Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERSONALITI

Mahu bantu merubah nasib golongan memerlukan

Calon ijazah PhD kejuruteraan marin juga anggota akar umbi, ketuai rangkaian belia Palang Merah di Asia Pasifik
Apr 29, 2018 | 05:30 AM



ALANG-ALANG menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.



Demikianlah prinsip Encik Mohammad Zaidi Ariffin dalam memburu 'batil emas di kaki pelangi'.



Di bangku sekolah, beliau cemerlang dalam bidang akademik dan berjaya melangkahkan kaki ke sekolah terunggul Singapura, Raffles Institution (RI) sebelum melanjutkan pengajian ke Maktab Rendah Raffles dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU).



Satu lagi kejayaan dijangka tercatat dalam rekod pencapaiannya apabila beliau menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan marin tahun depan.



Ternyata, kecemerlangan tidak terbatas pada bidang akademik semata-mata.



Dalam khidmat sukarela, beliau berjaya mendaki tangga pencapaian di pertubuhan Palang Merah Singapura, mula-mula sebagai pegawai kadet di sekolah menengah dan kini sebagai Timbalan Pengarah di cabang belia badan kemanusiaan itu.



Jawatan itu adalah antara yang tertinggi dipikul anggota sukarelawan pertubuhan itu.



Tidak mahu berpeluk tubuh dengan kejayaan yang berjela itu, Encik Mohammad Zaidi, 30 tahun, kini menetapkan impian yang lebih tinggi lagi murni.



Pemuda yang belum berumah tangga itu mahu merubah kehidupan keluarga memerlukan, dengan membantu mereka, khususnya kanakkanak, keluar daripada lingkaran musibah.



"Dari kecil, saya beruntung kerana hidup dalam keadaan yang senang walaupun tidak mewah. Hidup saya lancar sahaja dan tidak bermasalah kerana ibu bapa memberi sokongan yang kuat sehingga saya berjaya.



"Sekarang giliran saya pula mahu ke hadapan dan bantu golongan yang kurang bernasib baik,'' kata beliau dengan bersungguh-sungguh.



Encik Mohammad Zaidi merupakan calon program PhD NTU dan Universiti Southampton di Britain.



Program sepenuh masa selama lima tahun itu ditaja di bawah biasiswa NTU dan diikutinya selepas tamat pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa di universiti tersebut.



Biarpun sibuk dengan urusan akademik dan kerjaya, anak pasangan pegawai teknikal HDB dan suri rumah itu sempat melibatkan diri dengan kerja sukarela.



Sebagai Timbalan Pengarah di cabang belia Palang Merah, beliau memimpin pasukan belia di Singapura di samping menjadi pengerusi Rangkaian Belia Palang Merah di Asia Tenggara dan Asia Pasifik.



Anak ketiga dalam keluarga empat beradik itu juga mewakili negara dalam persidangan antarabangsa dan perhimpunan agung Palang Merah di Geneva, Switzerland dan Turkey.



Sejak September tahun lalu, beliau membantu Anggota Parlimen GRC Sembawang, Encik Amrin Amin, dalam Sesi Bertemu Penduduk (MPS) yang diadakan setiap Isnin di Woodlands.



Penglibatan itu bermula selepas Encik Mohammad Zaidi menerima undangan Encik Amrin untuk menyertai pasukan akar umbinya berikutan satu pertemuan dalam acara anjuran Palang Merah.



Beliau juga merupakan pengerusi Kelab Young Achievers di Woodlands yang antara lain bertanggungjawab menganjurkan program bimbingan kanak-kanak daripada keluarga memerlukan menerusi kegiatan seperti perkhemahan, kelas tuisyen dan program bina keyakinan diri.



"Apabila saya mula-mula libatkan diri dalam kerja akar umbi, terus terang, saya agak terkejut.



"Tak pernah saya bayangkan tentang kesusahan yang dihadapi sesetengah keluarga, tentang bagaimana contohnya isteri bersusah payah menjaga diri dan anak-anak selepas suami masuk penjara kerana dadah, bagaimana keluarga boleh porak-peranda jika gagal mengurus wang dengan baik.



"Walaupun rata-rata kita hidup senang di sini, ada sebilangan kecil yang perlukan bantuan. Pengalaman ini benar-benar membuka mata saya,'' ujar beliau.



Mengenai rancangan jangka panjangnya, Encik Mohammad Zaidi berharap dapat menceburi kerjaya dalam bidang penyelidikan atau industri di samping meneruskan kerja kemasyarakatan.



"Dalam penglibatan masyarakat, saya berharap dapat meneruskan kerja akar umbi dan melangkah terus dalam Palang Merah sebagai seorang anggota lembaga agar saya dapat melakar perubahan dasar-dasar yang boleh mendatangkan perubahan dan perbezaan dalam usaha membantu golongan yang memerlukan,'' kata beliau.




"Apabila saya mula-mula libatkan diri dalam kerja akar umbi, terus terang, saya agak terkejut. Tak pernah saya bayangkan tentang kesusahan yang dihadapi sesetengah keluarga, tentang bagaimana contohnya isteri bersusah payah menjaga diri dan anak-anak selepas suami masuk penjara kerana dadah, bagaimana keluarga boleh porak-peranda jika gagal mengurus wang dengan baik. Walaupun rata-rata kita hidup senang di sini, ada sebilangan kecil yang perlukan bantuan. Pengalaman ini benar-benar membuka mata saya.''
- Encik Mohammad Zaidi Ariffin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >