Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

KESIHATAN & PERUBATAN

Jangan abai vaksin jika enggan kesan lebih buruk apabila dijangkiti

Dec 06, 2021 | 05:30 AM



DERIA rasa dan baunya hilang. Segala yang dimakan terasa tawar.



Begitulah pengalaman bekas pesakit Covid-19, Encik Abdul Qayyum Abdul Razak, seorang jururawat.



Beliau merupakan salah seorang ahli panel webinar kesihatan, bertajuk "Covid-19: Apa Kesudahannya" anjuran Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) dan disokong Berita Harian dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) baru-baru ini.



"Pada masa itu saya rasa panik... saya buat sesuatu... pesan makanan dari Grab... yang pedas, masin dan masam-masam.



"Cuba balik rasa yang saya selalu biasa rasa... hari keempat dah kembali. Saya gembiralah lepas empat hari dapat rasa makanan kegemaran saya semua," kongsi Encik Abdul Qayyum yang akui tidak dapat pastikan dari mana beliau dijangkiti penyakit ini sama ada dari hospital mahupun dari luar.



Walaupun agak terkejut dan sedikit tertekan apabila ujian swab Co÷vid-19 yang dijalaninya positif, pengalaman beliau diasingkan di sebuah chalet selama 16 hari dapat dilalui dengan adanya sokongan dari rakan sekerja yang turut menjalani kuarantin kerana mereka merupakan kontak rapatnya.



"Nasihat saya kepada semua masyarakat Melayu/Islam Singapura supaya mengambil vaksin, bukan untuk melancong tetapi untuk perlindungan sendiri.



"Kalau tidak mengambilnya, kalau sekiranya dapat Covid-19 agak s usah nanti... akan rasa lagi sakit nanti. Mengambil vaksin ini untuk lindungi kita dan keluarga kita juga," tambahnya lagi yang sudah pun mengambil dua suntikan vaksin.



Webinar tersebut turut disertai oleh anggota panel, Dr Elly Sabrina, doktor keluarga di Banyan Clinic; Dr Zainal Muttakin, pakar pediatrik dari The Cheery Child Clinic dan Dr Syed Harun Alhabsyi, pakar psikiatri, Institut Kesihatan Mental (IMH).



Masing-masing menyentuh antaranya tentang hidup dengan Covid-19, kesan wabak Covid-19 ke atas kanak-kanak dan kesannya pada kesihatan mental kita.



"Citra Covid. Macam sinetron Indonesia. Di dalam dua tahun ini seperti satu drama penuh dengan kejutan kerana kita menangani virus yang amat licik.



"Tetapi apa yang bagusnya yang telah keluar daripada drama ini adalah kerjasama global yang telah timbul di antara negara di seluruh dunia untuk memastikan bahawa kita masih dapat bertahan walaupun diserang oleh virus yang sangat licik ini," ujar Dr Elly yang turut merumuskan garis masa Covid-19 di webinar ini.



Pada awalnya, ketika kadar suntikan vaksin masih rendah, negara ini mengamalkan strategi "sifar Covid-19" namun ia kini beransur ke strategi "hidup dengan Covid-19".



Tambahan pula, kadar suntikan vaksin di kalangan penduduk Singapura sudah tinggi.



Kata Dr Elly: "Varian Delta sekarang boleh kita tangani. Walaupun ia amat mudah berjangkit tetapi daya tahan kita sudah pada tahap yang selamat. Dan kita akan mulakan strategi hidup dengan Covid-19.



"Kita perlu membuka sempadan negara secara bertahap untuk ekonomi.



"Kenapa? Kerana kita nak seimbangkan kehidupan dengan mata pencarian. Kita harus mengimbangi situasi agar tidak membebankan sistem penjagaan kesihatan. "



Dari pandemik ke endemik



Dr Elly menambah, virus SARS-COV2 tidak dapat dihapuskan. Ia akan terus hidup di kalangan manusia.



Ia boleh mencetuskan wabak bila-bila masa seperti empat jenis virus korona selsema yang wujud sekarang.



Penularannya boleh dikawal dengan kadar daya tahan kelompok yang tinggi melalui suntikan vaksin dan kadar kebersihan yang tinggi iaitu dengan pemakaian pelitup dan penjarakan selamat.



Vaksin penggalak



Suntikan vaksin mengurangkan risiko sakit teruk dan kematian. Bagaimanapun, perlindungan boleh berkurangan selepas beberapa bulan.



Suntikan penggalak dapat meningkatkan daya tahan tubuh terhadap penyakit teruk untuk jangka masa lebih lama.



Kesan wabak Covid-19 ke atas kanak-kanak



Dr Zainal pula menyatakan dari segi kesan klinikal, lebih 200 kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dijangkiti Covid-19 setiap hari di Singapura.



Namun, angka ini kian merosot sejak beberapa minggu ini. Kebanyakan daripada kanak-kanak berusia lebih dari satu tahun, dinilai oleh doktor sesuai untuk menjalani Program Pemulihan di Rumah (HRP).



Selalunya, mereka tidak mengalami gejala atau mengalami gejala ringan seperti demam selsema biasa.



Kebanyakan mereka mengalami demam, selsema, batuk , sakit tekak dan ada juga yang kehilangan deria bau dan rasa.



Segelintir daripada mereka mengalami sakit perut, muntah-muntah atau cirit-birit. Sebilangan besar kanak-kanak ini pulih dalam masa tiga hingga lima hari.



Kesan jangka panjang



Sindrom Radang Pelbagai Sistem dalam Kanak-Kanak atau Mis-C bersangkut paut dengan Covid-19.



Dr Zainal menerangkan, Mis-C adalah komplikasi yang jarang berlaku selepas jangkitan Covid-19.



Kadar global yang dilaporkan di negara Barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom dianggarkan 0.14 peratus di kalangan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19.



Tempoh di mana ia berlaku adalah antara dua hingga lapan minggu kemudian setelah mereka dijangkiti Covid-19.



Tanda-tanda Mis-C adalah deman tinggi melebihi 38.5 Celsius yang berterusan selama tiga hari atau lebih.



Kanak-kanak itu juga mengalami dua atau lebih tanda-tanda berikut cirit-birit, muntah-muntah, ruam, mata merah, pening atau sakit kepala dan ada masanya susah bernafas.



"Sekiranya anak anda mengalami tanda-tanda di atas setelah didiagnosis Covid-19 beberapa minggu sebelum itu, bawalah dia ke jabatan kecemasan kanak-kanak secepat mungkin," nasihat Dr Zainal.



Kesan Covid-19 jangka yang panjang pula adalah seperti sakit kepala, pening, degupan jantung yang cepat, keletihan, sengal-sengal otot, masalah tidur, kehilangan deria rasa dan bau.



Ia boleh berterusan hingga beberapa minggu atau beberapa bulan.



Namun, kesan jangka panjang ini adalah untuk sementara sahaja.



Kesan psikologi terhadap kanak-kanak



"Kanak-kanak tidak terlepas dari tekanan sewaktu pandemik ini. Tanda-tanda tekanan seperti gangguan kepada corak tidur kurang daya konsentrasi, hilang selera, perasaan cemas, degupan jantung yang cepat, susah bernafas dan sakit perut atau sakit kepala adalah antara gejala-gejala yang kerap yang dialami kanak-kanak sewaktu mengalami tekanan," jelas Dr Zainal lagi.



Beliau menambah, ia boleh berlaku akibat dari perintah berkurung (IO).



Ia mungkin lebih serius berbanding dengan sewaktu pemutus litar. Ramai yang berkurung bersendirian di dalam bilik berterusan selama 10 hari.



Berasa bimbang tentang kesan penyakit Covid-19 ke atas diri mereka.



Cemas sekiranya mereka menjangkiti ahli keluarga yang lain.



Kualiti tidur terjejas, masa skrin yang berlebihan, aktiviti fizikal yang kurang, rutin seharian di rumah/sekolah berubah, interaksi dengan famili tersekat - semua ini adalah faktor-faktor yang memberi kesan psikologi ke atas kanak-kanak.



Strategi menangani tekanan



Ibu bapa perlu adakan komunikasi yang terbuka dengan anak-anak dengan mendengar luahan mereka dengan empati.



Ibu bapa juga merupakan pembayang emosi untuk anak-anak. Cara ibu bapa menangani tekanan adalah cerminan dan contoh kepada anak-anak.



Lebih penting untuk semaikan rutin sihat, sewaktu pandemik: Hadkan waktu skrin, tetapkan waktu tidur, pemakanan yang sihat, dan beri masa untuk beristirahat dan bersenam sekurang-kurangnya 60 minit setiap kali dan tiga kali seminggu.




"Nasihat saya kepada semua masyarakat Melayu/Islam Singapura supaya mengambil vaksin, bukan untuk melancong tetapi untuk perlindungan sendiri. Kalau tidak mengambilnya, kalau sekiranya dapat Covid-19 agak susah nanti... akan rasa lagi sakit nanti. Mengambil vaksin ini untuk lindungi kita dan keluarga kita juga.''
- Encik Abdul Qayyum Abdul Razak, jururawat dan bekas pesakit Covid-19.




Soal jawab kesihatan





 



Kemukakan sebarang pertanyaan tentang kesihatan anda kepada kami. Doktor-doktor Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) yang bertauliah dan berpengalaman sedia menjawab segala persoalan.



Kemukakan soalan anda kepada: nizam@sph.com.sg




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >