan kebaikan kepada manusia.



Justeru mengingati Rasulullah saw ini tidak kenal erti sempadan masa atau tempat.



Maka tidak kira bulan ini atau bulan selanjutnya, kita perlu mengingati Rasulullah saw atas bimbingannya



Justeru dalam kita menghadapi cabaran, kesusahan, ketidaktentuan, tribulasi, perlu untuk kita selalu mengingati bimbingan Rasulullah saw, yang akan menjadi cahaya, bagi memberi kita harapan dan keberanian dan memberi laluan untuk kita terus mendapatkan huraiannya.



Dalam Surah At-Taubah, Allah swt menjelaskan karakter Rasulullah saw. Apa yang ada di dalam hati dan mindanya dan ia diterjemahkan menerusi tindakannya.



Ia merupakan sesuatu yang agak sukar, membebankan dan menyakitkan hati apabila melihat kesengsaraan yang dihadapi ummahnya.



Oleh itu dalam setiap ajarannya, Rasulullah saw akan menekankan kesederhanaan, dan toleransi.



Ini bermakna dalam setiap kesukaran Rasulullah saw akan memilih jalan keluar daripada kesukaran itu.



AKHLAK MUSLIM



Jika kita melihat semua aspek dari ajaran Rasulullah dalam menangani akhlak, anda akan melihat bagaimana Islam menyusun satu formula berakhlak yang baik terhadap diri sendiri yang membawa kebaikan kepada orang lain di sekeliling kita sepanjang masa.



Malah ini boleh dikatakan antara bahagian terpenting dalam Sunnah Rasulullah saw.



Malah bagaimana perwatakan Nabi saw di rumah - apa yang baginda lakukan dan perkatakan. Ia digambarkan oleh isteri baginda, Aisyah dengan Rasulullah menjadi watak terbaik di dalam rumah.



Apa yang anda baca dalam al-Quran, akan ada temui dalam kehidupan Rasulullah. Inilah yang perlu dibongkar.



Dan itulah sebabnya Nabi saw akan sentiasa bangkit mengatasi perwatakan orang lain di sekelilingnya, dan baginda akan berbuat baik berhubungan dengan manusia. Itulah cinta Rasulullah yang tidak melampaui batas.



Oleh itu, kita tidak boleh menolak kejahatan dengan kejahatan. Itu bukan cara Rasulullah.



Ini memerlukan akhlak, sikap serta minda yang perlu kita kembangkan. Kita perlu melatih diri kita.



Apabila kita mengatakan kita mencintai Nabi saw apabila kita menyambut Maulid, membaca selawat, kita juga harus mengingatkan diri kita bahawa kita perlu melatih diri kita untuk mendekatkan diri dengan keadaan minda seperti itu.



MUSLIM DAN CABARAN MASA KINI



Buat masa ini di dunia, kita sedang menghadapi banyak cabaran utama, krisis yang mencabar dan kita harus bertanya kepada diri kita sendiri tentang respons kita sebagai Muslim.



Kita menyambut Maulid dan membaca selawat, kita membaca al-Quran.



Tetapi kita harus berupaya menggunakan ajaran dan nilai-nilai yang diajarkan untuk membawa kebaikan kepada orang lain dan dunia di sekeliling kita - dengan cara yang menunjukkan kita faham sepenuhnya dan menghargai serta menjiwai nilai-nilai murni ini.



Masyarakat kita telah berjaya memahami keutamaan yang ada dan bekerjasama dengan masyarakat lain untuk memberi sumbangan mengatasi pandemik ini.



Namun ada juga cabaran lain, bukan sahaja di Singapura malah di serata dunia.



Kita melihat ketidaksamaan sosial.



Ada perubahan iklim dan penghangatan Bumi. Ini adalah cabaran-cabaran utama.



Saya rasa kita yang memahami pesanan Nabi Muhammad saw juga sedar ada banyak lagi yang boleh kita lakukan, walaupun secara kecil-kecilan.



Bagaimanakah kita boleh mempertahankan sekitaran?



Apakah perubahan gaya hidup yang perlu kita lakukan supaya dapat menyahut cabaran ini.



Sebagai contoh, kita tahu Nabi Muhammad saw pernah bercakap tentang menanam pokok untuk menghasilkan buah-buahan yang boleh dimakan haiwan dan manusia.



Dan setiap kali buah-buahan itu dimakan atau memanfaatkan kehidupan lain, ia adalah satu kebajikan.



BERBUAT KEBAIKAN



Nabi Muhammad saw meminta kita supaya memberi tumpuan kepada kebaikan.



Nabi Muhammad saw memberitahu sahabatnya supaya tidak membazirkan air sungai walaupun jika anda sedang membersihkan sungai yang tercemar. Saya rasa ini adalah contoh yang hebat.



Ramai orang melihat sungai sebagai sumber air yang tidak boleh dihabiskan. Air dilihat sentiasa mengalir dah sesiapa sahaja boleh mengambil seberapa banyak yang dimahukan.



Namun Nabi Muhammad saw berkata kita tidak harus membazirkan air walaupun semasa mengambil wudhu di sungai yang mengalir. Kenapa?



Ini melibatkan sikap dan kelakuan yang harus ditukar.



Justeru, bagaimanakah kita memberi respons kepada krisis yang mengancam kewujudan kita?



Apakah peranan kita sebagai Muslim dalam menyatukan orang dari kepercayaan berbeza, dari berbilang budaya, agama, untuk memperkukuh pemahaman kita, memperkuat empati dan sikap toleran kita dan cinta kita pada kebaikan dalam setiap insan?



Nabi Muhammad saw telah menunjukkannya.



Apakah keutamaan kita dalam memahami Islam? Kerana ada kecenderungan dalam kalangan kita sebagai Muslim, untuk membeza-bezakan mengikut apa yang dianggap keagamaan dan kita ada pemikiran tertentu mengenai suatu yang dianggap ibadah atau tidak.



Ini adalah satu kepercayaan yang salah kerana perpecahan sedemikian tidak wujud kerana Nabi Muhammad saw telah memberi contoh, meskipun ada yang beranggapan ia tidak berhubung kait.



Jika sesuatu mendatangkan kebaikan, jika ia membawa harmoni dan membuat orang berkelakuan lebih baik… ini semua adalah sebahagian sumbangan keagamaan anda, sebahagian keperibadian dan sifat keagamaan anda.



Nabi Muhammad saw tidak melakar garisan yang kita adakan pada masa ini. Nabi Muhammad saw tidak mengadakan sempadan yang kini wujud. Ruang dan peluang ada bagi kita memberi sumbangan… untuk melakukan kebaikan bagi semua manusia, menerusi kata-kata kita dan tindakan kita.



ISLAM YANG TERBAIK - JANGAN LUKAI ORANG LAIN



Jika saya diminta memberi tumpuan kepada satu jenis Islam, diminta memilih jenis Islam yang terbaik, cara terbaik menyembah Allah… apakah jenis Islam itu? Apakah yang dikatakan oleh Nabi Muhammad saw?



Islam yang terbaik adalah apabila orang lain tidak dilukai. Ia bukan sekadar beribadah di rumah, berpuasa, memberi zakat dan menunaikan haji, walaupun kita berfikiran Islam adalah sedemikian semata-mata?



Nabi Muhammad saw berkata Islam yang terbaik, selain kewajipan yang telah dikatakan, dalam kita melaksanakan ibadah, untuk memastikan ibadah kita tidak melukai orang lain. Inilah di mana kita harus menyesuaikan diri kita sendiri dengan keadaan dunia yang kini lebih terhubung, terutama di media sosial.



Malah, Facebook telah mula beralih kepada alam maya selanjutnya metaverse.



Justeru, interaksi sedemikian harus dikawal, sama ada ia berlaku di alam nyata atau di alam maya.



Kita telah melihat bagaimana dunia media sosial, walaupun belum beralih kepada dunia metaverse, telah direka supaya orang berasa tidak bersalah untuk menyerang orang lain menggunakan kata-kata dan perbuatan lain.



Ini tidak dibenarkan dan melanggar ajaran Nabi Muhammad saw dan Al-Quran mengajar kita untuk mengadakan perbincangan dan mencari huraian dengan mendengar sudut pandang berbeza. Itu yang digalakkan.



Namun Islam melarang perbuatan melukai orang lain dengan berbohong, mengajukan tuduhan yang menghina orang lain, tidak kira siapa gerangannya. Jika kita berbuat demikian, ada sesuatu yang tidak kena dengan Iman kita dalam Islam.



Justeru ada banyak yang perlu kita fikirkan, sebahagian daripada muhasabah diri kita dalam bulan mulia Maulid ini.



Malah, kita harus meneruskan usaha ini di luar bulan Rabiulawal, Setiap kali kita mengucap selawat, kita harus mengingatkan diri kita sendiri betapa dekat atau jauhnya kita dari Nabi Muhammad saw dari segi perbuatan kita, kata-kata kita dan dalam maruah kita.



Semua itu bermula di rumah, dengan keluarga kita, pasangan kita, anak-anak kita, ibu bapa kita dan selanjutnya kepada rakan-rakan dan rakan kerja kita, masyarakat dan orang lain.



Kita boleh mempertingkat diri kita sendiri. Ini adalah perjalanan yang harus kita lalui… bukan sahaja sebagai individu malah sebagai satu masyarakat supaya kita semua terus memperkukuh jalinan hubungan antara kita."




“Majlis Zikral Maulid adalah acara tahunan bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad saw yang jatuh pada bulan Rabiulawal, bulan ketiga dalam kalendar Islam. Seperti umat Islam yang lain, saya menunaikan solat dan mendengar tazkirah di masjid. Tidak seperti hari-hari sebelum Covid-19 di mana masjid-masjid mengadakan sambutan yang agak besar, tahun ini, sama seperti tahun lepas, sambutan di masjid-masjid kita kini lebih sederhana. Namun, ia tetap indah dan bermakna. Awal hari ini saya berkesempatan menghadiri majlis Zikral Maulid di Masjid Al-Falah.

Alhamdulilah, di sebalik cabaran Covid-19, majlis ini berlangsung dengan lancar dan selamat, berkat usaha murni pihak masjid, para sukarelawan dan jemaahnya dalam mematuhi Langkah Pengurusan Selamat (SMM). Saya amat berbangga melihat bagaimana masyarakat Melayu/Islam kita terus menyesuaikan diri, terutamanya dalam mematuhi norma dan amalan sosio-agama kita.”

– Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >