Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

KESIHATAN & PERUBATAN: BERSAMA

Kaum lelaki, wanita sama berisiko hadapi masalah kesihatan mental

Nov 15, 2021 | 05:30 AM



PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan kesihatan sebagai keadaan fizikal, mental dan sosial yang sejahtera, dan bukan hanya tidak adanya penyakit.



Kesihatan mental juga bukan hanya tidak adanya gangguan mental. Ia didefinisikan sebagai keadaan yang sejahtera di mana setiap orang dapat merealisasikan potensinya, dapat menangani tekanan-tekanan yang biasa dalam kehidupan, dapat bekerja dengan cara produktif dan berhasil, dan dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakatnya.



Kajian pula menunjukkan pada keseluruhannya, kaum lelaki dan perempuan sama berisiko untuk mendapat masalah kesihatan mental.



Namun, terdapat perbezaan apabila kita lihat akan jenis-jenis masalah kesihatan mental yang terdapat pada kaum lelaki dan perempuan.



Ini adalah disebabkan kaum lelaki dan perempuan secara umumnya menggunakan cara yang berbeza apabila mereka menghadapi tekanan.



Sifat kelelakian dan kewanitaan



Jika kita tinjau, di dalam satu masyarakat yang agak tradisional, akan terdapat perbezaan dalam jangkaan masyarakat itu akan ciri-ciri yang harus dimiliki oleh kaum lelaki dan perempuan.



Seorang lelaki di jangka harus memiliki ciri-ciri kelelakian seperti tahan lasak, tegas, tidak menunjukkan emosi sedih walaupun dalam keadaan tertekan tetapi menunjukkan perasaan marah dengan cara fizikal.



Sebaliknya, seorang wanita pula harus menonjolkan sifat kewanitaannya dengan perwatakan yang lemah lembut, prihatin dan berperasaan halus.



Sifat-sifat ini dipupuk dari kecil lagi oleh ibu bapa dan masyarakat sekeliling.



Masalah kesihatan mental di kalangan kaum lelaki



Keadaan yang sering menyebabkan tekanan bagi kaum lelaki adalah keadaan apabila mereka dicabar kelelakian mereka dan yang membuat mereka rasa tidak lengkap dan kurang berwibawa.



Jadi, mereka akan berasa tertekan kalau terjadi keadaan apabila harus tunduk kepada seorang wanita atau melahirkan emosi mereka.



Juga kalau mereka tidak dapat melaksanakan tugas lelaki yang menghendaki kekuatan fizikal, intelek atau seksual, mereka akan berasa tertekan.



Kajian menunjukkan lelaki yang terlalu ekstrem dalam menjalankan peranan kelelakian lebih berisiko untuk mendapat gangguan mental.



Orang lelaki biasanya memberi respons kepada tekanan dengan menunjukkan gaya lasak, memendam perasaan mereka, dan melepaskan tekanan melalui aktiviti lasak seperti sukan, mencuba menyelesaikan masalah yang dihadapi, menafikan mempunyai masalah, menyalahgunakan alkohol dan dadah atau cuba menguasai keadaan.



Cara menyelesaikan masalah yang dihadapi adalah lebih baik dari cara menafikan ia ada masalah atau menggunakan kaedah kurang sihat seperti menagih dadah.



Kaum lelaki lebih berkemungkinan dari kaum wanita mengalami masalah kesihatan mental secara luaran.



Ciri-ciri luaran ini melibatkan kelakuan yang negatif, berbeza dari emosi dalaman yang negatif.



Gangguan luaran termasuklah penyalahgunaan dadah dan arak, dan perilaku antisosial seperti kemarahan, permusuhan, keganasan, suka bergaduh dan mencuri - statistik juga menunjukkan lebih lazim di kalangan kaum lelaki.



Penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan akibat fizikal dan sosial yang negatif seperti halusinasi, jatuh pengsan, penagihan, kehilangan pekerjaan, perceraian, ditangkap polis, kerosakan pada organ-organ terutama otak dan berhutang.



Kelakuan antisosial menghambat hubungan dengan orang lain dan juga boleh menyebabkan kesan negatif dalam kehidupan seperti perlakuan jenayah.



Ini bukan bermakna kaum lelaki tidak menghadapi gangguan dalaman seperti keresahan dan kemurungan.



Malahan, ada kajian menunjukkan lelaki yang melahirkan ciri kelelakian yang tinggi lebih berkemungkinan menghadapi masalah kemurungan.



Ada pengkaji menganggap bahawa penyalahgunaan dadah di kalangan lelaki adalah disebabkan masalah kemurungan.



Oleh kerana kaum lelaki tidak digalakkan melahirkan perasaan sedih, mereka mungkin menyalahgunakan dadah sebagai jalan keluar untuk menutupi perasaan.



Orang lelaki yang sangat tegar dalam memainkan peranan mereka sebagai lelaki juga mengalami kerugian dalam hubungan mereka dengan orang lain, terutama hubungan intim.



Kemungkinan mereka akan mengelak dari meluahkan perasaan, dan sebaliknya menunjukkan sikap yang kasar dan mahu bermusuh.



Kelakuan seperti ini meningkatkan kemungkinan mereka dipinggirkan, tidak dapat diasuh atau terlibat dalam hubungan yang tidak sihat, seperti menunjukkan keganasan dalam rumah tangga.



Masalah kesihatan mental di kalangan kaum wanita



Wanita diharapkan dapat memainkan beberapa peranan sekali gus - sebagai seorang isteri, ibu, suri rumah tangga, pekerja atau pengasuh orang tuanya.



Cabaran dalam memainkan beberapa peranan penting ini membuat diri wanita itu rasa tertekan.



Mereka biasanya terpaksa memilih sama ada mahu memburu kerjaya atau meluangkan lebih masa buat rumah tangga dan keluarga.



Kebanyakan wanita lebih gemar bekerja di luar kerana itu lebih memuaskan.



Bagi sesetengah wanita seperti ibu tunggal, bekerja bukanlah satu pilihan tetapi ia satu kemestian.



Kalau dibandingkan dengan kaum lelaki, wanita biasanya diberi pekerjaan yang kurang memerlukan dia mengurus sendiri atau daya kreatif, dan ini membuat pekerjaan ini kurang memuaskan.



Wanita juga lebih sukar untuk diterima di tempat kerja kerana struktur pangkat di tempat kerja lebih memihak pada orang lelaki.



Lazimnya pekerja wanita menerima gaji kurang dari pekerja lelaki yang melakukan pekerjaan yang sama.



Jika seorang wanita bekerja luar dari rumah, mereka harus melakukan kebanyakan kerja rumah juga.



Satu kajian dari Amerika Syarikat menunjukkan bahawa jika dibandingkan dengan kaum lelaki, wanita melakukan 66 peratus lebih kerja rumah, tidur setengah jam kurang setiap malam, dan melakukan sebulan lebih pekerjaan setiap tahun.



Maka tidak hairanlah bahawa tugas yang menimbun dan kurangnya masa untuk berehat dan beriadah sangat menjejas kesihatan mental di kalangan wanita.



Perceraian menyebabkan akibat yang lebih buruk bagi wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah tangga kerana mahu membesarkan anak dengan cara yang lebih berkesan.



Wanita demikian bergantung kepada perkahwinan untuk jaminan kewangan.



Kemahiran pekerjaan rumah tangga seperti mengasuh anak dan membersihkan rumah tidak begitu dihargai masyarakat, dan tidak diberi pampasan yang baik dari segi kewangan.



Wanita yang tidak pernah bekerja dan kemudiannya bercerai selalunya ada sedikit pilihan untuk mendapatkan pendapatan yang mencukupi.



Walaupun kemampuan seorang wanita untuk menjalin hubungan yang baik boleh mengurangkan tekanan, ini juga boleh menjadi punca tekanan.



Mengasuh orang lain boleh mendatangkan tekanan jika si pengasuh itu sendiri tidak berada dalam keadaan fizikal atau emosi yang baik.



Ramai keluarga mengharapkan yang ahli keluarga wanita (seperti anak atau menantu perempuan) akan menjaga orang tua mereka yang memerlukan.



Jadi, ramai wanita dalam usia 40-an atau 50-an tahun mendapati diri mereka dalam keadaan tersepit dalam memenuhi keperluan anak remaja mereka dan orang tua atau mentua mereka.



Konflik antara mereka kerana bebanan yang dihadapi boleh menyebabkan tekanan dan turunnya harga diri.



Wanita juga mungkin melihat hubungan keluarga yang kurang berjaya sebagai mencerminkan kegagalan mereka menunaikan tugas kewanitaan mereka seperti seorang pengasuh, yang memupuk kemesraan dan mempunyai ciri empati (kepekaan).



Punca tekanan



Sumber tekanan lain yang lazim berlaku pada kaum wanita termasuklah apabila mereka menjadi mangsa, menunjukkan ketegasan atau ada kekurangan dari segi kecantikan fizikal.



Menjadi mangsa adalah satu prihatinan berlarutan kerana kurangnya kuasa di pihak wanita berbanding dengan lelaki.



Melahirkan sifat yang tegas pula boleh mendatangkan tekanan bagi wanita yang kurang pengalaman dalam keadaan bersaing.



Kurang kecantikan fizikal boleh menyebabkan sesetengah wanita berasa malu dan akan cuba sedaya upaya untuk kelihatan cantik.



Malangnya, usaha mereka ke arah kecantikan menyebabkan mereka berisiko mendapat gangguan pemakanan seperti anorexia atau bulimia. Wanita yang dianggap kurang menarik juga boleh menjadi mangsa ketidakadilan di tempat kerja atau dalam kemasukan ke pusat pengajian tinggi.



Tambahan lagi, anggapan negatif terhadap penuaan berimplikasi bahawa semua wanita akan menghadapi masaalah stigma terhadap penampilan yang tidak menarik hanya kerana mereka mencapai usia lebih tua.



  • Penulis Presiden Kelab Heal sejak 2012 dan merupakan seorang doktor keluarga.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >