Subuh
5:40
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:30

Keluar masuk hutan bikin filem perang 'Okusan'

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Projek kreatif siswa ‘Kelas 1'

Keluar masuk hutan bikin filem perang 'Okusan'

Nov 08, 2021 | 05:30 AM

KAKI Cik Syaza Agape Nadiah Rahim terpaksa menjejak hutan rimba terpencil meskipun terasa tidak selesa demi merealisasikan impian menghasilkan projek filem tentang Perang Dunia Kedua.

Okusan merupakan tajuk filem tesisnya bagi pengajian tahun akhir kursus ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Filem di Maktab Seni Lasalle.

Ia mengisahkan tentang 'wanita penghibur' yang dipaksa menjadi pemuas nafsu askar Jepun di Singapura sewaktu Perang Dunia Kedua.

Filem ini menjejak kehidupan Mei Na, 'wanita penghibur' yang hamil dan melarikan diri tetapi perlu bersemuka dengan bapa anaknya itu, seorang tentera Jepun.

Menurut Cik Syaza, 26 tahun, beliau meraih inspirasi menghasilkan Okusan selepas menonton filem perang arahan Sam Mendes, 1917.

"Selepas menonton 1917, saya dapat idea bagaimana mengusulkan projek filem perang buat tesis tahun akhir saya.

"Saya ingin tumpukan filem saya pada kisah seorang protagonis wanita. Kami sepasukan perlu membuat kajian tentang 'wanita penghibur' pada zaman silam Singapura serta kekejaman Perang Dunia Kedua.

"Cabaran utama yang dihadapi adalah dari segi skala penggambaran filem ini, ketidakselesaan berkunjung ke lokasi seperti rimba dengan rupa bumi berceranggah.

"Masa penggambaran juga panjang dan tidak mudah melakukannya. Namun, saya merasakan kru kami buat yang terbaik bagi membereskan projek ini. Memang ia projek bercita-cita tinggi, tetapi saya tidak menyesal mengusahakannya," jelas Cik Syaza ketika dihubungi Berita Harian.

Cik Syaza, anak sulung tiga beradik, yang sebelum ini mengambil kursus Diploma Filem Digital dan Televisyen di Politeknik Temasek, banyak belajar daripada penerbitan filem ini.

"Paling utama sekali, di sebalik segala kesukaran, saya harus terus berkembang dan berusaha sebaiknya.

"Saya pula adalah individu yang menikmati zon selesanya. Lantaran itu, pengalaman bikin filem perang di luar zon selesa saya membuat saya rasa rendah hati kerana ada banyak perkara lagi yang boleh dan perlu saya pelajari dalam bidang perfileman," kongsinya.

SUKA MENULIS

Cik Syaza memilih bidang perfileman sebagai pengajian posmenengah kerana suka menulis. Waktu menyiapkan karangan menjadi kegemarannya di sekolah menengah.

Beliau juga terdedah kepada banyak filem yang ditonton sejak usia 16 tahun.

"Saya ingin menyatukan minat menulis dan menonton filem, lantas kursus perfileman adalah yang paling tepat kerana menggabungkan kedua-duanya.

"Saya tentunya terkejut apabila mendapat tahu saya memperoleh ijazah Kepujian Kelas Pertama kerana selama ini di mana-mana peringkat persekolahan pun, saya selalu menghadapi kesukaran capai keputusan cemerlang dalam bidang akademik.

"Cuma, saya tahu saya perlu bekerja keras untuk berdiri sama tinggi dengan rakan lain. Saya berikan yang terbaik. Alhamdulillah, segala pengorbanan saya membawa hasil.

"Saya tak akan dapat capai segalanya tanpa sokongan orang-orang tersayang. Lagipun, banyak masa malam saya terluang bagi menyelesaikan tugasan saya," kata Cik Syaza lagi.

TIGA PENGARAH SUMBER INSPIRASI

Mengenai tiga pengarah yang mencetus inspirasi buatnya, beliau berkata:

"Saya meraih inspirasi daripada pengarah Amerika, Eliza Hittman. Filemnya adalah tentang perjuangan kaum Hawa dalam masyarakat. Saya suka cara beliau paparkan sudut pandangan wanita dalam filemnya.

"Saya juga tersentuh dengan filem arahan sutradara Korea, Hong Sang Soo. Filemnya berlegar sekitar perbualan atau dialog biasa dan sederhana sepanjang tempoh karya ceritera ini.

"Dialognya juga organik sehingga anda terasa seakan-akan perbualan harian yang biasa anda dengar. Tiada yang dibuat-buat.

"Akhir sekali, saya teruja menonton filem buatan anak watan Singapura, Shoki Lin, yang menghasilkan projek filem tahun akhirnya yang bertajuk Adam.

"Beliau mengembara ke Pesta Filem Cannes. Filem Shoki cukup nostalgik dan asli tanpa banyak diubahsuai. Pendekatan realis filemnya menarik," ujar Cik Syaza lagi.

Beliau, yang kini berehat daripada dunia perfileman, beralih menjalankan tugas dalam sektor pengiklanan pula.

"Apa yang saya pelajari di sekolah filem boleh dialihkan ke satu lagi industri kreatif. Justeru, saya bersyukur.

"Kalau saya berpeluang bikin filem lagi, saya akan fokus pada isu kesihatan mental seperti kondisi keresahan atau gangguan personaliti. Bagi saya, isu ini belum lagi dipaparkan mengikut takrifan sebenarnya.

"Saya juga ingin bekerjasama dengan artis, penyanyi atau penggubah lagu untuk bikin video muzik. Sebabnya, saya suka memikirkan konsep bersama artis dengan hala fikiran yang sama," tambahnya.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3