Subuh
5:52
Syuruk
7:09
Zuhur
1:13
Asar
4:13
Maghrib
7:15
Isyak
8:24

'Suka-suka' sertai 4PM, akhirnya jadi presiden

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

'Suka-suka' sertai 4PM, akhirnya jadi presiden

Nassar anggap peranan sebagai amanah, tanggungjawab bantu golongan memerlukan
Aug 09, 2021 | 05:30 AM

LEBIH 20 tahun lalu, Encik Nassar Mohamad Zain diperkenal kepada Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) melalui pertandingan bahas anjuran badan itu.

Beliau pelajar Maktab Rendah Temasek ketika itu dan menyertai Bahas 4PM atas dorongan seorang rakan sekolahnya.

Tanpa disangka daripada peserta Bahas 4PM pada 2000, Encik Nassar sekarang menjadi pemimpin badan itu, selepas dilantik sebagai presidennya pada 24 Julai lalu.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Encik Izzuddin Taherally, yang memimpin 4PM selama 31 tahun sebelum berundur diri.

Ditemui Berita Harian di pejabat 4PM di Bedok Reservoir, Encik Nassar, 38 tahun, berkongsi rancangannya bagi pertubuhan itu, yang termasuk mengukuhkan pembangunan kepimpinan dalam kalangan pemimpin muda di sana.

Bahkan, itu antara keutamaan pertama beliau.

"Jawatankuasa pengurusan kami terdiri daripada individu sangat muda, berdedikasi dan sangat bermotivasi.

"Salah satu keutamaan pertama saya ialah membimbing mereka yang lebih muda.

"Oleh itu, saya sedang merancang program pembangunan kepimpinan yang akan membincangkan aspirasi kepimpinan," ujar Encik Nassar.

Dua pertiga anggota jawatankuasa pengurusan baru 4PM terdiri daripada belia, dengan usia purata mereka 32 tahun.

Encik Nassar menambah bahawa di peringkat antara pertubuhan, beliau mahu mengukuhkan lagi kedudukan 4PM dengan menjalin hubungan yang lebih banyak dan mendalam dengan pertubuhan lain.

Ini mahu dilakukan bukan dengan badan Melayu/Islam sahaja, malah agensi lain di peringkat nasional.

"Kami mahu meletakkan belia Melayu/Islam kami di peringkat nasional.

"Jika terdapat program-program di peringkat nasional, 4PM juga mahu memainkan peranan di dalamnya," ujar beliau.

Beliau menjelaskan antara lain, 4PM akan terus menghantar wakil menyertai Program Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP), yang dianjurkan dengan bantuan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) Singapura.

CABARAN DAN HIKMAH COVID-19

Mengambil alih kepimpinan sebuah pertubuhan semasa pandemik Covid-19 bukanlah suatu yang mudah, dan Encik Nassar cukup sedar akan cabaran yang dihadapinya.

"Cabaran paling penting buat masa ini ialah kemampanan kewangan kami kerana pra-Covid-19, sekurang-kurangnya kami dapat anjurkan acara seperti Hari Bendera, lakukan kutipan di masjid, adakan acara amal dan sebagainya.

"Tetapi program-program ini tidak dapat kami lakukan sekarang. Jadi, kami harus fikirkan cara kreatif mendekati para penderma.

"Kemampanan kewangan penting agar program-program 4PM tidak terjejas dan dapat diteruskan," katanya.

Pun begitu, Encik Nassar akur terdapat kebaikan di sebalik pandemik ini.

"Hikmahnya ialah Covid-19 telah mempercepatkan usaha pendigitalan kami," katanya, sambil menambah bahawa Bahas 4PM sudah pun berlangsung secara maya.

SEMANGAT BERKHIDMAT

Mula menyumbang secara aktif kepada usaha 4PM pada 2008 sebagai sukarelawan, Encik Nassar berkata beliau "terpanggil untuk membantu masyarakat kita sendiri".

"Sebenarnya, kali pertama saya sertai 4PM sebagai sukarelawan, ia lebih suka-suka, main-main sahaja, tapi daripada main-main ia menjadi satu amanah, satu tanggungjawab," ujarnya.

Mengenang kata-kata Encik Izzuddin, Encik Nassar berkata: "Beliau selalu pesan bahawa kita melakukan kerja sukarela bukan jika kita ada masa, tetapi kita cari masa untuk melakukan kerja sukarela.

"Ini terpahat dalam ingatan saya dan ia seolah-olah menjadi satu tanggungjawab bagi saya membantu masyarakat kita yang memerlukan."


ASPIRASI PRESIDEN BARU 4PM NASSAR MOHAMAD ZAIN

MAHU JADIKAN BELIA PEMIMPIN

"Salah satu keutamaan pertama saya ialah membimbing mereka yang lebih muda.

Oleh itu, saya sedang merancang program pembangunan kepimpinan yang akan membincangkan aspirasi kepimpinan... Kami mahu meletak belia Melayu/Islam kami di peringkat nasional.

Jika terdapat program-program di peringkat nasional, 4PM juga mahu memainkan peranan di dalamnya."

AMANAH, BUKAN MAIN-MAIN

"Sebenarnya, kali pertama saya sertai 4PM sebagai sukarelawan, ia lebih suka-suka, main-main sahaja, tapi daripada main-main ia menjadi satu amanah, satu tanggungjawab... Beliau (mantan presiden Izzuddin Taherally) selalu pesan bahawa kita melakukan kerja sukarela bukan jika kita ada masa, tetapi kita cari masa untuk melakukan kerja sukarela. Ini terpahat dalam ingatan saya dan ia seolah-olah menjadi satu tanggungjawab bagi saya membantu masyarakat kita yang memerlukan."


BIODATA

Nama: Nassar Mohamad Zain

Umur: 38 tahun

Kelulusan: Sarjana Seni Bina (M. Arch) dari Universiti Nasional Singapura (NUS)

Pekerjaan: Pengurus projek, Far East Organization

Pengalaman bersama 4PM:

- Bermula sebagai pembahas ketika belajar di Maktab Rendah Temasek pada 2000.

- Menjadi sukarelawan dan anggota jawatankuasa bagi acara Ramadan On Wheels (ROW), Remaja Resilient R2, Akademi Bahas 4PM

- Turut main peranan dalam pertubuhan pusat penjagaan kanak-kanak 4PM - Playscapes@4PM

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3