Lulusan kejuruteraan aeroangkasa dipukau fenomena 'Squid Game'
SEBELUM kemunculan drama Netflix pencetus fenomena, 'Squid Game', pelukis Encik Muhammad Nurman Selamat tidak pernah menonton drama Korea di mana-mana platform media sosial.
Bagaimanapun, drama tentang penakatan manusia ciptaan pengarah dan penulis naskhah filem Hwang Dong-hyuk itu mengubah segalanya.
Encik Muhammad Nurman, 27 tahun, tertarik dengan jalan cerita 'Squid Game' yang berlegar di sekitar pertarungan 456 individu yang menanggung bebanan hutang lantas mengambil risiko bersaing dalam peraduan permainan kanak-kanak yang boleh mengorbankan nyawa.
Yang menjadi rebutan individu ini adalah peluang meraih ganjaran kemenangan berupa 45.6 billion won ($52 juta).
Oleh sebab terpaut pada fenomena 'Squid Game' yang memukau penonton Neflix serata dunia, Encik Muhammad Nurman, lulusan Diploma Kejuruteraan Aeroangkasa dari Politeknik Republic (RP), mula melukis siri potret watak 'Squid Game'.
Ikuti wawancara Berita Harian bersamanya.
Soalan (S): Apakah yang membuatkan anda bersungguh-sungguh menghasilkan siri potret watak 'Squid Game' ini?
Encik Muhammad Nurman (MN): Sejujurnya, saya tidak pernah menonton satu episod pun drama Korea lain.
'Squid Game' menarik perhatian dunia dengan jalan cerita yang menarik dan pesanan tentang bahaya berhutang dan jurang strata sosial yang meluas antara si kaya dengan golongan kelas bawahan.
Saya merasakan dengan melukis siri potret beberapa watak drama ini, lebih banyak pendedahan dan penyelongkaran budaya pop di sebalik penghasilan siri 'Squid Game' dapat dibuat secara peribadi.
Setiap watak membawa peranan yang berbeza-beza dan boleh dikaitkan dengan kehidupan manusia di alam nyata.
S: Apakah yang menarik tentang drama ini yang anda rasakan menyebabkannya begitu 'menghantui' penonton dunia dan menjadi tular?
MN: Plot berbelit yang tidak dijangka dan penuh ketegangan serta payah diramal penonton - itulah tarikan drama ini.
Banyak peristiwa dan kostum berwarna-warni yang dimuatkan dalam drama ini menjadikan penonton lebih tertarik menyaksikannya.
Ada semacam satu kesenian umum, kaya dengan kreativiti, yang turut diterapkan dalam drama ini.
Sebagai contoh, tangga berwarna-warni yang dipaparkan dalam drama ini mengingatkan saya tentang kerja seni pelukis terkenal Belanda, M.C Escher.
Warna 'pop' merah terang dan merah jambu serta hijau memikat saya sebagai seorang pelukis.
Sebagai tambahan, bunyi latar dan muzik yang dimainkan sepanjang drama ini turut memperkaya unsur budaya pop drama ini.
Ada muzik misteri penuh saspens dan pecutan adrenalin yang disisipkan.
Lebih daripada itu, saya juga begitu sukakan pesanan yang tersirat dalam drama ini iaitu meminjam wang daripada orang lain atau berhutang harus menjadi pilihan terakhir kita.
Sebaiknya, bereskan hutang yang ada kerana kalau ia bertepek, ia akan menimbulkan stres dan rasa tidak selesa dalam hati. Malahan, kalau anda tak bernasib baik, hutang yang bertimbunan akan membawa pada banyak masalah lain yang tidak dijangka.
S: Apakah yang anda pelajari tentang kehidupan menerusi setiap watak yang dilukis?
MN: Watak Ali mengajar saya tentang keadaan seseorang yang tidak bersalah itu tidak semestinya membawa pada keadilan.
Ada ketikanya, kita perlu menjadi seperti orang yang tidak tahu apa-apa ataupun cakap lepas untuk mempelajari selok-belok kehidupan.
Watak lain seperti Sae Byeok diam sahaja pada kebanyakan masa. Keadaannya dapat dikaitkan dengan keadaan kita yang lebih suka berdiam dan memerhatikan keadaan sekeliling daripada bersikap terlalu vokal.
Rasanya, manusia lebih banyak belajar tentang sekitaran mereka dengan lebih berkesan jika mereka hanya mendengar dan mempelajari serta mengamati secara terperinci sikap orang sekeliling.
Dengan pegangan sebegini akan menggalakkan seseorang agar lebih banyak mempelajari personaliti dan tindak-tanduk sebenar orang lain.
Satu lagi watak yang saya sukai adalah warga emas bernama Il Nam. Dia licik dan tangkas memperdaya watak lain agar meletakkan wang tunai yang lumayan sebagai gantian nyawa mereka.
Dia sudah jenuh dengan situasi individu yang saling melayan satu sama lain dengan sikap yang tidak wajar.
Pada episod terakhir, Il Nam membuat taruhan dengan Seong Gi Hun untuk melihat jika ada dalam kalangan mereka yang akan membantu peminta sedekah di jalanan dalam cuaca dingin.
Pada akhirnya, dia yang didapati tersilap.
S: Apakah aspek budaya pop lain yang sedang anda teroka?
MN: Selain fokus pada lukisan potret, saya kini mula menggali seni kontemporari yang menggabungkan seni lukis pop dan lukisan moden yang memerlukan banyak penerokaan dan latihan. Boleh lungsur akaun Instagram saya di 'Norman_Artz' untuk tinjau kerja seni saya.
Karyawan media fesyen tinjau tanggapan lelaki Melayu tentang maskuliniti
KETIKA meniti usia remaja, Encik Muhammad Jayakhidhir Mohd Edrus kagum dengan cara ikon fesyen Sudirman, David Bowie, Grace Jones, Yuna dan Leslie Cheung, menggayakan busana mereka.
Lebih menarik lagi di luar skop fesyen dan penampilan, takrifan dan pendirian lima personaliti daripada dunia hiburan berbeza ini terhadap kehidupan.
Oleh sebab teruja ingin tahu mengapa dan bagaimana individu umum menampilkan diri mereka di khalayak ramai menerusi busana dan aksesori, maka Encik Muhammad Jayakhidhir, 26 tahun, memilih pengajian ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Media dan Industri Fesyen di Maktab Seni Lasalle.
Baru-baru ini, anak bongsu dalam tiga beradik yang sebelum ini mengambil Diploma Filem, Bunyian dan Video di Politeknik Ngee Ann (NP), tamat pengajian dengan meraih Kepujian Kelas Pertama.
Bagi projek tahun akhirnya, Encik Muhammad Jayakhidhir menghasilkan buku bertajuk Yalam (Jilid 1) tentang takrifan 30 lelaki Melayu mengenai pelbagai tanggapan maskuliniti atau kelelakian dan bagaimana setiap individu Melayu mewakili pendapat umum ini.
'Yalam' adalah imej cermin atau diterbalikkan daripada perkataan 'Melayu'.
Apakah yang cuba dikupasnya dalam projek ini? Ikuti wawancara Berita Harian dengan Encik Muhammad Jayakhidhir, editor digital kreatif di Heart Media yang menyelaras penerbitan majalah L'officiel dan Men's Folio.
Soalan (S): Apakah perasaan anda apabila menerima ijazah Kepujian Kelas Pertama?
Encik Muhammad Jayakhidhir (MJ): Saya tidak menetapkan sasaran akademik apabila memasuki universiti. Saya hanya secara tulus ingin lebih mempelajari apa yang diajar dalam sukatan pendidikan kursus saya ini, iaitu apakah fesyen jika dikaitkan dengan media dan wacana yang berlegar sekitar dua subjek ini, fesyen dan media.
Mendapat ijazah Kepujian Kelas Pertama justeru adalah bonus buat saya.
S: Ceritakan tentang projek tahun akhir anda 'Yalam'. Mengapa anda ingin hasilkan projek yang condong dengan isu identiti Melayu dan apakah pula cabarannya?
MJ: Projek tahun akhir saya, 'Yalam', dihasilkan mengimbas kembali pada pengalaman peribadi.
Ketika meniti usia remaja, saya pernah mendengar perkataan 'Yalam' ini digunakan oleh teman saya sebagai lontaran kata negatif terhadap masyarakat Melayu setiap kali orang Melayu dianggap tidak boleh memberi kerjasama atau pemalas dalam pelbagai situasi sosial.
Saya memilih untuk menggunakan kembali perkataan 'Yalam' ini bagi berkongsi pengalaman kehidupan orang Melayu yang membesar dalam negara sekular.
Dalam konteks Singapura, orang Melayu perlu berunding tentang pelbagai aspek kehidupan mereka dengan kadangkala perlu mengetepikan beberapa aspek identiti Melayu/Islam mereka dengan cara mereka berpakaian atau tindak-tanduk mereka untuk menyesuaikan diri dengan kaum lain.
Penunjang bersejarah mengenai apa yang masyarakat Melayu di sini telah lalui selama berdekad lamanya juga menarik kerana mendesak saya ingin ambil tahu apakah yang diketepikan masyarakat kita dari segi budaya dan kepercayaan dalam usaha memburu kemajuan kebendaan.
Dengan berbuat demikian, apakah kita menjadi sebaliknya daripada takrifan orang Melayu yang kita sedia maklum?
Cabaran yang saya hadapi memang besar kerana ramai individu antara usia 16 hingga 30 tahun yang ingin saya paparkan di rumah masing-masing tidak selesa jika saya, orang yang tidak dikenali berada di rumah mereka.
Dalam buku ini yang merupakan jilid pertama, terdapat 30 individu lelaku Melayu yang berkongsi tanggapan mereka mengenai kelelakian.
Saya berharap dapat meneruskan projek ini dengan lebih banyak jilid dihasilkan dengan tumpuan pada tema tertentu yang akan saya fikirkan kelak.
S: Apakah yang anda harapkan daripada industri fesyen Singapura?
MJ: Jenama tempatan harus bersandarkan budaya dan sejarah Singapura dan kemudian membangun pengikutnya dengan matlamat jangka panjang daripada tertumpu pada usaha mengaut margin untung buat jangka pendek.
Namun, saya dapati terdapat lebih banyak pendekatan eksperimental berisiko yang diambil beberapa jenama tempatan dari segi pengimejan visual dan pemasaran.
Jenama setempat juga harus mendengar kehendak pelanggan busana, apa yang mereka inginkan mengambil kira cuaca dan budaya di sini. Janganlah dibandingkan dengan tuntutan jenama busana antarabangsa lebih besar.
S: Di luar skop fesyen, adakah anda mencuba pekerjaan lain?
MJ: Saya tentunya tidak menjangkakan diri saya akan menjadi penolong ujian swab sejurus tamat pengajian di Lasalle.
Tugas ini memang tiada kena-mengena dengan media fesyen. Dalam paradigma pandemik, bagaimanapun, kita harus bersikap terbuka pada perubahan yang memerlukan kita membuat penyesuaian.
Pengalaman bekerja sewaktu tempoh pandemik ini amat bermakna. Sepanjang bertugas sebagai penolong ujian swab, saya berkunjung ke banyak tempat meliputi estet kejiranan HDB, dormitori, hotel dan sekolah.
Kerana saya dapat menyaksikan sendiri dan berinteraksi dengan ramai individu daripada pelbagai lapisan masyarakat adalah pengalaman membuka mata.