Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Kembali' rintihan rindu hidup terpisah dengan keluarga di M'sia

Bakat S'pura Jamiel Said terkesan dengan pengalaman pekerja Malaysia yang terkandas di sini, tidak temui keluarga seberang
Apr 24, 2021 | 05:30 AM



BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.



Jika sebelum ini, penyanyi dan penggubah lagu tempatan, Jamiel Said merasakan tamparan hebat pandemik Covid-19 terhadap pendapatan seni dan bisnesnya, beliau lebih terkesan mendengar kisah pilu warga Malaysia yang terkandas di Singapura dan terpisah daripada keluarga.



Ada juga dalam kalangan temannya seperti penulis lirik Andi, warga Singapura yang berkahwin dengan warga Malaysia, dibelenggu rindu kerana sekian lama tidak dapat bertemu isteri tercinta.



Pengalaman perpisahan dek wabak Covid-19 dan tertutupnya sempadan Singapura dan Malaysia menjadi cebisan isu yang dimuatkan dalam lagu terkini Jamiel, Kembali.



Idea asal lagu ini lahir daripada pengalaman peribadi Andi yang memuatkan liriknya dengan penuh emosi pada irama ciptaan Aiyad Sakti.



Ketika dihubungi, Jamiel, 39 tahun, berkata:



"Andi menyampaikan apa yang terbuku dalam perasaannya terpisah daripada keluarga di Malaysia kerana perlu mencari rezeki di Singapura.



"Kata-katanya merentap tangkai hati saya sebagai penyanyi lagu Kembali ini. Beliau adalah antara sekitar 70,000 orang, baik warga Singapura atau Malaysia yang terpisah daripada keluarga kerana penutupan sempadan.



"Mereka berhimpun di media sosial secara maya sebagai anggota sebuah kumpulan sokongan di Facebook yang sama-sama memberi kata-kata perangsang dan semangat meniti keadaan yang sulit dan rumit ini.



"Kembali kami hasilkan sebagai memupuk kesedaran dan menyemai rasa prihatin terhadap rakan-rakan kita. Terasnya dalam keadaan sebegitu, sama-samalah kita jaga kita, tak kira kita orang Singapura atau Malaysia."



Banyak cerita perpisahan dan penantian yang menyeksakan didengar Jamiel sepanjang tempoh pandemik ini.



Sebagai seorang anak, beliau dapat membayangkan kepiluan seorang anak warga Malaysia yang tidak sempat balik kampung untuk menjenguk orang tuanya yang tenat buat kali terakhir.



Sebagai seorang bapa, beliau tidak dapat memikirkan pula detik sebak melihat si anak menangis kerana sudah lama tidak menemui bapanya yang bekerja di negara jiran dan tidak dapat pulang.



"Saya akur perniagaan khidmat hiburan orang kahwin dan majlis korporat saya banyak terjejas dek pandemik ini.



"Tapi melihat pengalaman teman-teman dan saudara seagama yang kisah mereka sempat kami paparkan dalam klip video Kembali, saya lebih dibuai emosi.



"Terkesan dengan babak perpisahan dan penantian. Kami menghasilkan lagu ini sebagai sisipan rasa bahawa kalau kita rasa diri kita susah, ada yang lebih menderita dan sukar kerana terpisah daripada orang tercinta buat sekian lama," kata Jamiel lagi.



Dari segi cabaran menghasilkan lagu ini, Jamiel, Andi dan Aiyad perlu bersatu hati membangun sinergi meskipun pertemuan mereka dibuat dalam talian kerana memerhatikan perintah jarak selamat.



"Saya sebenarnya suka bersua orang secara empat mata tetapi apakan daya? Justeru, rakaman dibuat di studio saya di rumah.



"Kami berbincang tentang vokal saya selepas saya merakamnya dan mengirimnya menerusi WhatsApp.



"Sebagai penyanyi yang diberi lagu ciptaan orang lain, saya perlu jadikannya saluran bagi sampaikan sebaik mungkin mesej tentang perpisahan dan penantian ini.



"Saya bayangkan anak saya menangis ketika kami mengucapkan selamat tinggal kepada satu sama lain bagi menjiwai pesanan lagu Kembali ini," cerita Jamiel.



Di sebalik segalanya, sepanjang setahun ini, Jamiel banyak belajar tentang hidup di mana tiada kepastian Allah selain kematian.



"Saya bersyukur selalu. Walaupun kekurangan pekerjaan sewaktu wabak Covid-19 ini, saya merasakan Allah beri saya kelebihan waktu untuk fokus pada keluarga dan ibadah khususnya dalam bulan Ramadan.



"Apabila diberi kelebihan waktu, ia adalah masa saya mengeratkan lagi jalinan keluarga. Saya dapat berbuka dengan anak isteri dan melakukan muhasabah diri.



"Kita husnuzon iaitu berbaik sangka dengan orang lain dan yang penting, berbaik sangka dengan Allah. Kita perlu cari kebaikan dalam waktu sukar dari mata hati," katanya.



Beliau yang sebelum ini dikenali dengan lagu Nafas Ku dan Cincin Di Jari bakal menyambut Lebaran seadanya secara sederhana.



"Dengan had tetamu yang dibenarkan dalam kunjung mengunjung kita kelak, saya sudah cukup bersyukur.



"Selebihnya, saya harap ramai dapat menerima baik lagu Kembali. Saya juga akan muncul dengan satu lagi lagu baru sebelum akhir tahun ini. Klip video pun dah siap. Ia mempunyai kelainan daripada lagu yang biasa saya hasilkan.



"Semoga kita semua tabah dengan ujian Allah dan segalanya beransur pulih di Singapura dan dunia," ujar Jamiel lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >