Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Jumlah wanita Melayu jalani ujian mamogram, pap terus rendah

Sempena Hari Barah Sedunia hari ini, Persatuan Barah SG mahu tingkat kesedaran, khususnya kaum minoriti, tentang penting ujian pengesanan awal barah
Feb 04, 2021 | 05:30 AM



PERATUSAN rendah yang berterusan wanita Melayu yang menjalani ujian mamogram dan ujian pap bagi mengesan awal barah buah dada dan barah serviks menimbulkan keprihatinan Persatuan Barah Singapura (SCS).



Statistik Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2019 menunjukkan hanya 28.9 peratus wanita Melayu berusia antara 50 dengan 69 tahun menjalani ujian mamogram.



Ini berbanding 40.1 peratus wanita Cina dan 41 peratus wanita India dalam peringkat usia sama.



NHPS 2017 juga menunjukkan peratusan rendah 10.4 peratus wanita Melayu dalam kumpulan usia itu menjalani ujian mamogram, berbanding 32.2 peratus wanita Cina dan 46.3 peratus wanita India.



Tinjauan itu juga menunjukkan peratusan wanita Melayu berusia antara 25 dengan 74 tahun yang menjalani ujian pap adalah 34.8 peratus, berbanding 49.9 peratus wanita Cina dan 46.1 peratus wanita India.



Pada 2017, peratusan wanita Melayu yang menjalani ujian pap juga rendah, iaitu 29.1 peratus, berbanding 48.5 peratus wanita Cina dan 47.4 peratus wanita India.



Selain itu, perangkaan NHPS 2019 mendapati wanita Melayu berusia antara 50 dengan 74 tahun yang menjalani ujian mengesan barah kolorektum juga terendah (31.9 peratus) dalam kalangan kaum di sini.



Peratusan wanita Cina yang menjalani ujian itu ialah 43.6 peratus, manakala wanita India pula 37.5 peratus.



Oleh itu, antara misi SCS bagi Hari Barah Sedunia, yang disambut hari ini, ialah mempertingkat kesedaran awam, khususnya kaum minoriti, mengenai kepentingan menjalani ujian pengesanan awal barah.



Mengulas mengenai perkara ini dalam satu wawancara Zoom bersama Berita Harian kelmarin, Dr Rauzanah Afandi daripada Klinik SCS@Bishan, berkata: "Generasi wanita Melayu berusia mempunyai pelbagai keprihatinan tentang menjalani ujian pengesanan awal barah buah dada, barah serviks dan barah kolorektum.



"Rata-rata mereka yang sudah putus haid takutkan kesakitan menjalani ujian pengesanan barah seperti mamogram dan ujian pap. Ada daripada mereka malu bertemu doktor manakala yang lain mempunyai salah tanggapan ujian mamogram dan ujian pap perlu dijalani sekali sahaja seumur hidup, sedangkan ia perlu dilakukan secara tetap.



"Dalam kita mendekati golongan ini dan memberi mereka keyakinan bahawa ujian awal lebih banyak membantu pengesanan awal dan pencegahan penyakit daripada menjadi teruk, kita perlu beri kata-kata perangsang.



"Ramai berkata mereka tak boleh tidur sehari sebelum ujian. Saya akan memberi mereka galakan bahawa di sebalik takutkan kesakitan, mereka mengorak langkah berani hadir bagi ujian ini. Ini adalah satu anjakan minda besar demi masa depan mereka."



Menurut Dr Rauzanah lagi, perlu ditekankan kepada individu yang berfikir dua kali untuk menjalani ujian itu betapa mereka perlu sihat demi menggalas amanah besar menjaga anggota keluarga lain.



Bagi golongan muda, Dr Rauzanah akur sesetengah mereka, khususnya yang belum berumah tangga, bimbangkan stigma menjalani ujian pap.



"Mereka takutkan akan tanggapan orang yang tahu mereka menjalani ujian ini, kerana ada tanggapan bahawa ujian itu hanya bagi mereka yang aktif secara seksual.



"Lantaran itu, wanita bujang rasa berat menjalaninya. Namun, hasil ujian pengesanan ini, kami dapat mengesan kondisi prabarah dalam kalangan wanita muda. Penyakit barah tidak mengenal usia. Ia bersangkutan dengan gaya hidup.



"Oleh itu, penting bagi wanita Melayu menjalani ujian pengesanan awal ini demi kesihatan mereka," katanya.




"Penyakit barah tidak mengenal usia. Ia bersangkutan dengan gaya hidup. Oleh itu, penting bagi wanita Melayu menjalani ujian pengesanan awal ini demi kesihatan mereka."
- Dr Rauzanah Afandi daripada Klinik SCS@Bishan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >