Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Kedah dan Johor jadi tumpuan dalam PRU14

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

Kedah dan Johor jadi tumpuan dalam PRU14

Apr 08, 2018 | 12:00 AM
  • Selangor juga jadi perhatian dengan kemungkinan BN dan Pakatan gagal menangi majoriti
  • Masa depan parti pimpinan Tun Mahathir dan MCA turut jadi pertaruhan

SEPINTAS lalu, Kedah tampak seperti sebatang pohon kelapa yang bakal tumbang dipukul angin.

Dan, jika anda seorang yang jarang keluar rumah dan sering terpaku merenung laman Twitter dan Facebook, kemungkinan anda beranggapan Kedah mungkin tumbang ke tangan parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Malaysia yang bakal menjelang.

Apa lagi dengan kehadiran mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bakal merebut semula jawatan Menteri Besar.

Sepanduk gergasi memaparkan Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail seakan memandang kepada ramai dari pusat kempen Pakatan Harapan di pinggir Alor Setar.

Kemudian, apabila anda mula memerhatikan bagaimana jentera Barisan Nasional dan Parti Islam SeMalaysia (PAS), terutamanya sayap wanitanya, berjalan bertemu penduduk, anda mula mengubah fikiran.

Sayap Muslimat PAS dan Wanita Umno benar-benar mengiyakan kata-kata bahawa kaum wanita boleh melakukan apa yang boleh dibuat kaum lelaki.

Tidak ada parti pembangkang mempunyai jentera pilihan raya yang setanding atau kuasa wanita kededua parti itu.

Ditambah dengan dana yang dimiliki Umno, tidak hairanlah mengapa Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kelihatan yakin mengenai prospek kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kali ini, termasuk meramalkan bahawa BN dapat mempertahankan Langkawi.

Kesemua faktor ini membuat andaian bahawa Kedah ibarat pohon kelapa yang bergoyang dipukul angin kelihatan lebih rumit.

PERTEMBUNGAN MUSUH UTAMA

Apa pun, Kedah akan menjadi tumpuan ramai dalam pilihan raya nanti kerana di mana dan bagaimana 'angin bertiup' bakal menentukan masa depan politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan dua nama terbesar yang memimpinnya.

Di pihak Pribumi, kemenangan di Kedah akan menjadi balasan paling manis selepas Datuk Mukhriz dijatuhkan sebagai Menteri Besar walaupun Pakatan tidak dapat menguasai Putrajaya.

Pasangan ayah-dan-anak itu akan beroleh kemenangan besar jika mereka berjaya menawan Kedah. Pada masa yang sama, masa depan parti mereka bakal malap jika kededua mereka gagal memenangi sebarang kerusi.

Ibarat pohon kelapa yang nampak ramping dan lemah, tetapi hanya badai dapat menumbangkannya dan, sehingga kini, tidak ada tanda akan berlakunya badai atau tsunami Melayu.

Hakikatnya, setakat ini, hanya PAS dapat menarik perhimpunan besar. Ia bagai mempunyai daya penarik, termasuk di Selangor di mana satu perhimpunan yang diadakan di sebuah stadium di Shah Alam baru-baru ini dihadiri penonton satu padang penuh.

Dengan kemampuan mengadakan perhimpunan serupa di setiap negeri, PAS membuktikan bahawa cabaran mereka juga tidak boleh dianggap ringan.

Seperkara lagi yang perlu diperhatikan adalah usia Dr Mahathir. Calon perdana menteri Pakatan itu masih cuba meyakinkan rakyat Malaysia bahawa beliau masih mampu memegang jawatan utama tersebut. Untuk itu, salah seorang pembantunya menyiarkan gambar beliau memandu dalam keadaan hujan lebat bagi membuktikan bahawa beliau masih mampu memikul tugas itu.

Tetapi seperkara yang perlu difikirkan adalah pada usia 92 tahun, tidak banyak yang boleh anda lakukan walau seberapa banyak pemanduan yang anda buat dalam hari hujan, berapa banyak kuda yang anda boleh tunggangi atau berapa lama anda boleh berdiri semasa memberi ucapan.

Dr Mahathir sepatutnya berhenti memberi reaksi mengenai usianya dan memberi tumpuan bagaimana meyakinkan orang Melayu supaya menyertainya kerana itulah sebab beliau direkrut menyertai Pakatan - menarik undi Melayu.

PERTEMBUNGAN PENGARUH CINA

Banyak perhatian kini diberikan ke atas Johor, medan utama Pakatan. Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah melancarkan kempen strategik dan agresif untuk menguasai lebih banyak kerusi dan menjatuhkan pemimpin tertinggi Persatuan Cina Malaysia (MCA) di Johor. Sasaran utamanya ialah timbalan presiden MCA Wee Ka Siong di Ayer Hitam.

Media vernakular Cina telah menumpukan perhatian terhadap perkara itu - bukan hanya kerana ia melibatkan politik Cina, malah implikasinya kepada masyarakat itu.

Jika DAP berjaya, ia bermakna berakhirnya pengaruh MCA, sekali gus meninggalkan hanya satu parti bagi mewakili kaum Cina. Ini mungkin satu idea menarik bagi penyokong DAP tetapi ia menimbulkan keprihatinan bagi mereka yang percaya kepada pengawasan dan keseimbangan dalam politik.

Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, juga menghadapi persaingan getir di Teluk Intan apabila beliau berdepan tokoh utama DAP Perak Nga Kor Ming.

Memandangkan BN dijangka ramai dapat mempertahankan pemerintahan di peringkat persekutuan, ia juga boleh bermakna bahawa tidak akan ada perwakilan Cina dalam kerajaan.

Penganalisis telah menyifatkan pilihan raya umum akan datang sebagai perjuangan bagi menarik undi Melayu, tetapi di Johor ia akan menjadi pertempuran sengit bagi menunjukkan wakil Cina yang mana akan berkuasa.

Untuk menguasai Johor, kerusi Melayu perlu jatuh. Adalah jelas sekarang bahawa Pribumi dan Amanah dapat menjejas pengaruh Umno di Johor tetapi tidak akan dapat menumbangkan kubu Umno itu.

Kelantan jauh lebih goyah. Pertandingan di Kelantan dan Terengganu akan menjadi pertembungan antara parti hijau (PAS) dan parti biru (BN).

Dr Mahathir gagal menimbulkan sebarang riak gelombang di kededua negeri Melayu ini, yang mempunyai sejumlah 22 kerusi parlimen, tetapi Amanah mempunyai sedikit pengaruh di Kelantan dan boleh menimbulkan masalah kepada PAS dalam usahanya bertahan untuk penggal keenam.

Selain itu, ini akan menjadi pilihan raya pertama PAS tanpa Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan penggantinya, Datuk Ahmad Yaakob, dilaporkan mahu bersara.

Perak, di mana BN mempunyai kelebihan hanya tiga kerusi, juga tidak mampu berpeluk tubuh memandangkan Dr Mahathir berupaya menarik ramai orang Melayu ke acaranya.

Pemimpin BN sebelum ini cuba menepis cabaran itu dengan mengatakan kehadiran ramai tidak boleh diterjemah sebagai undi. Tetapi pasti di kalangan yang hadir ada yang terpengaruh.

BN di Johor pula telah mula menunjukkan taringnya dengan kehadiran ramai penyokong dan ini pastinya menggerunkan parti lawan.

Sayap Wanitanya telah melancarkan jentera pilihan raya mereka dua minggu lalu dengan Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, mengumumkan bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, telah menyatakan bahawa 30 peratus calon akan terdiri daripada wanita.

Hujung minggu lalu merupakan giliran jentera BN negeri dan ia lebih besar. Ini pastinya menunjukkan cabaran yang dihadapi Pakatan apabila berdepan BN di Johor.

Sumber dalaman daripada Pakatan berkata strategi DAP di Johor mungkin gagal mengambil kira pemikiran dan budaya Melayu di negeri itu di mana sentimen Bangsa Johor semakin kuat dan strategi DAP membawa pemimpin utamanya dari luar mungkin tidak sesuai dengan landskap politik di negeri itu.

DAP, kata sumber itu, terperangkap dalam usahanya menguasai Johor sehinggakan ia tidak memberi perhatian secukupnya untuk mempertahankan Selangor.

MASALAH DI SELANGOR

"Selangor adalah lebih utama (jewel state), ia berada dalam kedudukan lebih berbahaya daripada Johor," kata sumber dalaman Pakatan itu.

Negeri ini yang paling ingin ditawan semula BN. Ia berada di tangan perikatan empat parti Pakatan terdiri daripada Pribumi, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara.

Sokongan Cina Pakatan masih kukuh tetapi untuk terus berpegang pada Selangor, ia perlu memenangi kerusi Melayu yang dimenangi oleh PAS pada 2013.

Namun, Pribumi dan Amanah nampaknya tidak dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan PAS.

Pribumi tidak dapat menonjolkan kehadirannya di Selangor; ia tidak mempunyai nama besar dan berpengaruh di negeri itu. Pribumi juga telah diperuntukkan kerusi Melayu di kubu Umno yang ia tidak mempunyai peluang untuk menang.

Selangor mempunyai 56 kerusi negeri dan kededua pihak - BN dan Pakatan - memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti mudah. Pakatan yakin dapat memenangi 27 kerusi, manakala Barisan yakin merebut 22 kerusi DUN.

Kalau 'angin' tidak berpihak kepada Pakatan, Selangor mungkin berdepan kemungkinan kededua BN dan Pakatan tidak mempunyai kuasa majoriti dalam dewan, dan apabila ini berlaku, PAS akan menjadi kingmaker atau penentu siapa yang berkuasa.

Di Selangor, kelebihan Pakatan adalah di kawasan bandar, manakala BN dan PAS mempunyai pengaruh di kawasan pinggir bandar.

Kali ini, BN mempunyai sedikit kelebihan kerana tidak terdapat banyak perbalahan dalaman berbanding Pakatan, di mana terdapat perang dingin antara ketua DAP Selangor Tony Pua dengan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali selain perpecahan dua puak dalam PKR.

Sehubungan itu, DAP cuba bertanding dalam dua kerusi tambahan di kawasan etnik berbilang kaum dalam usaha meletakkan wajah Melayu yang boleh dijadikan calon jawatan Menteri Besar.

Namun Menteri Besar sedia ada cukup bijak dan berusaha mendapatkan lebih banyak kerusi untuk partinya sendiri bagi membolehkan PKR memperoleh bilangan kerusi yang cukup untuk memimpin Pakatan bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah selain bonus besar yang datang bersamanya iaitu jawatan Menteri Besar.

Bagi mencapai hasratnya, Pakatan mengharapkan 'angin' bertiup membawa undi yang berpihak kepadanya. Jika tidak, kemungkinan berlaku drama politik di depan istana Selangor pada hari mengundi. - The Star/Asia News Network.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3