Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kembali 'berkampung' di Esplanade sempena Pesta Raya

Edisi ke-20 Festival Seni Melayu ini sajikan acara 'live', persembahan digital dalam pandemik
Apr 28, 2021 | 05:30 AM



Dari 10 hingga 27 Jun ini, pusat seni Esplanade Teater Di Pesisiran akan kembali bersemarak dengan pelbagai acara seni dengan bermulanya Pesta Raya - Festival Seni Melayu. Pesta yang dinanti-nanti ramai ini masuk edisi ke-20 dengan ia diadakan secara hibrid (gabungan acara 'live' dan digital) sejajar dengan tuntutan seni di tengah pandemik Covid-19. Apakan antara lima acara yang boleh dijangkakan susuli pesta tahun lalu yang diadakan sepenuhnya dalam talian? BERITA HARIAN melaporkan. 




PESTA Raya di Esplanade kembali lagi mengubati rindu ramai yang menantikan hiburan 'live' bagi menyemarakkan sambutan Lebaran.



Jika tahun lalu, semua sajian hiburan dibuat menerusi wadah digital dek sekatan persembahan dan perintah jarak selamat menyusuli penularan wabak Covid-19, pesta kesenian Melayu yang masuk edisi ke-20 tahun ini bersifat hibrid.



Ini bermakna anda boleh menyaksikan beberapa acara secara langsung di Esplanade dengan beberapa acara turut ditayangkan dalam wadah digital.



Ketika memberi taklimat media, Penerbit Pesta Raya, Cik Hanie Nadia Hamzah, dari The Esplanade Co Ltd, berkata:



"Walaupun kegembiraan dan kebanggaan memenuhi hati kami kerana mencapai detik bersejarah (edisi 20 tahun Pesta Raya) ini, kita tidak dapat mengelak daripada berasakan kesan nostalgia sedang kita mengimbas kenangan lalu - artis, kumpulan seni, rakan kerjasama, penaja dan penaung yang sama-sama menyusuri jalan kenangan ini bersama kami sejauh ini.



"Selama dua dekad ini, Pesta Raya menjadi wadah di mana pelbagai acara seni dari Nusantara disajikan dan dihargai. Tersentuh perasaan kami melihat pusat seni ini bersemarak dan terisi bukan sahaja dengan artis yang memakai kostum berwarna-warni di pentas malah penonton yang datang dengan baju Raya mereka untuk berkampung dengan teman dan keluarga di Esplanade."



Menurut Cik Hanie, sedang Singapura masih lagi menyesuaikan diri dengan pandemik yang belum reda, perjuangan diteruskan dalam memastikan semangat dan tenaga sesebuah pesta raya dapat terus mendekati penonton secara selamat termasuk mereka di luar sempadan.



Lantaran itu, pesta hibrid kali ini terdiri daripada persembahan langsung dan acara digital yang disiarkan menerusi penstriman langsung, bengkel dan filem ringkas yang boleh ditonton menerusi wadah Esplanade Offstage.



"Walaupun dengan bilangan penonton yang kecil kerana langkah dan panduan pengurusan selamat, kami berharap Pesta Raya dapat terus menjadi pesta yang memancar cahaya pada beberapa kerja seni terbaik di Singapura dan Nusantara.



"Mudah-mudahan, apa yang kami tawarkan akan menggembirakan penonton di sini dan rantau ini," jelasnya lagi.



Apakah lima acara yang boleh dinanti-nantikan pada Pesta Raya antara 10 dengan 27 Jun ini?



KONSERT SANISAH HURI - PELAYARAN SENI LIMA DARSAWARSA



Bila: 12 Jun (8 malam) dan 13 Jun (3 petang) di Dewan Konsert Esplanade



Pada usianya yang sudah mencecah lewat 60-an tahun, biduanita Sanisah Huri yang mempopularkan lagu pop-yeh-yeh Siapa Gerangan dan Si Baju Hijau, masih berupaya melantunkan vokal emasnya dengan lunak dan menyentuh jiwa.



Di musim Lebaran ini, suaranya pula sering berkumandang di radio dek lautan lagu Raya yang pernah dihasilkan dan menjadi sajian wajib memeriahkan Hari Raya anda.



Sanisah ibarat Ratu Lagu Raya yang ikonik dengan lagu-lagu Aidilfitri, Bersabarlah Sayang, Joget Aidilfitri dan Dondang Sayang Raya (bersama A. Ramlie dan Rafeah Buang).



Konsert satu setengah jam ini meraikan perjalanan seninya selama lebih lima dekad. Ia masa bagi peminatnya mengenang kembali lagu malar segar daripada genre joget, pop, keroncong, asli dan moden.



"Ini adalah konsert pertama Sanisah di Esplanade sebagai pengiktirafan pada sumbangannya kepada persada muzik Melayu.



"Sanisah menujukan konsert ini kepada peminatnya dan setiap orang yang mencintai muziknya. Ia adalah peluang yang tidak harus dilepaskan peminatnya kerana beliau akan menyanyi 18 lagu terkenalnya yang menggambarkan jiwa perjalanan seninya selama 50 tahun," kata pengarah konsert ini, Cik Rusedah Tawahid.



  • Tiket $45 (Kategori 1), $35 (Kategori 2) dan $25 (pelajar, Anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) dan warga emas) kini boleh ditempah.

TEMPOH (ORKESTAR TRIO DARI SINGAPURA DAN DJANGAT DARI INDONESIA)



Bila: 11 Jun (8 malam); 12 Jun (2 petang, 4.30 petang dan 8 malam); 13 Jun (4.30 petang dan 8 malam) di Studio Resital Esplanade



Bawa diri anda belayar dengan kembara irama tradisional, rakyat dan kerohanian kumpulan muzik di Singapura, OrkeStar Trio dan kumpulan Indonesia, Djangat.



Konsert ini membawa penonton dalam perjalanan penuh emosi.



Tempoh adalah persembahan mercu tanda buat OrkeStar Trio setelah lebih sedekad berkarya.



Judulnya mengambil istilah berkenaan muzik 'tempo'.



Diarah pemenang Anugerah Seniman Muda, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Irfan Kasban, persembahan ini juga mengetengahkan persembahan Djangat dari Pekanbaru.



Semangat warga Nusantara dapat dirasakan.



  • Tiket $30 dan $21 (pelajar, NSF dan warga emas).

PULANG BALIK



Bila: 10 dan 11 Jun (8 malam); 12 dan 13 Jun (3 petang dan 8 malam) di Studio Teater Esplanade



Pada 2003, Teater Ekamatra melancarkan Projek Suitcase, siri yang dipuji yang menggunakan format teater minimum di mana seorang pelakon tampil dengan beg pakaiannya sebagai prop di ruang persembahan.



Anda dapat menyaksikan tentang dunia demensia dan bagaimana ia menjejas hubungan ibu dan anaknya dalam pementasan Mama Lekas Pulang yang dijayakan Elnie S Mashari.



Skrip dihasilkan daripada lagu-lagu biduanita Uji Rashid, ikon pop Melayu 1970-an.



Balik pula kisah Ain (lakonan Farah Ong), wanita 30-an tahun, yang sudah lama mengalami isu diabaikan.



Hiba dengan kematian ibunya, Ain bergelut dengan kenyataan yang mentakrifkan kewujudannya, sementara cuba memahami makna warisan ketidakpastian yang ditinggalkan ibu bapanya.



  • Tiket $30 dan $21 (warga emas, NSF dan pelajar).

GARAJ GARAP



Bila: 12 dan 13 Jun (11 pagi, 2 petang dan 4 petang) di Studio Annex Esplanade



Garaj GARAP adalah sebuah persembahan tarian interaktif yang menggabungkan panggilan dan tindak balas dalam pembikinan persembahan.



Kanak-kanak dan pengasuh mereka diundang menyumbang kepada proses kreatif dengan mencipta bunyi dan tindakan yang menjadi perangsang buat penari.



Penonton kemudian dipelawa ke 'alam permainan' di mana mereka boleh meneroka pelbagai alat muzik dan objek imaginatif di Garaj GARAP yang akan menjadi perangsang buat penari bergerak dan menari.



  • Tiket $18.

PESTA DANGDUT II



Menampilkan Masnie, Rahila Rashun dan Sheer Angullia



Bila: 12 Jun (7.45 malam dan 9.15 malam) di Teater Luar Esplanade



Acara percuma ini mengetengahkan ikon dangdut Singapura, Masnie serta dua nama anak watan yang sudah mencipta nama menerusi rancangan Dangdut Academy Asia di Indonesia, Rahila dan Sheer Angullia.



Berhiburlah dengan lagu-lagu dangdut yang menghiburkan.



Memandangkan tempat duduk terbatas, semua penonton diminta melakukan daftar masuk SafeEntry di tempat tersebut melalui aplikasi atau token TraceTogether sahaja.




PESTA RAYA



Tarikh: 10 hingga 27 Jun



Tempat: Beberapa lokasi di Esplanade (1 Esplanade Drive) dan dalam talian.



Kemasukan: Ada acara percuma dan berbayar



Tiket sudah mula dijual di laman Sistic (www.sistic.com.sg) dan Esplanade (www.esplanade.com/festivals-andseries/pesta-raya-malay-festival-of-arts…)




"Sedang kita mengendalikan acara ini di tengah-tengah pandemik (ini kali kedua Pesta Raya diadakan dalam keadaan wabak melanda), kami berusaha dan mengekalkan semangat dan tenaga yang ada, serta meneruskan usaha mendekati penonton secara selamat, termasuk mereka di seberang.

Justeru, pesta tahun ini wujud dalam bermacam cara - acara langsung, persembahan digital menerusi penstriman langsung, bengkel dan filem ringkas yang boleh ditonton menerusi wadah dalam talian Esplanade Offstage.

Walaupun dengan bilangan penonton yang kecil kerana langkah dan panduan pengurusan selamat, kami berharap Pesta Raya dapat terus menjadi pesta yang memancar cahaya pada beberapa kerja seni terbaik Singapura dan Nusantara.

Mudah-mudahan apa yang kami tawarkan akan menggembirakan penonton di sini dan rantau ini."

- Penerbit 'Pesta Raya', Cik Hanie Nadia Hamzah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >