Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ARTIS SEBERANG

'Jiwa Sama' usaha bakat M'sia Jasper sebar pesan perpaduan kaum

Sep 16, 2021 | 05:30 AM



JIWA jelitawan pelbagai kemahiran seni, Jasper Supayah, dibendung rasa sedih dan gelisah sepanjang terkurung di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seberang Tambak.



Suatu pagi, ketika pulang ke pangkuan keluarga di Johor Bahru, beliau yang diselubungi kepiluan mengetahui tentang angka kes jangkitan Covid-19 yang meningkat dengan banyak saban hari, langsung ke piano.



Di situlah Jasper, 28 tahun, meluahkan segala jiwa raganya dan terciptalah melodi yang meruntun jiwa dengan naluri nasionalisme.



Demo lagu ini kemudian diserahkan kepada penerbit eksekutif dari label rakaman Map Music, Encik Teoh.



Bagaikan sudah diatur, rakannya Adam Ezzy mengirim pesanan kepada Jasper, bertanya jika sudi mencipta lagu baru bersama.



Hasil kerjasama irama ciptaan Jasper dan Adam serta lirik yang turut disumbangkan pengurus Jasper, Lynnda Sharudin, terhasillah lagu sempena Hari Malaysia, Jiwa Sama.



Lagu ini didendangkan artis pelbagai bangsa. Selain Jasper dan Adam, Gowri Arumugam, Winnie K, Fiza Thomas, Rachel Ang, Heerraa, Naufa dan Iss Arffan turut memberikan sentuhan vokal mereka.



Klip video lagu ini disiarkan di laman YouTube Map Music semalam manakala mulai hari ini ia boleh didengar di semua wadah digital sempena Hari Malaysia yang diraikan setiap tahun pada 16 September.



Hari Malaysia memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada tarikh yang sama pada 1963. Ia menandakan gabungan bersama Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.



Ketika dihubungi Berita Harian, Jasper, alumni Akademi Fantasia, cukup sebak mengenang perjalanannya mencipta dan menerbitkan lagu ini bersama Adam dengan penerbit bersama adalah Syko G.



"Jiwa Sama terhasil apabila saya benar-benar terkesan dan terjejas sewaktu PKP. Penggambaran drama tidak dapat diteruskan. Saya terfikir nak buat apa.



"Sambil mengenang nasib saya, saya fikir juga nasib anak seni lain. Saya bersyukur saya masih ada rumah untuk berteduh dan makanan untuk disajikan buat seisi keluarga. Bagaimana pula dengan mereka yang tiada semua ini?



"Bagaimana juga dengan mereka yang kehilangan orang tersayang kerana Covid-19?" cerita Jasper yang juga pelakon filem Polis Evo 2 dan J2: J Retribusi.



Di sebalik segalanya, Jasper menemui hikmah di mana beliau melihat bangsa berbeza di Malaysia dan Singapura saling membantu.



"Saya adalah sebahagian badan bukan kerajaan (NGO) di Johor dan menyaksikan sendiri kerja keras teman-teman dari bangsa Melayu, Cina, India dan Serani saling membantu dalam tempoh sukar ini.



"Dalam situasi dunia yang sakit kerana wabak ini, kita dapat lihat semangat berkongsi sumber dan menyumbang kepada masyarakat penuh keihsanan demi kemanusiaan bangkit semula.



"Kita kembali kepada asal-usul kita. Tak kira di Malaysia atau Singapura, ada konsep perpaduan kaum. Kita mampu duduk di bawah satu bumbung dengan harmoni.



"Meskipun wujud kes-kes tertentu yang menampakkan perkauman atau sikap 'Aku Melayu', 'Aku Cina' dan 'Aku India' dan tak mahu 'geng' dengan bangsa lain, apa yang kita perlu lakukan adalah menyemai semangat saling membantu tanpa mengira kaum," ujar Jasper.



Sepanjang lima tahun terlibat dalam seni, beliau tidak terfikir pun dapat bergelar penerbit bagi sesebuah kerja seni. Mulanya, hanya lima artis terlibat. Tiba-tiba bertambah menjadi sembilan artis pula.



Jasper banyak belajar tentang pengurusan artis dan kepekaan dalam menghasilkan lagu bernadikan semangat keharmonian kaum.



Baginya, klise untuk artis dalam klip video Jiwa Sama menggunakan baju tradisional setiap kaum. Beliau memilih jalan tengah menggunakan baju kasual dan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia bagi menunjukkan semua orang sama mengharungi tempoh sukar kini.



"Ia adalah pengalaman yang mengubah takrifan pemikiran saya. Apa yang saya ingin tekankan adalah jangan mudah berputus asa dan berusaha gigih dalam mengejar cita-cita.



"Lambat atau cepat terlaksananya projek idaman kita itu usah dijadikan hambatan. Apabila sampai masa yang tepat, Tuhan akan mengatur segalanya buat kita," kongsinya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >