Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

MASJID HUSSAIN SULAIMAN

Jemaah imbau kenangan membesar sekitar masjid

Dec 02, 2022 | 05:30 AM



JAUH di mata, dekat di hati.



Walaupun Encik Said Zainol, 73 tahun, dan Encik Mohd Said Mohd Salleh, 69 tahun, masing-masing tinggal di Jurong West dan Bukit Panjang, mereka akan berkunjung ke Masjid Hussain Sulaiman (MHS) sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu.



Masjid bersejarah ini, terletak di kawasan Pasir Panjang Road dan boleh menampung sehingga sekitar 350 jemaah, adalah tempat di mana mereka solat, belajar agama dan bermain bersama-sama semasa mereka membesar di kawasan kampung berdekatan masjid ini.



Didirikan sebagai sebuah surau kampung pada 1902, MHS terletak di kawasan kampung yang dahulunya dikenali sebagai 'kampung batu enam setengah'.



Banyak kenangan mengenai masjid ini yang mencuit hatinya, kata Encik Mohd Said. Ketika mengunjungi masjid itu baru-baru ini, beliau berkata:



"Saya solat Hari Raya pertama saya di masjid ini di tepi pintu pagar, sebelah pokok saga, supaya saya boleh balik cepat. Ketika itu, saya baru darjah satu pada 1961."



Katanya lagi, masjid ini dahulu mempunyai sebuah kolah air.



"Jadi, semasa budak-budak dahulu, kalau saya lalu di masjid, saya mesti main-main air di kolah. Apabila dah kena tegur, barulah saya balik ke rumah," kata Encik Mohd Said.



Bagi Encik Said pula, masjid ini merupakan tempat ahli keluarganya berkhidmat kepada masyarakat.



Arwah datuk Encik Said adalah salah seorang imam masjid ini yang dikenali sebagai Tok Salleh sejak 1950-an. Allahyarhamah ibunya, yang dikenali dengan panggilan Mak Ton, pula merupakan guru mengaji kampung pada 1960-an dan kini adiknya, Encik Abdul Rahman Zainol, 58 tahun, menjadi Naib Pengerusi MHS.



"Di masjid, saya selalu jumpa kawan-kawan sebaya dan kami akan main bersama-sama sambil tolong di masjid," ujar Encik Said.



Beliau menambah bahawa masjid ini aktif menjalankan pelbagai kelas agama, dan majlis zikir pada setiap malam Jumaat (Khamis malam) dahulu.



Masjid ini juga mempunyai kumpulan hadrah yang akan menyerikan majlis sambutan hari besar Islam.



Menurut Encik Abdul Rahman, masjid ini dahulu menyantuni penduduk kampung di kawasan batu empat hingga batu sembilan, antaranya di Jalan Mat Jembol, South Buona Vista dan West Coast Drive.



Khabarnya, ia didirikan atas saranan seorang penduduk kampung bernama Hussain Sulaiman yang mengesyorkan penduduk kampung sama-sama mengumpul duit untuk membeli tanah di tapak masjid ini.



Maka, apabila masjid ini terdiri, penduduk kampung menyarankan masjid ini dinamakan Masjid Hussain Sulaiman.



Apabila masjid ini awalnya dibina, ia berbumbung zink tanpa kubah, kata Encik Abdul Rahman.



Bangunannya kemudian diubah suai dan peningkatan dijalankan pada tahun-tahun berbeza tetapi masih tetap mengekalkan seni bina asalnya - pada 1940, masjid ini dibina mengikut bentuk masjid Singapura yang lain dan dipasang rekaan kerawang; pada 1992, tempat jemaah Muslimah dibina; pada 2000, kubah masjid didirikan; pada 2008, seorang jemaah masjid mewakafkan alat hawa dingin buat seluruh masjid; dan dari 2016 hingga 2018, MHS diubah elok apabila jalan raya sepanjang Pasir Panjang Road diperluas daripada satu lorong kepada dua lorong.



"Sehingga hari, sembilan tiang asal masjid ini dipelihara kerana ia masih tegap dan kuat, manakala rekaan kerawang masjid yang dibina pada 1940 juga dikekalkan," kata Encik Abdul Rahman.



Mengulas tentang perkembangan Masjid Hussain Sulaiman, Encik Abdul Rahman berkata:



"Masjid ini berkembang seiringan dengan kemajuan di sekeliling kawasan masjid. Hari ini, selain dihadiri jemaah yang tinggal berdekatan, ia juga menyantuni segolongan besar pelajar dan pekerja di kawasan sekeliling termasuk mereka daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), Hospital Universiti Nasional (NUH), operator pelabuhan PSA Singapura dan Taman Sains Singapura."



Bahkan, semasa terjadinya pandemik Covid-19, pihak masjid turut menyesuaikan diri dengan keperluan teknologi supaya MHS dapat meneruskan pembelajaran agama dan mengaji serta menyampaikan ceramah kepada jemaah melalui dalam talian, kata Encik Abdul Rahman.



Kini, MHS mengadakan program pada hampir setiap malam secara fizikal dan dalam talian iaitu sesi belajar mengaji pada setiap Isnin; belajar agama pada setiap Selasa; belajar Al-Quran pada setiap Rabu; majlis bacaan Yasin dan tahlil dan zikir pada setiap Khamis; sesi talaqqi Al-Quran pada setiap Jumaat; dan belajar taklim bahasa Arab pada setiap Sabtu.



Menjelang 4 Disember ini, Masjid Hussain Sulaiman bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-120.



Melangkah ke depan, Encik Abdul Rahman berharap masjid ini akan terus makmur dengan penglibatan jemaah dan sukarelawan. Pihak masjid juga berharap dapat mengasuh pelapis yang boleh mengurus perihal pentadbiran masjid.



"Alhamdulillah, kami masih mendapat sokongan masyarakat yang menghulurkan derma dari segi wang atau makanan dan rela mengorbankan tenaga demi membantu membersihkan ruang masjid. Kami harap dapat terus memelihara semangat gotong-royong dalam kalangan jemaah ini," kata Encik Abdul Rahman.



Bagi mendekati jemaah, pihak masjid mengamalkan tradisi dengan imam dan bilal masjid akan bersalaman dengan setiap jemaah sebelum mereka sama-sama menunaikan solat fardu lima waktu.



Bekas imam yang pernah berkhidmat di masjid ini ialah Allahyarham Haji Mohd Salleh Sulaiman, Allahyarham Haji Zainol Awang Chik, Allahyarham Haji Abdul Rahman Ahmad, Allahyarham Haji Mohd Ariff Man Taha serta Allahyarham Haji Zainudin Sadap.



"Semoga Allah swt merahmati mereka dan kami ucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli keluarga mereka," kata Encik Abdul Rahman.



Katanya lagi:



"Pada akhir kata, kami mengambil peluang ini menjemput sekiranya ada ahli keluarga keturunan Encik Hussain Sulaiman yang sudi kenalkan diri mereka pada kami. Kami ingin sangat berkenalan dan memberi penghargaan kepada mereka."




HUBUNGI MASJID



Masjid Hussain Sulaiman terletak di 394, Pasir Panjang Road Singapura 118730. Untuk pertanyaan, sila hubungi talian 6359-1199




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >