Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Di sebalik lagu 'Tak Kembali'

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Di sebalik lagu 'Tak Kembali'

Kehilangan tunggak kehidupan dan penyeri rumah tangga iaitu seorang isteri yang penyayang pastinya membawa kekosongan dalam jiwa sang suami. Dua ikon dalam bidang masing-masing yang kebetulan ditinggalkan isteri masing-masing dek penyakit kronik yang melanda bergabung tenaga bagi mengilhamkan lagu baru, 'Tak Kembali'. BERITA HARIAN melaporkan kisah penyanyi legenda 1970-an, J. Mizan yang kembali ke persada seni berbekalkan lagu ciptaan jurulatih sepak takraw, Salleh Nanang.
Dec 11, 2020 | 05:30 AM

J. Mizan kembali menyanyi, ubati rindu peminat 

LEBIH empat dekad lalu, lagu berirama Hindustan dengan paluan tabla, Tiada Jalan Kembali, adalah antara irama terkenal yang menaikkan nama bintang legenda J. Mizan.

Tidak lama lagi, pada hujung bulan ini, penyanyi dengan nama sebenar, Jantan Mizan, 67 tahun, bakal kembali ke persada seni dengan lagu baru yang secara ironi bertajuk Tak Kembali.

Kedua-dua lagu dahulu dan kini memang tiada kaitan. Secara kebetulan, tajuknya hampir serupa dengan lagu ini dicipta melodi dan liriknya oleh anak saudaranya, Salleh Nanang.

Salleh dikenali dalam arena sepak takraw sebagai mantan jurulatih skuad sepak takraw nasional.

Bagi menyusun semula irama lagu genre balada rok 1980-an ini, Salleh mendapatkan sentuhan peneraju band rok Klutz, Shafiq Kamis.

Mengapa J. Mizan kembali dengan Tak Kembali? Inilah soalan pertama yang diajukan kepadanya dalam pertemuan di rumah Salleh di kejiranan Sembawang, baru-baru ini.

"Kalau nak difikirkan, saya sebenarnya terasa malas malah menolak dan enggan merakam lagu baru.

"Sebabnya, saya sudah berusia, sibuk pula dengan tugas sebagai pengangkat barangan di Jabatan Kecemasan, Hospital Besar Sengkang sejak beberapa bulan lalu.

"Namun saya terfikirkan hasrat ikhlas Salleh bikin lagu Tak Kembali ini buat arwah isterinya. Maka saya pun kotakan hajatnya.

"Saya juga dapat fahami perasaan seorang suami sebab saya sendiri kehilangan isteri saya sekitar Mac tahun lalu. Beliau diserang jangkitan paru-paru.

"Jadi unik jugalah... J. Mizan kembali dengan Tak Kembali," kongsinya yang juga memiliki banyak lagu 'hit' yang kekal menjadi siulan ramai seperti Hari Ini Dan Semalam, Senandung Hidup dan Kalau Ku Bayangkan.

Menurutnya, mudah menghayati dan menghadam lirik hasil pena Salleh dek pengalaman kehilangan isteri yang meniti hidup bersamanya selama 38 tahun.

Menjelaskan kali terakhir masuk studio sebelum projek baru ini, bapa lima anak yang kesemuanya sudah berumah tangga, berkata:

"Projek terakhir saya pada 2015 bersama Razzi M. Sejak itu, dah tak buat lagu lagi.

"Saya kekalkan suara 1970-an yang menjadi identiti saya tetapi muzik ikut era 1980-an...rok perlahan dan tak 'berat' buat saya hadam. Kita nak pancing pendengaran anak muda tetapi 'trademark' J. Mizan mesti ada.

"Apabila mendengar susunan semula irama lagu ini oleh Shafiq, saya suka dan dapat menjiwainya. Walau Shafiq muda, beliau dapat memahami apa yang sesuai dengan jiwa dan suara saya."

Lewat tahun lalu, J. Mizan berumah tangga dengan seorang wanita yang menetap di Pontian, Johor.

Kerana sekatan kembara dek Covid-19, mereka sudah berbulan lamanya tidak bertemu dan setakat membuat panggilan video.

Dalam sembang tengah hari itu, beliau turut berkongsi nostalgia perjalanan seninya.

Datuk enam cucu itu berkata:

"Segalanya bermula pada 1974. Saya berjiran dengan penulis lirik, Allahyarham Kamali Hudi di Bendemeer Road. Beliau kemudian menulis lirik lagu saya, Tiada Jalan Kembali.

"Kerana tahu saya menyanyi bersama band orang kahwin Kamasutra, Kamali mengusulkan agar saya bertemu 'orang kuat' syarikat rakaman EMI ketika itu, Allahyarham Kassim Masdor.

"Saya masih bertugas sebagai budak pejabat. Kalau dapat jadi penyanyi, siapa yang tak nak? Saya pun ke studio EMI di MacDonald House. Entah apa jadi pada suara saya pada hari itu...kedengaran serak. Abang Kassim tak nak. Dia suruh saya balik.

"Tak kisahlah sebab saya pun kata, mungkin tak ada rezeki. Alih-alih, saya dapat surat. Bapa saya kata, Abang Kassim minta saya pergi sesi uji bakat lagi. Kali ini, barulah saya berjaya dan diminta tanda tangan kontrak selama tiga tahun.

"Apabila persembahan mula banyak, saya berhenti kerja. Saya tiada pengurus dan bergerak sendiri. Abang saudara jadi pembantu peribadi dan tolong catat tarikh persembahan agar saya tidak lupa.

"Puas menjelajah sejauh Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Brunei. Bersama penyanyi lain di bawah EMI, Datuk Sharifah Aini, Datuk DJ Dave, Hail Amir dan Uji Rashid, kami menyanyi di 'fun fair'."

Kenangan lucu mengupah sepupunya untuk membalas kad Raya kiriman peminat dan menerima sampul berisi wang daripada peminat yang menghargai membuatnya tersenyum hingga ke hari ini.

Selain itu, beliau tidak akan lupa kenangan menaiki kereta polis untuk menyanyi buat banduan di penjara menerusi satu program kemasyarakatan stesen radio Klasik Nasional FM.

"Menyanyi buat banduan dalam satu acara melibatkan keluarga mereka juga meriah. Ada peraduan buat mereka menang motosikal.

"Penyanyi macam saya ke penjara naik kereta polis. Kami kongsi bilik sebab tiada hotel berhampiran dengan penjara. Senangnya kami semua bukan diva.

"Diberi bilik untuk tidur dan berehat, kami bersyukur walau perlu berkongsi," ceritanya.

Ada memori pahit? Katanya yang meminati bintang Indonesia, Bob Tutupoli:

"Kami terlewat dua jam di Pulau Pinang sebab tayar kereta pancit. Pentas kayu sudah digegar peminat sebab persembahan hanya bermula 10 malam. Mereka lempar barang.

"Bimbang juga ada yang 'riot' tapi kami kuatkan semangat dan nyanyi tanpa henti. Barulah mereka bertenang."

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3