Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

KARYA

Nur Raudhah

Aug 07, 2022 | 07:39 AM



PADA penghujung tahun 80-an, ayahku bekerja sebagai juruwang manakala ibuku pula seorang pelayan di kelab malam 'Pesona'.



Kelab malam itu yang terletak di simpang jalan antara Balestier dengan Mandalay sering dipenuhi pengunjung setiap hujung minggu. Di situ jugalah ayah dan ibuku mula berkenalan, lalu bercinta kemudiannya melangkah ke alam perkahwinan. Maka lahirlah aku setahun kemudian.



Namun menurut ayahku, perkahwinannya pada peringkat awal ditentang keras oleh ibunya. Iyalah, mak siapa akan redha anak bujang bercinta dan ingin berkahwin dengan pelayan kelab malam.



"Aku tak reda Azlee! Carilah perempuan yang lebih baik dari si Seri tu. Atau kau dah kena santau dengan si Seri tu?" Tanya nenek lantang pada ayahku.



Setahu aku, ayah cukup menjaga hati, perasaan dan menghormati ibunya kerana dia tahu, doa seorang ibu mustajab. Namun dari segi ungkapan mencari redha dari orang tua kita untuk seseorang itu berumah tangga dengan pilihan masing-masing, tiada dalam diari kehidupan ayah.



"Ramai pasangan yang dapat redha ibu bapa akhirnya bercerai juga dan ada pula kekal sampai ke tua walaupun tak dapat redha ibu bapa masing masing. Ini bab redha dah disalah guna pada tempat dan masa." Cerita ayah padaku tentang reaksi rakan-rakan setugasnya suatu ketika dulu.



Setahun kemudian, setelah aku dilahirkan, ayah mula menukar kerja sebagai juruwang di salah sebuah syarikat yang menjanjikan gaji yang lumayan setiap bulan. Ayah tidak perlu lagi berhadapan dengan situasi pelanggan yang mabuk, bergaduh atau boleh membahayakan para pekerja di kelab malam tersebut.



Namun ibu tetap ingin meneruskan kerjanya di kelab malam tersebut. Alasannya, duit sampingan yang diraih dari para pelanggan disitu lebih lumayan walaupun adakalanya perlu menggadai separuh maruah dan harga dirinya.



Itu juga topik pertengkaran yang sering timbul bila ayah dan ibu di rumah. Namun ketika itu, ku lihat ayah sering mengalah.



" Kubur aku, aku jaga, ok!" tegas ibu setiap kali mengakhiri pertengkaran dengan ayah. Aku masih ingat kata-kata ibuku kerana usiaku sudah menjangkau hampir 10 tahun ketika itu. Ayah pula tidak putus-putus berdoa agar diberi petunjuk ke atas isterinya. Dan pada masa yang sama, ayahlah juga yang membimbing aku tentang perihal agama.



Ada juga rakan ayah yang memberi nasihat namun ayah kurang setuju dengan cadangan tersebut.



"Cerai bukan jalan keluar. Sebenarnya ini ujian Allah untuk kita. Nabi Nuh dan Nabi Luth pun hadapi ujian seperti ini dengan isteri masing-masing. Sebenarnya Allah nak setakat uji kita sejauh mana kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi isu seperti ini." Balas ayah pada rakannya.



Masa berlalu dengan begitu pantas. Ayah masih bekerja di tempat yang sama. Manakala ibu sudah beberapa kali menukar kerja kerana sama ada kelab sudah ditutup atau terdapat kelab-kelab baru yang dibuka serta menjanjikan duit sampingan yang lumayan.



Aku pula sudah mula melangkah ke peringkat pra-ijazah dalam bidang ukhrawi di salah sebuah kolej di sini. Segala urusan persekolahanku diuruskan oleh ayah.



Ibu masih berfoya-foya dengan hasil gaji serta duit sampingan dengan sering berlibur bersama rakan-rakan 'seperangai' dengannya. Gaya pakaian, gerak-geri serta tingkah-lakunya saling tak tumpah seperti anak gadis sebaya aku. Melaramnya menjadi-jadi.



Dan dengan dunia diperkenalkan pula dengan media-sosial, jutaan penonton dengan mudah boleh meraih apa yang inginkan, yang baik atau sebaliknya. Yang boleh memantapkan iman atau menggugurkan iman.



Lebih-lebih lagi dengan kaum Hawa mudah menarik pengunjung, penonton atau pengikut setia di media sosial hanya dengan memaparkan tubuh badan yang memberahi dengan lenggok tarian yang terkini.



Ibuku antara yang kerap memuatnaik kandungan gambar, joget dan gelagatnya dan sering meraih jutaan pengikut setianya. Dan komen-komen berbau maksiat menjadi keselesaan dan kebanggaan ibu tanpa ada sikap segan dan silu.



Dan melangkah ke luar negeri sudah menjadi kebiasaannya. Adakalanya hingga 3-4 minggu, baru ibu akan pulang ke rumah. Dan seperti biasa, rumah sudah menjadi bak hotel baginya. Tanggung-jawab sebagai seorang isteri, ibu sudah tiada dalam hidupnya sejak aku berusia setahun.



Ayahlah menjadi tempat aku bergantung, panduan hidup dan teman berbual di kala kesunyian yang melanda. Dahaga dan kasih-sayang seorang ibu sudah lama mengering dalam hidupku. Sebagaimana ayah, aku juga sudah lama tabah dan lali dalam menghadapi dugaan ini.



Ayah bukanlah seorang suami yang dayus kerana menurutnya, jika setiap tuduhan dayus diterimapakai secara tersurat, maka ramailah wanita menjadi janda. Sebaliknya, terdapat ruang untuk berdoa dan berserah pada Allah kerana itulah usaha kita ke arah menyelamatkan rumah tangga kita.



Namun yang peliknya, kita sering mendapat nasihat atau tunjuk-ajar dari individu atau saudara-mara yang tidak mempunyai asas langsung dalam isu yang dibincangkan. Ibarat peribahasa tupai membaiki labu.



Jadi kita perlu berhati-hati dalam apa tindakan kita ke arah mencapai impian yang diinginkan.



Adakalanya, tanpa disedari ujian seperti ini menguatkan lagi semangat kita untuk menempuh liku-liku kehidupan seharian.



Aku juga hanya berserah pada Allah agar ibuku diberi petunjuk. Ada ketika aku cuba memberi nasihat namun ungkapan atau ayat-ayat ' keramat' nya menjadi benteng untuk dirinya terus dibuai nikmat dunia.



"Kubur aku, aku jaga, ok!''



Namun ayah masih tidak putus-putus berdoa agar ujian yang diberi oleh Allah ke atasnya bakal berakhir.



Akhirnya setelah ibu tidak pulang hampir 3 minggu, tarikh 27 Disember 2020 tidak dapat aku lupakan.



Aku dan ayah dikejutkan oleh berita di seberang yang disertai beberapa gambar dari sumber yang diyakini di ruang siber.



Polis di Seberang Tambak telah menemui mayat reput yang amat dahsyat yang dipercayai seorang wanita dalam lingkungan 40-an tahun dilereng hutan tebal Bukit Kemaman, jalan menuju ke Kampung Abi Kassim.



Besar kemungkinan mayat tersebut sudah berada di situ hampir 5 minggu. Mujur beberapa pendaki setempat yang lalu di situ terjumpa lalu melaporkan pada pihak berkuasa.



Dipercayai mayat reput yang sudah tidak dapat dikenalpasti jasadnya kecuali pada pakaian blausnya, tertera alamat dan gambar pada kad pengenalannya.



Sambil ayah mendapatkan khidmat pengurusan jenazah untuk membawa kembali jasad arwah isterinya yang masih disayangi, terhambur keluar saat itu juga kata-katanya yang sehingga kini, ku rakam dalam benak fikiranku.



Kata-kata ayah yang berbunyi :



"Kubur aku, aku jaga, ok?''.......Benar kata-kata kau Seri.



Bumi telah mengambil alih menguruskan jasad kau Seri.



Ulat-ulat telah meratah isi kau Seri. Haiwan liar telah menghadam setiap tulang-belulang kau Seri.



Serangga yang melata telah mengusai setiap cecair busuk dan nanah kau Seri.



Mujur hanya tengkorak dikembalikan padaku oleh sang bumi agar kubur kau bernesan, Seri.



Ingatlah…"Kubur kau, aku atau sesiapa saja, kita tak akan mampu menguruskannya sendiri."



Menurut cerita dari penduduk di sekitar Kampung Abi Kassim, selepas kejadian tersebut, sering kedengaran jeritan yang sayup dikala menjelangnya azan maghrib di surau itu.



Ayah pula menyusul dari dunia yang fana ini pada tanggal 30 Januari 2022 saat selesai solat isyak dan ketika hendak pulang ke rumah dari masjid Ar Raudhah.




BIODATA PENULIS 



MOHD IKHLASH BIN ABDULLAH lulisan Diploma Lanjutan di Politeknik Singapura dalam jurusan Komputer bertugas sepenuh masa sebagai jurutera IT dengan sebuah syarikat setempat.



Pada masa lapang, selain menjadi anggota Asas'50, beliau berminat dalam bidang penulisan dan sering menyumbang tulisannya di



Berita Harian yang menyentuh isu-isu semasa yang berkaitan dengan perkembangan masyarakat Melayu/Islam dan cerpen-cerpennya antaranya ialah seperti 'Nur Medina', 'Nur Lakshimi', 'Nur Organza', 'Nur Umairah Rezqi', 'Nur Maisarah', 'Nur Irfan, Nur Azizah, Nur Samudera, Nur Melor', 'Nur Nilam' telah disiarkan di Berita Minggu.



Beliau berharap agar sesuatu isu yang diketengahkan mendapat perhatian umum bagi mencari huraian atau dijadikan iktibar demi meraih kemaslahatan.



Menyertai Peraduan Anugerah Sayembara Novel dan manuskripnya berjaya terpilih sehingga terhasilnya sebuah novel berjudul 'KESAL' terbitan Pustaka Nasional.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >