Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Kami Peduli' kongsi rezeki, kenang jasa artis S'pura

Mereka adalah usahawan dengan amanah sendiri untuk dilaksanakan bagi kelancaran bisnes masing-masing. Namun demi meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan termasuk artis yang berdepan dengan penyakit kronik, mereka turun padang demi menggerakkan projek mengumpul dana. BERITA HARIAN melaporkan kisah usahawan selebriti berjiwa murni.
Dec 14, 2020 | 05:30 AM



HIDUP ibarat putaran roda. Kadang di atas, kadang di bawah.



Air pun ada pasang surutnya. Begitu juga dengan nasib seseorang. Selepas mengecapi kesenangan dan terkenal sewaktu dikurniakan kesihatan, suatu ketika individu ini perlu akur ujian penyakit datang melanda.



Pepatah Melayu zaman-berzaman inilah yang menjadi pegangan dua sahabat karib, Pengarah Urusan Life Records, Encik Osman Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Orange Events and Media, Encik Syah Ibrahim.



Mereka kini menggerakkan projek amal buat artis yang memerlukan dan dilanda penyakit kronik secara sukarela, Kempen Kami Peduli.



Kempen ini masuk tahun ke-15 dan sudah membantu lebih 100 aktivis seni meliputi pelbagai cabang kesenian seperti muzik, lakonan, lawak jenaka, tarian dan juruhebah.



Ia juga diperluaskan bagi menyokong anggota keluarga artis yang sakit dan perlu membiaya kos rawatan tinggi.



Baru-baru ini, Encik Osman dan Encik Syah mengadakan majlis penyampaian habuan di Istana Ballroom, Tanjong Katong Complex, buat 23 artis dan anggota keluarga mereka.



Hasil kerjasama dengan pengurus syarikat Nazreen Catering, Syed Hafiz pada Hari Raya Aidiladha lalu, sebanyak $18,000 terkumpul menerusi jualan amal nasi beriani dam dan 'double lamb shank' serta nasi tomato dan bamia.



Sebanyak $5,000 kemudian disumbangkan Encik Syah dan Encik Osman bagi membolehkan peruntukan habuan $1,000 seorang diagihkan kepada 23 artis.



Ketika ditemui baru-baru ini, Encik Osman menjelaskan:



"Ini sudah menjadi amanah sosial kami. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.



"Di Malaysia, banyak badan yang menjaga kebajikan artis tetapi di Singapura tiada pula.



"Kekosongan inilah yang cuba kami isikan dengan harapan dapat meringankan beban teman-teman artis yang sebilangannya mengharungi usia senja dengan ujian penyakit.



"Ia bukan badan rasmi. Tiada jawatankuasa yang dibentuk pun. Namun, inilah satu cara kita dapat menggembleng tenaga dan dapatkan sokongan masyarakat untuk menyumbang kepada anak seni.



"Suatu ketika dahulu, lagu, lakonan atau lawak jenaka insan kreatif ini, menceriakan kita. Kempen Kami Peduli ini adalah satu usaha menyumbang semula kepada artis ini sebagai tanda terima kasih terhadap jasa mereka dalam arena seni Singapura."



Encik Syah pula menambah:



"Kami bukan ingin menjadi wira atau menunjuk-nunjuk dengan projek amal ini.



"Seberapa boleh, kami berharap lebih ramai bakat seni muda Singapura dapat tampil membantu sama.



"Melihat perjuangan anak seni ini memang satu proses membuka mata. Berapa ramai yang membuat persediaan bagi hari tua?



"Kita lihat kesedihan. Ada yang rasa keseorangan, dibelenggu sakit atau tiada pendapatan.



"Secara peribadi, saya yakin dengan kelebihan menyumbang semula kepada masyarakat. Konsep beramal dan berkongsi rezeki dalam perniagaan itu saya pegang.



"Dalam Islam, kita dianjurkan untuk memberi dan berkongsi, bukan untuk mendabik dada kita sudah berjaya tetapi lebih pada tuntutan memberi buat ummah.



"Suatu ketika dahulu, apabila kami mengusahakan pameran dagangan di Singapore Expo, artis-artis ini penyeri persembahan. Dari acara sebegini, mereka dapat pendapatan.



"Sekarang kerana pandemik Covid-19, nak dapat persembahan musim Lebaran pun tiada lagi.



"Saya tahu ramai yang menderita dalam diam tetapi segan meminta bantuan atau tak tahu caranya bagaimana. Justeru, Kempen Kami Peduli menjadi ruang membantu mana-mana yang termampu."



Beliau melihat titisan air mata artis yang menerima habuan.



"Dalam kesempitan yang dirasakan, mereka berbesar hati diraikan dalam majlis makan malam dan menjalin silaturahim kembali dengan teman lama. Mereka pun lihat mereka tidak keseorangan meniti usia dengan ujian penyakit.



"Persada seni kita kecil. Lihat pelakon Abdullah Ahmad berkongsi tentang nasib anak seni Singapura, tengok mantan deejay, Siti Aminah Siregar yang merupakan antara 'sifu' saya tadi, sebak hati ini.



"Ia banyak mengingatkan kami. Kini kita memberi, suatu hari nanti kita menerima. Cuma kisah kita bila tua nanti, kita tak tahu bagaimana? Mungkinkah kita menerima layanan yang sama?" ujar Encik Syah lagi.



Encik Osman dan Encik Syah juga merakam terima kasih kepada artis veteran seperti Jorah Ahmad, Zaliha Hamid dan Masturah Ahmad, yang sudi membantu dalam Kempen Kami Peduli.



"Malah, kami turut memberi habuan buat Kak Jorah hari ini sebagai tanda penghargaan kami di atas jasanya membantu menggerakkan kempen ini dari tahun pertama lagi.



"Kita tak perlu tunggu orang bertongkat dan terlantar kerana berpenyakit kronik untuk membantu," ujar Encik Syah lagi.



Dalam acara tempoh hari sibuk dikendalikan, Encik Osman turut menerima panggilan telefon daripada rakan yang memaklumkan tentang bakat seni lain yang memerlukan bantuan.



Sehari selepas acara penyampaian habuan dibuat, beliau dan Encik Syah turut melawat pelawak veteran, Wahid Satay, bagi menyerahkan habuan buatnya.



"Seberapa sibuk pun saya dan Syah, kami berusaha luangkan masa buat Projek Kami Peduli. Ia satu kerja kemasyarakatan buat kami.



"Alhamdulillah, kami dapat sama-sama memupuk dan menyebar keihsanan.



"Jumlah terbanyak $42,000 dikumpulkan tahun lalu buat mantan penyiar dan personaliti setempat Riz Sunawan menampung kos rawatan penyakit motor neuron (MND) atau lebih dikenali sebagai Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS)," kata Encik Osman lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >