Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Jatuh Boi' bangkitkan minat dalam rap Melayu

'Rapper' muda SG, YHB Sleepsalot, yang sebelum ini dikenali dengan rap Inggeris, berpadu suara dengan artis hip hop terkenal M'sia SonaOne
Jul 07, 2021 | 05:30 AM



BAGAIKAN bulan jatuh ke riba.



Itulah yang dirasakan rapper muda Singapura, YHB Sleepsalot, apabila artis hip hop terkenal Malaysia, SonaOne, berkongsi salah satu video rapnya, Karabujan, di Instagram.



"Saya macam tak percaya. Saya terfikir, ini akaun palsu SonaOne ke? Takut juga kalau beliau tak sukakan video saya.



"Saya kirimkan pesanan kepadanya tetapi tiada jawapan. Saya langsung e-mel kepada pengurusnya kerana ingin bekerjasama dengannya.



"Dua minggu selepas itu, Sona hubungi saya. Maka terhasillah paduan suara antara kami.



"Terima kasih kepada Sona kerana saya kini miliki lagu rap Melayu pertama, Jatuh Boi, setelah sekian lama menghasilkan lagu rap Inggeris," cerita YHB, 19 tahun, yang nama sebenarnya Muhammad Yasin Husaini, dalam wawancara Zoom yang diselaras Universal Music Singapore.



Rapper termuda yang bernaung di bawah label hip hop Def Jam Singapore (sebahagian sayap Asia Tenggara label hip hop berbilang negara Def Jam Recordings), mula bereksperimen dengan muzik seawal usia 13 tahun.



Nama YHB Sleepsalot dipilihnya secara rambang sebagai jenama hip hop dengan mencampurkan singkatan nama 'Yasin Husaini' dan keadaannya yang terlalu mengantuk dan banyak tidur.



Beliau dewasa dengan muzik yang digemari ibu bapanya dan sering diputar dalam kereta.



Elvis Presley, Backstreet Boys dan band Eagles merupakan sumber inspirasi awal yang membuatnya meminati muzik.



Namun, sejurus melihat idola remaja Canada, Justin Bieber, 'meledak' di pasaran dunia, YHB berkata-kata dalam hati:



"Kalau Bieber boleh cipta satu fenomena, saya pun mampu membuat 'ledakan' muzik hip hop saya sendiri!"



Don't Miss Demo merupakan single pertamanya di bawah Def Jam Singapore.



Lagu-lagu lain beliau yang tersenarai di dalam Senarai Hip Hop Asia Era Baru di wadah penstriman Spotify termasuk Terminal dan Blow Up.



Kini, Jatuh Boi pula memecah segala benteng di mindanya bahawa beliau tidak mampu berkarya dengan baik dalam bahasa ibunda.



Menceritakan lebih lanjut mengenai lagu terkini bersama SonaOne itu, YHB menjelaskan:



"Jatuh Boi adalah lagu motivasi. Kekata 'Jatuh Boi' itu adalah slanga dalam kalangan anak muda di Singapura yang menjelaskan tentang keadaan seseorang yang jatuh dalam kehidupannya atau gagal.



"Namun, apa yang cuba saya sampaikan kepada pendengar dan diri saya sendiri adalah kalau kita jatuh, kita mampu bangkit semula dan berdiri gagah.



"Ia adalah lagu yang ingin saya dengar berkali-kali... dalam masa sebulan dua, dengar kembali pun tak jemu sebab ia memperkasa semangat saya agar tidak mudah putus asa."



Beliau akur sebagai anak muda yang lebih terdedah pada penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian, timbul rasa tidak yakin mengarang lirik rap dalam bahasa Melayu.



"Saya meluahkan kebimbangan saya kepada SonaOne. Mampukah saya bikin lagu rap Melayu yang baik dan sedap didengar?



"Namun, betul kata Sona, belum cuba belum tahu...sekali cuba dan fahami betapa indahnya bahasa Melayu itu, pastinya kita akan tak berhenti ingin menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu.



"Sejak menghasilkan Jatuh Boi, saya mula berfikir dalam bahasa Melayu dan sejak itu, semua lagu yang dihasilkan dalam bahasa ibunda sendiri.



"Saya mula seronok bermain dengan kata-kata dan memanfaatkan suku kata bahasa Melayu yang membuatkan lontaran rap menjadi lebih 'hidup' dan bermaya.



"Lagi pun, apabila rapper Melayu menyanyikan lagu hip hop dalam bahasa Melayu, ia lebih dekat di hati dan akan sampai langsung ke hati pendengar Melayu," kongsinya lagi.



Keunikan menjadi rapper dwibahasa adalah sesuatu yang membezakan antara rapper Asia Tenggara dan Nusantara dengan rapper di negara Barat yang hanya menggunakan bahasa Inggeris, jelasnya.



"Saya ibarat rasakan saya mempunyai dua 'senjata' yang boleh saya gunakan dalam melontar luahan rasa saya," katanya yang selesa bergerak langkah demi langkah dalam mengejar aspirasinya dalam muzik.



Menurut YHB, beliau tidak meletakkan jangkaan tinggi untuk dicapai dalam arena hip hop.



"Cukuplah setakat menikmati kasih sayang peminat termasuk di Malaysia yang membuatkan saya lebih bersemangat menghasilkan lebih banyak lagu hip hop positif," katanya.




"Sejak menghasilkan Jatuh Boi, saya mula berfikir dalam bahasa Melayu dan sejak itu, semua lagu yang dihasilkan dalam bahasa ibunda sendiri. Saya mula seronok bermain dengan kata-kata dan memanfaatkan suku kata bahasa Melayu yang membuatkan lontaran rap menjadi lebih 'hidup' dan bermaya. Lagi pun, apabila rapper Melayu menyanyikan lagu hip hop dalam bahasa Melayu, ia lebih dekat di hati dan akan sampai langsung ke hati pendengar Melayu."
- 'Rapper' muda Singapura, YHB Sleepsalot, yang nama sebenarnya Muhammad Yasin Husaini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >