Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Kredit SkillsFuture bantu peniaga dalam talian pertingkat diri

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Kredit SkillsFuture bantu peniaga dalam talian pertingkat diri

Kini lebih yakin jana pendapatan setelah sertai kursus di bawah program Back-To-Work Women dan kursus lain anjuran Mendaki SENSE
Jan 26, 2021 | 05:30 AM

SUDAH lama Cik Rozielawati Ismail, seorang peniaga dalam talian yang berusia 42 tahun, menanam hasrat mempertingkat diri, apalagi setelah mencecah usia 40-an tahun.

Peluang menyertai kursus itu muncul apabila Cik Rozielawati menghadiri satu majlis penyampaian anugerah Yayasan Mendaki, dengan anak keduanya mendapat keputusan cemerlang bagi Skim Tuisyen Mendaki (MTS) sekitar Disember 2019.

Pada majlis itu, beliau ternampak risalah tentang program Back-To-Work Women anjuran Mendaki SENSE dan tertarik untuk mendaftarkan diri bagi program tersebut.

Program Back-To-Work Women bertujuan memudahkan wanita kembali bekerja, melengkapkan peserta dengan kemahiran bersedia kerjaya dan menghubungkan peserta dengan industri pengambilan pekerja.

Matlamat program ini memberi tumpuan kepada melengkapkan wanita dengan kemahiran relevan dan membantu mereka membina keyakinan dalam kehidupan profesional mereka.

Melalui program ini, peserta antaranya dapat menyertai kursus dengan pentauliahan Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) dan diundang menyertai Pameran Pekerjaan.

Lantaran itu, Cik Rozielawati menyertai kursus pertamanya, Kekalkan Persembahan dan Kebolehkerjaan Peribadi pada Peringkat Operasi, selama 10 hari, di bawah program tersebut pada Disember 2019.

Kursus pertama itu membuat beliau bersemangat mahu terus mengambil bahagian dalam kursus-kursus lain yang sedia ada.

Selepas itu, dalam tempoh setahun, beliau telah menyertai sejumlah 12 kursus - tiga kursus di bawah program Back-To-Work Women dan sembilan kursus lain anjuran Mendaki SENSE.

Beliau telah menggunakan Kredit SkillsFuture untuk membayar yuran kursus-kursus tersebut.

Antara kursus lain yang turut disertainya ialah Menjalin Hubungan Demi Keyakinan Pelanggan, Lakukan Fungsi Spreadsheet, Pengurusan Sumber Manusia dan Hubungan, Maklumat dan Hasil Perkhidmatan, Perancangan dan Pelaksanaan Perkhidmatan, Pemasaran Digital, Analisis Data, Program Sampler Perniagaan Mikro AMP dan Membuat Kek dan Roti.

Menurut Cik Rozielawati, ibu tunggal tiga anak lelaki berusia 13 tahun, 15 tahun dan 17 tahun, kebanyakan kursus yang disertainya adalah kursus selama dua hari.

Beliau menyertai kursus terakhirnya tahun lalu dan kini menantikan kursus sesuai yang boleh diikut serta.

Mengulas tentang pengalamannya menyertai kursus-kursus di bawah program Back-To-Work Women, Cik Rozielawati berkata:

"Ada banyak perubahan pada diri saya selepas saya menghadiri pelbagai kursus. Dahulu, saya sukar bersuara. Tetapi, saya sekarang lebih yakin. Saya tidak takut hendak berbual dengan pelanggan dan tahu macam mana hendak berurusan dengan mereka.

"Saya juga belajar cara menulis resume dengan berkesan dan cara mempersiap diri semasa temu duga."

Lantaran itu, Cik Rozielawati telah berjaya mendapat pekerjaan pertama dalam bidang pentadbiran setelah ditemu duga pada Januari tahun lalu.

Malangnya, beliau diberhentikan kerja pada Ogos tahun lalu akibat keadaan pandemik wabak koronavirus, Covid-19.

Walaupun kehilangan pekerjaan, ini tidak mematahkan semangat Cik Rozielawati untuk mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan harian anak-anaknya.

"Saya membuat keputusan beri tumpuan sepenuhnya pada perniagaan online dan menerapkan ilmu yang saya pelajari kepada perniagaan saya," kata Cik Rozielawati yang kini menjual kraf tangan kerongsang bunga diperbuat daripada riben serta aneka jenis barang seperti tudung dan sabun mandi.

Sebelum ini, beliau pernah bertugas dalam bidang pentadbiran dan kemudian selepas mendirikan rumah tangga, menjual aneka barangan melalui dalam talian selama sekitar lapan tahun.

"Sekarang, saya lebih tahu bagaimana hendak memasarkan produk yang saya jual dalam talian melalui kursus Pemasaran Digital. Saya juga sedang berusaha menubuhkan laman web perniagaan saya, Absolute Lifestyle, dan ingin cuba mempunyai kod QR di laman web saya supaya pelanggan boleh mengesan kod QR itu dan mendapat maklumat tentang produk jualan saya dengan segera," kata Cik Rozielawati.

Berbekalkan ilmu baru itu, Cik Rozielawati kini lebih yakin menjana pendapatan melalui perniagaan dalam talian dan berharap dapat terus mempertingkat diri pada masa depan.


"Ada banyak perubahan pada diri saya selepas saya menghadiri pelbagai kursus. Dahulu, saya sukar bersuara. Tetapi, saya sekarang lebih yakin. Saya tidak takut hendak berbual dengan pelanggan dan tahu macam mana hendak berurusan dengan mereka. Saya juga belajar cara menulis resume dengan berkesan dan cara mempersiap diri semasa temu duga."
- Cik Rozielawati Ismail, pemilik perniagaan dalam talian, Absolute Lifestyle.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3