Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Masak kuih bakar dengan arang bangkitkan ingatan pada datuk

Jun 14, 2021 | 05:30 AM



BETAPA lazatnya kuih bakar yang dimasak dengan cara lama menggunakan arang.



Walaupun tidak pernah menyiapkannya dengan arwah datuknya, Encik Nasir Busu, pengarah filem Banting, M. Raihan Halim, 40 tahun, akan sentiasa teringatkan datuknya itu apabila berbual tentang kuih bakar.



Encik Nasir, yang tinggal bersama Raihan sewaktu beliau meniti usia kanak-kanak dan remaja, meninggal dunia dalam tempoh pandemik pada 31 Januari lalu.



Kenangan bersama Allahyarham adalah antara yang beliau sisipkan dalam filem ringkas Arang.



Filem yang disajikan sebagai antara tiga filem pendek dalam program Antologi Filem Pendek bagi Pesta Raya 2021 boleh ditonton di laman Offstage kendalian Esplanade hingga 27 Jun ini.



Ikuti wawancara bersama Raihan yang menerima beberapa anugerah Pesta Perdana sepanjang kerjayanya sebagai pengarah drama televisyen.



Soalan (S): Bagaimana tercetus idea bagi 'Arang'?



Raihan: Apabila saya diminta penerbit Pesta Raya Esplanade, Cik Hanie Nadia Hamzah, menghasilkan filem tentang budaya Melayu, saya teringatkan arwah datuk yang sangat rapat dengan saya.



Setiap kali saya buat projek filem atau televisyen, akan ada ketika saya akan terkenangkan apa yang beliau kongsi dengan saya.



Arang adalah kisah hubungan cucu lelaki dengan datuknya.



Saya masih ingat datuk saya yang merupakan orang Melaka. Kata datuk, Melaka menghasilkan kuih bakar paling lazat dengan cara masak menggunakan arang.



Lantaran itu, filem ini adalah tanda sanjungan saya buat datuk. Saya masukkan unsur-unsur cereka dalam filem ini dicampur dengan cebisan memori saya tentang apa yang dikongsi datuk.



S: Apakah nilai-nilai yang ingin Raihan terapkan dalam 'Arang'?



Raihan: Kenangan itu penting, lebih-lebih lagi kalau kita berbual tentang tradisi dan kesannya pada masyarakat.



Ada banyak kepercayaan orang dahulu yang kekal dan bermakna sebagai hasil warisan Melayu kini.



Pada masa yang sama, saya ingin abadikan kisah pertalian dua generasi. Dua tahun lalu, anak saudara saya lahir. Setiap kali ke hospital menjenguk datuk, saya suka jika anak saudara saya juga ada di sisi.



Ia lambang hubungan silang generasi yang wajar diperkukuh dan dipertahankan.



Arang mengimbas kenangan lalu, tetapi ia juga membawa kita memikirkan masa depan.



S: Anda bekerjasama sekali lagi dengan Norman Ishak yang menjadi pelakon utama dalam filem ringkas ini. Bagaimana pengalamannya?



Raihan: Kami memang rapat dan selalu menganggap apa jua projek nyala rasa yang dihasilkan, tak lengkap kalau salah seorang daripada kami tiada.



Norman bersetuju jayakan filem ini. Kami memang seronok sepanjang penggambaran yang dibuat selepas Hari Raya, di ambang Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) bakal dimulakan. Sempat beraya penuh waspada di set.



Biasanya projek televisyen dengan Norman tekankan dialog. Tapi kali ini, Arang lebih visual.



S: Apakah antara pengalaman manis menjalani penggambaran 'Arang' di Kampung Buangkok?



Raihan: Kami belajar proses siapkan kuih bakar dengan menggunakan arang. Semua orang 'jakun'. Selalu makan sahaja pandai, nak buat kuih bakar tak tahu.



Memang ada konsultan membantu kami dalam menyiapkan kuih bakar, tetapi beliau pun tak pernah cuba teknik arang.



Kecohlah... kali pertama cuba, tak jadi... kali kedua pun... sampailah percubaan ketiga, kami berjaya!



Saya rasa sesiapa sahaja yang boleh bikin kuih bakar harus cuba teknik gunakan arang kalau boleh. Ada yang nampak cantik, ada yang macam hangus. Tapi tekstur campuran cantik dan hangus ni sebenarnya sedap.



S: Apakah yang anda kenang tentang arwah datuk selain kuih bakar?



Raihan: Beliau suka berbual panjang dan bercerita macam saya. Bezanya, saya alihkan cerita saya dalam filem.



Datuk meninggal pada usia 94 tahun. Beliau sakit tua. Selepas terjatuh, beliau dalam kesakitan bagi tempoh yang lama. Moga datuk saya rehat di sana dengan kesakitannya terlerai.



S: Apakah yang Raihan lakukan dalam tempoh pandemik?



Raihan: Saya masih teruskan kebiasaan menulis skrip selepas bangun seawal 5.30 pagi untuk membereskannya selepas Subuh. Minda sangat segar pada awal pagi.



Akhir kata, saya hanya ingin berpesan kepada pembikin filem muda agar tidak mudah berputus asa dalam tempoh sukar dan terus bikin filem dengan identiti sendiri.



Jangan buat filem untuk ikut macam Raihan Halim, Faisal Ishak atau Sanif Olek yang dipaparkan dalam Pesta Raya. Berbangga dengan filem anda sendiri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >