MASIH jelas di fikiran Hans Hamid, pengacara rancangan gaya hidup Manja, detik mencabar dan sukar bekerja lembur dan menjalankan beberapa tugasan serentak hanya untuk memberi makan dan memastikan isteri dan anaknya hidup selesa dan bahagia.
Antara tugas yang pernah dikendalikan sebelum bergelar personaliti televisyen termasuk pekerja pemindah barang, jurulatih haiwan, pengacara di acara kelab masyarakat dan ahli silap mata.
Tempoh sedekad bergelar bapa muda pada usia 21 tahun banyak mengajar Hans, kini 31 tahun, erti kerja keras, disiplin dan menggembirakan keluarga yang diamanahkan buatnya.
Lantaran itu, pemenang peraduan pencarian bakat baru Elit Suria itu tidak akan sia-siakan rezeki yang bertali arus kini dalam bidang mengacara dan lakonan.
Kerja keras, disiplin dan semangat ingin belajar sesuatu yang baru akan tetap menjadi sandarannya agar kekal relevan dalam bidang seni dan hiburan.
WAKTU SUKAR
Bagi Hans, yang mempunyai enam anak antara usia dua bulan dengan 10 tahun, bukan glamor yang dikejar, tetapi misi menghiburkan orang ramai dan mencetus inspirasi yang ingin dilaksanakan sebaik mungkin.
Ketika ditemui di Kampus Mediacorp, Hans, yang baru-baru ini membawa watak pembantu dalam telefilem ketiganya, Maafkan Mak, berkata:
"Saya ingat waktu-waktu sukar menjalani hidup sebagai bapa muda yang ingin pastikan anak isteri terjaga, ada makanan untuk disajikan di atas meja dan ada hadiah tambahan buat mereka gembira.
"Pernah saya pilih untuk kerja sebagai kakitangan syarikat pemindah barang yang kerja tanpa henti selama 24 jam dan sambung lagi sampai tengah hari keesokan harinya.
"Tujuan saya adalah bagi memantapkan tahap kewangan keluarga. Saya buat dua tiga kerja kerana saya inginkan kestabilan sebab nak pastikan serba-serbi cukup dan selesa buat isteri dan anak-anak.
"Ada hari, saya pun nak manfaatkan wang pendapatan untuk beri hadiah buat mereka, setakat untuk menggembirakan hati mereka.
"Penat buat macam-maca kerja memanglah. Tapi bila tengok anak-anak gembira, segala keletihan hilang serta-merta. Merekalah penawar," kongsinya.
TERIMA KASIH KEPADA ISTERI
Hans berterima kasih kepada isterinya, Irna, 33 tahun, yang mengharungi suka duka dan jerih payah membesarkan anak-anak dan membangun keluarga bersamanya.
"Irna bukan jenis yang meminta untuk diajak bercuti. Kalau saya ajak dia bersiar-siar atau bercuti ia satu bonus buatnya.
"Tumpuannya lebih kepada anak-anak. Dia boleh sahaja bekerja di luar tetapi membuat pilihan sendiri menjadi suri rumah sambil menjalankan bisnes dari rumah kerana ingin lebih banyak masa memastikan pelajaran anak-anak tidak terabai dan tindak-tanduk mereka diawasi.
"Dengan kesibukan menjaga enam cahaya mata kami sahaja, nak cari masa untuk diri sendiri memang susah.
"Sebab itu, apabila kami keluar berjalan berdua, ia biasanya sesuatu yang tidak dirancang. Apabila tengok situasi ok, anak-anak ok, itulah masanya kami luangkan masa bersama," ceritanya.
Hans dan Irna sudah mengenali satu sama lain selama 14 tahun sejak usia remaja.
Beliau menghargai setiap pengorbanan Irna dengan sokongan yang diberi apabila Hans mengambil keputusan mengambil bahagian dalam Elit Suria.
"Memang ada orang kata, apabila bujang trang-tang-tang dan dikenali dalam bidang seni, pengikut kita di media sosial pastinya lebih ramai.
"Ada yang merasakan orang dah kahwin agak terbatas pergerakannya. Namun, bagi saya, ia ikut takrifan masing-masing. Alhamdulillah, saya menerima kata-kata galakan daripada pengikut media sosial dan penyokong rancangan tempatan.
"Walau apa-apa pun, kerja seni seperti tugas lain harus diambil serius. Kerja keras, selalu sedia belajar perkara baru dan kekal merendah hati macam 'otai-otai' (orang lama) kita, maka rezeki tetap ada," ujar Hans lagi.
Pada Hari Raya Aidilfitri lalu, Hans mengimbas kembali peranannya sebagai ayah sedang keluarganya semakin bertambah.
Isterinya Irna juga baru melahirkan anak keenam mereka, Erhan.
"Alhamdulillah, anak-anak yang lebih dewasa dah boleh diharap tolong ambilkan susu adik bongsu mereka atau buat kerja-kerja ringan bantu ibu mereka. Semasa Irna sarat mengandung, pelanggan tak tahu kek yang mereka tempah tu air tangan saya!
"Setiap anak ajar saya sesuatu tentang kehidupan. Saya ingin pupuk ukhuwah dan kerukunan keluarga agar mereka faham apa pengertian memiliki keluarga yang bahagia yang akan saling membantu.
"Ketika usia mereka dua tahun, memang saya anggap itu fasa 'Terrible Two'. Macam yang nombor lima ni... asyik nak berkepit sahaja dengan daddy. Saya nak pergi kerja, kena tunggu dia tidur dulu," tambah Hans seraya tertawa.
BANYAK BELAJAR
Dari segi kerjaya sebagai pengacara Manja pula, Hans banyak belajar tentang memperkasa penguasaan bahasa ibunda sewaktu menyampaikan di samping cepat 'tangkap' dan sampaikan idea jika ada perkara yang tidak dirancang tiba-tiba berlaku di studio.
Namun, beliau bersyukur sentiasa ada ruang dan peluang yang diberi Suria buatnya mengetengahkan dan mengasah bakat seni. Malah, beliau antara calon personaliti lelaki popular di Pesta Perdana baru-baru ini.
"Alhamdulillah, selepas Elit Suria 2018, rezeki ada. Saya diberi peluang mengacara Manja dan menjayakan telefilem dan drama lain. Masih banyak lagi untuk dipelajari, bahkan saya masih lagi menyesuaikan diri memuatnaikkan aktiviti harian di Instagram atau pengamatan saya tentang keadaan sekeliling. Saya jarang kongsi tentang anak-anak sebab bagi saya mereka masih kecil lagi. Saya tak nak biasakan mereka sangat dengan dunia media sosial," jelasnya.