Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: TOKOH PEMIKIR

'Lebih ramai pakar kaji sastera diperlukan'

Pakar pengajian sastera Melayu klasik dan moden Dr Azhar Ibrahim lahir keprihatinan terutama ancaman dari kumpulan ketuanan yang perguna teks lama untuk kepentingan politik
Oct 24, 2021 | 05:30 AM



SEBAGAI seorang mahasiswa pengajian Melayu yang cemerlang di Universiti Nasional Singapura (NUS) 25 tahun lalu, beliau menerima hadiah buku Berita Harian dan jabatan pengajian tersebut.



Masih segar di ingatan Dr Azhar Ibrahim Alwee apabila beliau menggunakan hadiah wang $500 itu untuk membeli buku sastera klasik Melayu di Plaza Pelangi di Johor Bahru bersama arwah bapanya.



Hari ini, beliau merupakan seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu NUS dan merupakan seorang pakar dalam pengajian sastera Melayu klasik dan moden.



Baru-baru ini, beliau juga menerima Pingat Kepujian dalam Anugerah Hari Kebangsaan bagi kecemerlangan dan dedikasi dalam tugasnya.



Pada usia 50 tahun, Dr Azhar kini bimbang jika akan ada generasi pelapis untuk menggantikan beliau dan pakar lain dalam bidang itu yang kini berada di ambang persaraan.



Padahal kini, lebih ramai pakar yang mahir dalam mengkaji sastera secara kritis diperlukan, kata Dr Azhar, dalam satu wawancara dengan Berita Minggu (BM) baru-baru ini.



Ini semakin penting dalam suasana di banyak negara sekarang, termasuk di rantau ini, dengan suasana politik mula condong ke kanan, dan ada ancaman daripada kumpulan yang memperjuang 'ketuanan' (supremacy).



"Sastera klasik kini menjadi bahan rebutan dalam tafsiran. Kita tahu suasana politik yang condong ke kanan.



"Teks Melayu lama kalau di tangan pembacaan yang serong dan salah, itu sangat berbahaya. Terjadi di mana-mana tempat. Teks lama direbut untuk dipergunakan bagi kepentingan politik hari ini. Kita sudah melihat trend ini.



"Tanpa kajian sastera klasik yang kritis, itu sebenarnya menjadi satu bebanan ke depan. Bagus kalau nak hargai sastera Melayu tetapi ketuanan itu berbeza," kata Dr Azhar.



Beliau memberi contoh kumpulan di rantau yang menggunakan teks-teks istana atau karya kegemilangan kerajaan Melayu untuk menyokong pemikiran ketuanan Melayu.



Oleh itu, beliau bimbang sastera secara umumnya kini jarang diberi penekanan besar.



"Lama-kelamaan ia dianggap sebagai sesuatu yang tidak lagi mempunyai tarikan ekonomi.



"Dulu saya ambil (bidang) sastera klasik, orang tanya macam mana nak kerja ni? Alhamdulillah saya dapat kerja ok, jadi pensyarah.



"Ini membuka ruang. Bila saya masuk bidang sastera, ia merupakan satu ruang yang sangat besar. Saya masuk ke Malaysia, ke Indonesia, ke Nusantara. Mentelah, sastera klasik tidak ada sempadan," katanya.



Malah, beliau menggalakkan anak Melayu di Singapura untuk mengkaji sastera di Indonesia, termasuk dalam aspek lain seperti amalan agama Islam, sejarah dan ekonominya.



Jika kajian tentang Indonesia terbengkalai, satu bidang ilmu yang besar tidak dapat dimanfaat, katanya.



"Sebenarnya anak Melayu sudah punya cultural capital (modal budaya). Dia tahu bahasa. Bahasa Indonesia boleh dipelajari dengan mudah," ujar Dr Azhar.



Beliau juga menekankan bahawa usaha untuk menghidupkan kembali pengajian sastera memerlukan dukungan masyarakat.



Ini boleh dilakukan dengan memberi lebih banyak ruang bagi sastera, serta sokongan dalam bentuk biasiswa dan geran untuk membuat kajian, katanya.



Beliau akur ada usaha sedia ada untuk menggalakkan penulisan sastera, tetapi apa yang masih berkurangan ialah kajian mengenai sastera, serta pakar yang menjalankan usaha tersebut.



Katanya, masyarakat memerlukan lebih ramai seperti pendidik bahasa dan budaya Melayu serta sasterawan Profesor Madya Hadijah Rahmat, yang merupakan Ketua Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).



Baru-baru ini, Dr Azhar menggantikan Prof Hadijah sebagai pengerusi jawatankuasa kesusasteraan dalam Majlis Bahasa Melayu Singapura. Dr Azhar terfikir tentang siapa yang akan tampil menjadi generasi pelapis selepas generasinya.



"Saya sudah 50 tahun. Kalau umur panjang mungkin saya ada 10 tahun lagi untuk bekerja.



"Siapa lagi pengganti? Di peringkat sarjana ada, cuma kami perlu lebih ramai di peringkat PhD," ujarnya.




MENGENAI BAHAYA JADIKAN SASTERA KLASIK UNTUK KEPENTINGAN KETUANAN



"Sastera klasik kini menjadi bahan rebutan dalam tafsiran. Kita tahu suasana politik yang condong ke kanan. Teks Melayu lama kalau di tangan pembacaan yang serong dan salah, itu sangat berbahaya. Terjadi di mana-mana tempat. Teks lama direbutkan untuk dipergunakan bagi kepentingan politik hari ini. Kita sudah melihat trend ini. Tanpa kajian sastera klasik yang kritis, itu sebenarnya menjadi satu bebanan ke depan. Bagus kalau nak hargai sastera Melayu tetapi ketuanan itu berbeza."




USAH BIMBANG TIADA KERJA BILA AMBIL PENGAJIAN MELAYU



"Dengan jujur selama saya kerja ini, saya tidak pernah dengar mereka yang ambil Malay Studies yang tak ada kerja. Orang bimbang masuk Malay Studies ni ada kerja ke tidak. Di mana-mana saya pergi sekarang, saya akan jumpa budak Malay Studies, dengan rasa bangga, alhamdulillah. Apa yang saya dengar mereka agak dicari-cari, kerana mereka dwibudaya, boleh fikir tentang isu Melayu dan fasih berbahasa Inggeris."
- Dr Azhar Ibrahim Alwee, pakar dalam pengajian sastera Melayu klasik dan moden di NUS.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >