Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Lagu-lagu 'biasa' kisah S'pura yang tetap bangkit semangat cinta negara

Tidak bersifat patriotik semata beberapa lagu yang papar keistimewaan S'pura sejak dulu turut boleh jadi kebanggaan sempena Hari Kebangsaan
Aug 08, 2021 | 05:30 AM



LAGU memang sejak dulu menjadi cerminan masyarakat dan rakaman sejarah.



Kita rasa dekat dengan Jakarta menerusi Antara Anyer dan Jakarta, mesra dengan Solo menerusi Bengawan Solo, jatuh cinta dengan Mahgribi menerusi Casablanca nyanyian Bertie Higgins.



Singapura sendiri, di sebalik saiz "setitik merah" di peta dunia, semangat perjuangannya kuat tergambar dalam banyak lagu-lagu berjiwa kebangsaan. Terutamanya sejak 1984 dengan kemunculan lagu Stand Up For Singapore gubahaan Hugh Harrison, hampir setiap tahun berikutnya pasti ada lagu patriotik yang menggambarkan rasa bangga dan bersyukur kita terhadap kesejahteraan negara.



Namun, tolak semangat patriotik, Singapura sebenarnya tetap disebut-sebut namanya dalam lagu yang bukan dikategorikan sebagai lagu Hari Kebangsaan.



Ada yang masyhur kerana ia memberi gambaran masyarakat, ada juga kisah sejarah atau memberi secebis sebuah kawasan popularnya.



Lagu yang ada nama sesebuah negara atau tempat dan kawasan bersejarah di dalam negara itu, pasti akan membantu mengharumkan nama negara kerana sering disebut-sebut - selagi lagu itu digemari dan dipersembahkan waimma dari pelosok benua mana sekali pun.



Geylang Si Paku Geylang dan Di Tanjong Katong adalah antara ciptaan klasik, biarpun nama kawasan popular Singapura itu hanya terdapat dalam bentuk pantun.



Justeru, lagu yang ada ciri Singapura yang mana satukah yang sebenarnya telah banyak mengingatkan orang luar atau kita sendiri terhadap keistimewaan Singapura?



Penulis lirik Yusnor Ef paling minat dengan lagu pop langgam, Nona Singapura, nyanyian R. Azmi.



Lirik lagu itu secara am menyentuh ciri seorang "nona" atau wanita Singapura moden, yang antara lain menggambarkan "Nona Singapura" yang "macam itik pulang petang dia jalan melenggang; bibirnya merah bak delima merekah; kain tinggi sebelah betisnya membayang."



Di YouTube, terdapat sekurang-kurangnya 12 video persembahan lagu ini dalam pelbagai bentuk, termasuk acara tari menari. Antara yang menarik ialah persembahan dalam acara Angsana Dance Community dari sebuah kepulauan Indonesia, Pulau Karimun.



Satu lagi lagu kegemarannya digubah Zubir Said, berjudul Orang Singapura. Lagu ini antara lain mengingatkan masyarakat agar menjaga budi bahasa dan bekerja keras demi nama baik negara.



Antara liriknya:
Kalau sudah jadi, orang Singapura,

Hati mahu baik, berbudi bahasa.

Mesti tahan lasak, kuat berusaha,

Cukup tata tertib, hormat orang tua.

Barulah orang segan, hormat dengan kita,

Bolehlah dinamakan: orang Singapura.

Jikalau bekerja, janganlah kepalang,

Sanggup tanggungjawab, jangan curi tulang.

Taat dan setia, kepada negara,

Dan begitu pula, pada agama.

Begitu hidup kita, hidup sama-sama,

Barulah kita bangsa: orang Singapura.



Menariknya, lagu ini biarpun telah berusia lebih enam dekad, ia telah banyak kali diberi nafas baru oleh para penyusun muzik masa kini.



Sebuah video yang dirakamkan pada 2014 yang memperlihatkan sekumpulan anggota pancaragam polis Singapura membawakan lagu itu dengan peralatan brass, telah tular dengan lebih 34,000 tontonan.



Penyanyi Rudy Djoharnaen pula cukup meminati lagu ciptaan 1957, Oh Singapura, persembahan Saloma dan Ahmad Jaafar Orchestra.



Kata Rudy tentang lagu ini: "Ia sebuah lagu jaz klasik mengenai keindahan kota Singapura yang masyhur. Ia juga menggambarkan kota kita yang tak sepi dan suka dikunjungi pelancong.



"Kenapa saya suka lagu ini?



"Lagu ini sudah terlalu lama tidak dimainkan dan diperdengarkan. Rentaknya yang jazzy dan lively, menjadi genre muzik kegemaran saya.



"Seni katanya juga mudah jelas difahami tentang kehebatan dan kesejahteraan negara kita. Seni katanya juga boleh dikatakan masih relevan."



Lagu ini masih boleh didengari di YouTube.



Di era lebih kemudian, kehidupan Singapura dirakamkan dalam bentuk yang berlainan.



Antara lagu yang cukup unik dan diminati sehingga kini ialah Bas Nombor 13 ciptaan M. Nasir pada 1982, nyanyian kumpulan Kembara.



Lirik yang mudah itu yang merakamkan rasa kehilangan terhadap wajah yang biasa dilihat di Geylang Serai yang berubah pesat akibat pembangunan dan perubahan, dapat dilihat dalam perjalanan menaiki bas itu.



Liriknya di bahagian tengahnya berbunyi:
"Tiba ku di depan warung Wan Cu;

Jelas ia tak seperti dahulu

Lalu aku bertanyakan waktu

Oh betapa kawan cepat masa berlalu

Ku lihat Geylang serai berubah

dari belakang pasar jentolak bekerja

ku tanya di manakah Pak Dollah beca

Kata seorang penjaja

Pak Dollah sudah bersara..."



Lirik yang bersahaja, tetapi cukup mengusik nostalgia. Menariknya, bas nombor 13 sehingga kini masih melalui kawasan Geylang Serai dan menyaksikan banyak lagi perubahannya. Apakah ada lagu susulan penggubah sekarang?



Satu lagi lagu yang merakamkan pengalaman dalam pengangkutan ialah Dangdut MRT nyanyian kumpulan S.A.H (Husin Saaban) yang turut memuatkan rakaman suara-suara pengumuman nama-nama stesen MRT di Singapura. Cukup kreatif.



Penggubah lagu-lagu tradisional dan etnik tempatan, Zubir Abdullah, pula wajar diberi pengiktirafan kerana telah menghasilkan banyak lagu yang merakamkan sejarah Singapura.



Albumnya, 'Cinta, Cipta dan Citarasa' yang dilancarkan pada April lalu merakamkan perjalanan seninya selama 30 tahun, memuatkan banyak lagu-lagu berkaitan negara dan warisan bangsa, antaranya, Citra Bangsa Di Kampong Gelam, Zapin di Geylang Serai, Zapin Telok Belangah, Zapin Kampong Melayu, Lestari Seni Di Taman Warisan dan Ansarku.



Zapin Telok Belangah yang dicipta pada 1999, sudah dianggap lagu ikon terutama di kalangan para penari Melayu tradisional. Ia telah digunakan sebagai latar tarian untuk festival-festival seni di lebih 50 negara.



"Saya rasa tercabar dan memilih untuk menceritakan kisah Telok Belangah kerana kawasan itu, bukan saja tempat saya dibesarkan pada era 1970-an, tetapi memang kaya sejarahnya dari zaman kesultanan Melayu hingga setelah British menjajah Singapura," kata Zubir dalam interviu dengan wartawan tak lama dulu.



Banyak lagi kisah menarik tentang Singapura, yang berlaku pada hari ini menanti masa untuk didokumentasikan menerusi susunan lirik dan gubahan irama.



Tidak perlu berfikir terlalu besar untuk lagu berskala "nasional" seperti Home atau Count on Me Singapore kerana lagu yang bertahan lama dan meninggalkan kesan lama biasanya yang berpijak di bumi dan dekat dengan hati rakyat jelata.




"Tolak semangat patriotik, Singapura sebenarnya tetap disebut-sebut namanya dalam lagu yang bukan dikategorikan sebagai lagu Hari Kebangsaan.

Ada yang masyhur kerana ia memberi gambaran masyarakat, ada juga kisah sejarah atau memberi secebis sebuah kawasan popularnya.

Lagu yang ada nama sesebuah negara atau tempat dan kawasan bersejarah di dalam negara itu, pasti akan membantu mengharumkan nama negara kerana sering disebut-sebut - selagi lagu itu digemari dan dipersembahkan waimma dari pelosok benua mana sekali pun."

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >