Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIASATAN MUIS TERHADAP PROSES BADAN PENSIJILAN HALAL ASING (FHCB)

Masagos: Siasatan dijalankan secara telus, menyeluruh

Dec 16, 2020 | 05:30 AM



MENTERI Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata siasatan terhadap dakwaan mengenai pengiktirafan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) terhadap Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB) telah dijalankan secara telus dan menyeluruh.



Walaupun dapatan itu tidak terdapat salah laku dalam proses pengiktirafan FHCB, beliau berkata langkah perlu diambil bagi memastikan proses Muis dalam mengiktiraf FHCB kekal relevan, kukuh dan berkesan.



Berikutan dakwaan terhadap Muis mengenai FHCB, siasatan dalaman serta siasatan oleh Panel Semakan Bebas (IRP) yang menyeluruh telah dijalankan.



"Dapatan daripada siasatan tersebut juga telah disemak oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY). Saya yakin bahawa keseluruhan proses ini dijalankan secara telus dan menyeluruh,'' kata Encik Masagos, dalam posnya di Facebook semalam.



Beberapa dakwaan dibuat terhadap Muis dari April hingga Mei tahun ini berhubung FHCB yang dibuat oleh laman berpangkalan di Hong Kong, Asia Sentinel.



Muis membentuk pasukan siasatan dalaman (IVT) yang diketuai Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Dr AlBakri Ahmad, bagi mengumpulkan bukti dan menilai kesahihan dakwaan tersebut.



Sebanyak 49 penyerahan maklumat diterima daripada FHCB dan orang awam setelah Muis mengundang orang ramai memberikan maklumat dan bukti bagi membantu siasatan.



Dapatan dan saranan IVT disemak lebih lanjut oleh panel semakan bebas (IRP) yang dipengerusikan Encik Abdul Hamid Abdullah, Anggota Majlis Muis dan pengarah audit yang telah bersara daripada Pejabat Ketua Audit Negara.



IRP juga menemu ramah 16 individu yang berkaitan dengan tuduhan tersebut bagi mendapatkan bukti dan keterangan lisan untuk siasatan itu.



Dapatan IRP kemudian diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), yang telah pun selesai menyemak dapatan siasatan tersebut.



"Siasatan menunjukkan bahawa proses pengiktirafan FHCB dilakukan dengan betul tanpa salah laku.



"Proses membatalkan pengiktirafan FHCB juga dilakukan oleh pegawai Muis secara adil dan saksama. Misalnya, antara sebab pembatalan pengiktirafan FCHB ialah kerana mereka didapati mengeluarkan produk babi,'' kata Encik Masagos.



Namun begitu, beliau berkata Muis harus terus mengambil langkah demi memastikan proses Muis dalam mengiktiraf FHCB kekal relevan, kukuh dan berkesan.



"Saya mengalu-alukan langkah Muis untuk menjalankan semakan bagi mempertingkat proses pengiktirafan FHCB. Ini jelas mencerminkan komitmen Muis dalam memenuhi keperluan sosio-agama masyarakat Islam Singapura,'' kata Encik Masagos.



Muis menyatakan semalam ia akan melaksanakan semakan menyeluruh untuk memperkukuh rangka pengiktirafan FHCB.



Ia meletakkan sasaran untuk melaksanakan perubahan terbit daripada semakan ini pada akhir 2021.




"Dapatan daripada siasatan tersebut juga telah disemak oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY). Saya yakin bahawa keseluruhan proses ini dijalankan secara telus dan menyeluruh.''
- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >