Subuh
5:50
Syuruk
7:07
Zuhur
1:12
Asar
4:13
Maghrib
7:15
Isyak
8:23

Kumpulan Al-Muhafizoon terus berusaha galak belia dekati masjid

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Kumpulan Al-Muhafizoon terus berusaha galak belia dekati masjid

Sep 24, 2021 | 05:30 AM

SAMBIL menghulurkan bantuan kepada masyarakat, anggota kumpulan belia Masjid Alkaff Kampung Melayu, Al-Muhafizoon, turut berpeluang mempelajari kemahiran baru dan mempertingkat diri.

Cik Nur Harisa Hassan, 22 tahun, dan Encik Daud Ahmad Atiq Ur-Rehman, 20 tahun, merupakan antara anggota jawatankuasa kumpulan belia Al-Muhafizoon.

Cik Nur Harisa yang juga Presiden Belia, menyertai kumpulan itu pada 2016, manakala Encik Daud, pengaturcara yang merancang kegiatan kumpulan, menyertainya pada 2018.

Kumpulan belia Al-Muhafizoon mempunyai sekitar 150 anggota belia, di mana, seramai 15 belia adalah anggota jawatankuasa.

Mengulas penglibatannya sebelum pandemik Covid-19, Cik Nur Harisa berkata:

"Saya bukan sekadar berpeluang melakukan lebih banyak kegiatan sukarela tetapi cuba melakukan kegiatan di luar zon keselesaan saya seperti terlibat dalam kem Ramadan Youth Challenge (RYC) dengan membantu menjaga stesen permainan dan melakukan skit.

"Semasa Ramadan atau Hari Raya Haji, saya membantu siapkan jamuan iftar atau menjaga kanak-kanak semasa solat tarawih dan berpeluang mengenali lebih ramai orang dan berasa lebih berani di depan ramai orang."

Cik Nur Harisa, penuntut diploma dalam jurusan bioteknologi perubatan dari Politeknik Temasek dan kini menjalani program latihan di sebuah syarikat, gembira dapat mendalami agama Islam melalui kumpulan belia itu dan selalu diingatkan untuk bermuhasabah diri.

Encik Daud pula dapat menabur bakti pada masyarakat dengan melakukan lawatan ke rumah-rumah golongan memerlukan dan membersihkan rumah mereka sebelum pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau turut mengagihkan bubur masjid semasa Ramadan atau menolong kakitangan masjid semasa ibadah korban pada Aidiladha.

Beliau juga seronok melakukan pelbagai kegiatan riadah bersama anggota belia lain seperti berkayuh pada waktu malam atau menyertai kem belia.

"Saya membesar di masjid kerana ibu bapa saya membawa saya ke masjid hampir setiap hari sejak kecil. Saya rasa bertanggungjawab menarik belia datang ke masjid," kata Encik Daud.

Beliau juga ingin 'memecahkan' stereotaip bahawa belia yang ingin menjadi sukarelawan tidak semestinya mahir dalam bidang agama.

"Yang penting, mereka mempunyai minat berkhidmat kepada masyarakat," kata Encik Daud.

Berketurunan Pakistan, beliau terpaksa menyesuaikan diri dengan komuniti Melayu di masjid.

"Ibu bapa saya berhijrah dari Pakistan semasa saya berusia satu tahun. Saya tidak fasih bertutur bahasa Melayu. Pada mulanya, saya terpinga-pinga apabila teman-teman atau warga tua bercakap dalam bahasa Melayu tetapi mereka memahaminya.

"Walaupun tidak boleh berbahasa Melayu, ia tidak menghalang saya daripada terlibat dalam kegiatan kumpulan sukarela," kata Encik Daud, yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara.

Biarpun semua kegiatan riadah kumpulan belia serta kegiatan kemasyarakatan dihentikan buat sementara, anggota jawatankuasa kumpulan belia masih berhubungan di dalam talian bersama Pegawai Pembangunan Belia (YDO) Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Irwan Saian, dua kali seminggu.

Dalam sesi itu, mereka berbincang tentang isu-isu semasa berkenaan belia di Singapura dan di serata dunia.

Mempunyai sukarelawan belia seperti Cik Nur Harisa dan Encik Daud dianggap penting buat Masjid Alkaff Kampung Melayu kerana golongan belia ini bakal menjadi pelapis di masjid nanti, kata Ustaz Irwan.

Menurut beliau lagi, antara matlamat menubuhkan kumpulan belia Al-Muhafizoon adalah untuk mendorong hati golongan belia supaya dekat dengan masjid.

"Ada hadis yang mengatakan, antara tujuh golongan yang akan mendapat naungan pada hari kiamat kelak adalah mereka yang hatinya terikat kepada masjid," kata Ustaz Irwan.

Dengan menyertai kumpulan belia, Ustaz Irwan berharap ia dapat memupuk hati mereka supaya mencintai masjid dan menyemai sikap ingin mencari ilmu agama.

Anggota kumpulan belia Al-Muhafizoon juga berpeluang mempertingkat diri dengan menyertai kelas mengaji, kelas agama atau mengikuti kursus secara percuma.

Antara tugasan Ustaz Irwan ialah menarik golongan belia di luar sana untuk ke masjid dan memberi mereka pendidikan agama di samping melakukan kegiatan riadah bersama.

Menurut beliau, setiap tahun sebelum Covid-19, masjid ini akan menganjurkan tiga program utama yang melibatkan belia iaitu program Youth In Charge; menawarkan khidmat menjaga kanak-kanak semasa kaum ibu menunaikan solat tarawih dan kem belia selama tiga hari dua malam pada setiap hujung tahun.

Melalui program-program tersebut, pegawai pembangunan belia masjid seperti Ustaz Irwan dapat mendekati belia dan mengetahui isu-isu semasa yang dihadapi.

Sebagai contoh, antara keprihatinan Ustaz Irwan buat masa ini adalah kesihatan mental dan peradaban di kalangan belia.

Memandang ke depan, Ustaz Irwan berharap agar kumpulan belia Al-Muhafizoon dapat kembali menganjurkan kegiatan bermanfaat buat belia dan masyarakat.


SOKONGAN RAMAI DIALU-ALUKAN

SOKONGAN masyarakat kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu bakal membantu menyemarakkan lagi usaha pembangun belia pada masa depan.

Masjid Alkaff Kampung Melayu kini sedang berusaha mengumpul dana buat kerja-kerja peningkatan masjid.

Pihak masjid merancang membina lif bagi memudahkan para jemaah menuju tingkat dua dan tiga masjid.

Ia juga merancang menyediakan binaan yang akan memberi kemudahan kepada jemaah yang datang dengan berkerusi roda atau alat bantuan mobiliti peribadi seperti membina tanjakan.

Pihak masjid memohon sumbangan dana ikhlas masyarakat Islam Singapura.

CARA MENYUMBANG

Cara-cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu.

- Pindahan bank OCBC: 581-608668-001. Sila nyatakan "Dana Peningkatan" di bahagian "Add reference no." atau "Bill Reference No." dan e-mel tangkap layar transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.org.sg

- Cek kepada: LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan "Dana Peningkatan", nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek tersebut dan kirimkan kepada, Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

- Paynow UEN: S94MQ0017D atau Imbas Kod QR ini. Sila nyatakan "Dana Peningkatan" di bahagian "Bill Reference No."

- Langsung ke Pejabat Masjid dari hari Isnin hingga Khamis dari 2 hingga 6 petang.

- Sila hubungi talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3