SELAMA hampir dua tahun, keadaan sunyi sepi menyelubungi kawasan Kampong Glam - tiada pelancong yang mengambil gambar di hadapan Masjid Sultan manakala kedai cendera hati sepi tanpa pengunjung.
Keadaan berubah sedikit sejak beberapa minggu lalu setelah Singapura membenarkan skim Laluan Perjalanan bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL), yang membenarkan perjalanan tanpa kuarantin dengan beberapa negara.
Walaupun bilangan pelancong tidak ramai, ia membawa kelegaan bagi para peniaga di kawasan itu.
Pemilik kedai cenderamata, Table Top Creation, di Bussorah Street, Cik Melati Awang, berkata beliau agak sibuk melayani pelanggan hujung minggu lalu.
"Ada pelancong dari Britain, Jerman dan Canada yang datang beli poskad dan keychain di kedai saya. Di samping kebenaran lima anggota keluarga yang duduk serumah kini boleh menjamu selera di restoran, suasana mula rancak di Kampong Glam,'' kata Cik Melati, yang kedainya terletak di depan Masjid Sultan.
Sejak 20 tahun beliau berniaga di sana, beliau mengakui krisis Covid-19 adalah yang paling teruk beliau lalui.
Penjualannya sudah menjunam sebanyak 95 peratus.
"Kedatangan pelancong itu dari beberapa negara merupakan satu permulaan yang baik dan kami mengharapkan hari-hari lebih baik,'' ujarnya.