Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kenang pekerja M'sia terkandas dalam lagu

Lagu Raya gambaran kesan pandemik hasil idea tiga pencinta seni muncul juara dalam peraduan
May 24, 2021 | 05:30 AM



Keluarga adalah segalanya dalam perjalanan seni beberapa bakat tempatan ini. Lebih istimewa lagi pada musim sambutan Lebaran, keluarga menjadi tunggak jaya apabila lagu Raya baru ciptaan mereka memenangi peraduan 'Ilham: Menjelang Syawal', anjuran Wisma Geylang Serai (WGS). BERITA HARIAN melaporkan.




WIRA gitar Singapura, Alif Putra, 36 tahun, pernah mencipta nama sebagai Pemuzik Terbaik Anugerah Band dan Gitaris Terbaik Yamaha Asian Beat.



Ibu mentuanya, Cik Nordita Taib, 60 tahun, pula seorang penggiat dunia kesusasteraan Singapura yang sentiasa berusaha berkarya sebagai luahan rasa dan pengamatan mengenai dunia sekeliling.



Sahabat mereka, pemuzik dan penyanyi Ahn Dee, 36 tahun, pula peka pada keadaan sekeliling di samping mengambil musim Lebaran ini sebagai satu tempoh refleksi diri dan keadaan sekeliling yang menjejas umat manusia.



Apabila disatukan idea ketiga-tiganya, maka terhasillah lagu Raya syahdu yang menyentuh kalbu, Apakah Ini Hanya Sementara.



Lagu itu baru-baru ini dinobatkan sebagai juara peraduan mencipta lagu Raya, Ilham: Menjelang Syawal, yang julung-julung kalinya dianjurkan Wisma Geylang Serai (WGS).



Daya tarikan lagu ini terletak pada gabungan muzik 'menyengat' ciptaan Alif dengan suasana Syawal yang penuh kesyahduan, lirik 'mencengkam' jiwa tulisan Muhd Nur Asran atau Ahn Dee dan deklamasi puisi dalam lagu hasil pena Cik Nordita.



Ahn Dee pula menyampaikannya dari keikhlasan hatinya.



Cik Nordita terkesan dengan nasib pekerja Malaysia yang terkandas di Singapura dan tidak dapat beraya dengan keluarga ekoran pandemik Covid-19 yang menutup sempadan negara.



"Timbul tanda tanya dalam diri pekerja ini apakah ini hanya buat sementara waktu atau sampai bilakah mereka harus menanti?



"Kerana itu, saya beritahu Alif, kita boleh cuba usahakan memasuki peraduan ini dengan memikirkan cetusan inspirasi mengenai nasib saudara-saudara kita dari seberang Tambak yang terkandas tidak dapat balik kampung untuk beraya.



"Saya berbincang dengan Ahn Dee mengenai kata-kata yang harus kita rangkaikan dalam lagu ini. Inilah buah tangan daripada kami," jelasnya.



Alif pula mengingati pengalamannya ke pasar raya mini 7-Eleven, lantas terjumpa seorang pekerja Malaysia yang gigih bertugas di situ.



"Saya tanya kepada beliau 'tak boleh balik ke?' Dengan wajah yang sedih, beliau kata, kepiluan begitu terasa sebab dah masuk 2 Syawal... tapi dirinya masih tak dapat nak jumpa keluarga dan anak-anak.



"Sebak rasanya mendengar kata-katanya. Saya dapat bayangkan betapa pilunya. Maklum saya juga seorang suami dan seorang ayah.



"Secara umum, apa yang kami sampaikan dalam lagu ini adalah luahan rasa, 'apakah segala perpisahan ini hanya sementara?'



"Syukur alhamdulillah, lagu ini diterima baik panel pengadil dan maklum balas daripada teman-teman juga positif.



"Ia rezeki anak saya yang dah masuk tujuh bulan. Namanya Nur Airis Alysha," kongsi Alif.



Selebihnya, beliau begitu gembira dapat bekerjasama dengan ibu mentua dan sahabat baiknya bagi menghasilkan lagu ini.



"Jarang-jarang kita dapat masukkan deklamasi puisi dalam lagu. Maka, inilah peluang keemasan dan saya kira faktor kelebihan lagu Apakah Ini Hanya Sementara.



"Saya, ibu mentua dan Ahn Dee ada kelebihan masing-masing. Inilah yang kami manfaatkan bagi menambah lagi warisan lagu-lagu Raya kita.



"Kita suka dengar lagu nostalgia, tetapi dalam Hari Raya norma baru, kita juga boleh cipta lagu Raya yang relevan dengan tuntutan semasa... yang menceritakan suasana beraya dalam musim pandemik," jelasnya.



Ahn Dee, yang menjadikan Datuk M. Nasir, Khair Yasin dan Loloq sebagai sumber inspirasi dalam menghasilkan lirik kemasyarakatan yang mengajak pendengar berfikir, pula gembira dapat bekerjasama dengan Alif dan Cik Nordita.



"Saya memang kawan Alif. Saya juga sahabat ibu mentuanya. Jadi, kali ini, kami bertiga sama-sama menghasilkan lagu ini. Keserasian memang dah ada.



"Saya dengar apa yang dikongsi Cik Nordita dan apa yang diceritakan Alif tentang kisah pekerja Malaysia yang terpisah daripada keluarga kerana Covid-19.



"Kami tolak tepi persahabatan seketika untuk fokus dalam memberi yang terbaik bagi kesenian. Bekerjasama dengan Alif yang ikonik memang banyak pengertiannya.



"Beliau mempunyai visi yang lebih besar. Saya rasa tercabar, boleh ke tidak ni? Namun, berkat kerjasama dan kata sepakat, kami hasilkan lagu yang diharap dapat sampai ke hati ramai," ujar Ahn Dee.



Lagu ini sudah dikongsi sejauh Radio Melayu Perth di Australia.




"Saya, ibu mentua dan Ahn Dee ada kelebihan masing-masing. Inilah yang kami manfaatkan bagi menambah lagi warisan lagu-lagu Raya kita. Kita suka dengar lagu nostalgia, tetapi dalam Hari Raya norma baru, kita juga boleh cipta lagu Raya yang relevan dengan tuntutan semasa... yang menceritakan suasana beraya dalam musim pandemik."
- Alif Putra.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >