Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

SEMPENA HARI IBU

'Maafkan Mak' pengakrab gandingan pelakon ibu-anak

May 07, 2021 | 05:30 AM



Kebiasaannya, telefilem Hari Ibu memaparkan kisah ibu perkasa yang berkorban keringat dan masa membesarkan anak yang kadangkala lupa tentang jasa besarnya. Namun kali ini, kisah dua ibu toksik yang tidak lepas daripada cacat celanya sehingga gagal mencorak anak sebaiknya menjadi teras telefilem ‘Maafkan Mak’. Di sebalik segalanya, taubat nasuha si ibu yang tampil memohon maaf kepada anak-anaknya mencetus iktibar yang menginsafkan. Apakah pengalaman barisan pelakon telefilem ini? BERITA HARIAN melaporkan.



LEBIH tenang dan yakin dibimbing ibu di set penggambaran tetapi stres juga apabila si ibu menunjukkan sisinya yang garang sebagai sutradara atau pelakon gandingan.



Inilah yang dirasakan pelakon remaja Haziqah Hashir, 20 tahun, tatkala berlakon bersama atau diarah ibunya, Siti Hajar Gani, 47 tahun.



"Nak katakan, secara profesional dalam dunia lakonan, ibu memang tegas dan lebih garang daripada keperibadiannya di rumah.



"Sungguhpun begitu, di sebalik usia saya yang lebih dewasa kini, saya tetap perlukan ibu di set penggambaran kerana selesa ada yang mengasuh dan memberi saya panduan lakonan membina.



"Kalau tidak, saya pastinya akan berada dalam keadaan lebih berserabut!" kongsi Haziqah, anak bongsu dua beradik, yang menjayakan telefilem Hari Ibu malam ini, Maafkan Mak.



Haziqah memainkan watak gadis kaki memberontak dan kurang kasih sayang, Amirah yang dahagakan belaian cinta ibunya, Lismawati (lakonan Siti Hajar), yang dipenjara kerana kes dadah malah terjebak kerana terpedaya dengan orang yang dipercayai.



Sepanjang ibunya hidup berjauhan di balik jeriji penjara, Amirah dijaga kakaknya Alina (Azzy Mozerin) dan dimanjakan neneknya.



Setiap kali Amirah melanggar undang-undang, Alina akan menyelamatkannya tetapi sering disalah anggap Amirah sebagai kakak menyibuk yang terlalu melindungi dan mengongkongnya. Alina menyimpan rasa marah terhadap ibunya dan payah menerima si ibu yang dibebaskan dari penjara.



Pasangan ibu dan anak, Siti Hajar dan Haziqah ditemui di Mediacorp Campus dalam suasana santai sesi wawancara media bersama pelakon Maafkan Mak kelmarin.



Drama arahan Seriwahyuni Jaes ini lari daripada kebiasaan telefilem Hari Ibu yang memaparkan ibu berjiwa adiwira yang kerapkali berendam air mata dek pengorbanannya.



Sebagaimana jelas Siti Hajar yang memulakan kerjaya lakonannya di teater sebelum dikenali dalam drama ikonik 1992, Sayang Mona:



"Telefilem ini memaparkan dua ibu toksik, Lismawati dan emaknya Hasnah.



"Kebiasaannya, anak sepatutnya menghormati sang ibu sebagai wira mereka.



"Namun, dalam dunia ini, ibu juga manusia yang bukannya serba sempurna. Kesilapan tidak dapat dielakkan dalam hidup dan hubungan bersama anak. Ada ibu malah buat lebih banyak kesilapan hidup.



"Namun, ini tidak bererti si ibu tidak wajar dihargai seperti ibu lain. Sebagai anak, seseorang itu harus terima kekurangan ibunya.



"Si ibu pula tidak harus segan, ego atau gentar meminta maaf kepada anaknya jika dia menyedari kesilapannya."



Telefilem ini berat dan sarat dengan isu sosial dan yang boleh dijadikan renungan.



Bagi mempersiapkan diri untuk watak Lismawati, bekas banduan yang tidak pernah sepi daripada banyak dugaan hidup, Siti Hajar tiada rujukan orang yang dikenali yang pernah jalani hidup segetir itu untuk diselami wataknya.



"Apa yang saya buat ialah menonton filem atau wawancara sebenar dengan bekas banduan. Saya perhatikan gerak-geri mereka dan cara mereka berbual untuk serapkan diri saya dengan watak ini.



"Lismawati memang tidak pernah senang dari zaman remaja sampai dia bergelar ibu.



"Ibu bapanya bercerai. Dia ada masalah dengan bapa tirinya dan ada adik yang hidup terpisah dengannya.



"Saya tak dapat nak bayangkan betapa kalutnya hidup Lismawati dengan dugaan yang berat ini," kongsinya.



Haziqah pula menyifatkan dirinya yang pendiam bertukar 360 darjah untuk menjadi Amirah yang main lepas ketika berbual, berani dan sanggup buat apa sahaja bagi dapatkan wang dengan mudah.



"Amirah memang perangai 'Minah'. Bagi menghadam watak ini, saya rujuk pada teman yang mempunyai ciri-ciri sepertinya.



"Saya banyak bertanya kepadanya apa yang dilakukan kalau situasi yang menimpa Amirah berlaku padanya," jelas Haziqah.



Ditanya apakah pengajaran yang diperolehinya daripada telefilem ini, beliau berkata panggilan ibu itu bukan tertakluk pada wanita yang secara zahir melahirkan si anak.



"Ada ramai di luar sana, baik lelaki yang tiada isteri atau seorang pak cik, nenek mahupun kakak yang menggantikan peranan sebagai ibu atas pelbagai sebab berbeza yang boleh diraikan sempena Hari Ibu," katanya yang awalnya tiada rancangan ceburi bidang lakonan.



Kata Siti Hajar:



"Dari kecil, Haziqah memang teruja nak berlakon sebab dia tidak segan melakukannya. Tapi bila dewasa, dia jadi lebih pendiam dan berat menceburi bidang lakonan yang dianggap menimbulkan tekanan.



"Namun, sekarang dia dah terjebak semula dan terperangkap setelah mencubanya beberapa tahun lalu. Dah dapat gaji berlakon, seronoklah dia.



"Saya selalu beritahu kepadanya zaman saya dulu, kami bersusah payah berlakon secara percuma bak kerja sukarela dan dibimbing pengarah yang jauh lebih garang.



"Haziqah perlu belajar kentalkan jiwanya agar tidak mudah rapuh dan putus asa dengan kritikan orang. Dia mudah merasakan emosi sesuatu watak tapi dia masih belum pandai meluahkannya sepenuhnya.



"Yang kelakarnya, tempoh hari dia tonton lakonan saya dalam Sayang Mona di YouTube. Kata dia, apa yang saya nak bising-bising tentang lakonannya sedangkan lakonan saya sebagai gadis yang ada 'sugar daddy' masa tu pun macam kelakar.



"Saya kata zaman dah jauh berubah. Dulu lakonan tahap begitu boleh diterima tapi sekarang perlu pertingkat mutu lakonan lebih lagi," tambah Siti Hajar seraya tertawa.



Ibu dan anak ini berkongsi minat serupa bermain permainan telefon bimbit pada masa lapang.



"Kakak saya suka mengait tapi saya dan ibu tiada kesabaran melakukan hobi sebegitu." ujar Haziqah.



Bagi Siti Hajar, lakonan merapatkan hubungannya dengan Haziqah yang lebih akrab dan manja dengan ayahnya.



"Dia ni anak bapak. Apa sahaja kongsi dan ngadu dengan ayahnya. Alhamdulillah kerana lakonan, hubungan kami jadi lebih mesra," tambah Siti Hajar.



Maafkan Mak disiarkan di Suria dan meWatch pada 9 malam ini.




"Sungguhpun begitu, di sebalik usia saya yang lebih dewasa kini, saya tetap perlukan ibu di set penggambaran kerana selesa ada yang mengasuh dan memberi saya panduan lakonan membina.



Kalau tidak, saya pastinya akan berada dalam keadaan lebih berserabut!"
- Haziqah, merujuk kepada ibunya pelakon Siti Hajar Gani, yang sama-sama menjayakan telefilem 'Maafkan Mak'.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >