Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

IKON RAMADAN

Masjid Khalid ibarat 'rumah pertama' Allaudin

Kebiasaan pengerusi Masjid Khalid hidupkan malam-malam Ramadan dengan berbuka, solat tarawih di masjid; hanya tahun lalu berbuka di rumah disebabkan pemutus rantaian jangkitan
Apr 18, 2021 | 05:30 AM



APABILA masjid di serata Singapura tutup dek Covid-19 tahun lalu, ia menandakan kali pertama Encik Allaudin Mohamed berbuka puasa dengan keluarganya.



Memang sudah menjadi kebiasaan Encik Allaudin pada bulan Ramadan sebelum ini untuk menghidupkan malam-malam bulan suci itu dengan berbuka dan solat tarawih di Masjid Khalid.



"Dari hari perkahwinan saya hinggalah tahun lalu, saya buka puasa di masjid. Tahun lalu, apabila Covid melanda, barulah saya berbuka puasa di rumah dengan keluarga," ujar Encik Allaudin, 68 tahun, yang juga pengerusi Masjid Khalid.



Apakan tidak, beliau, yang kini mempunyai lima anak dan tujuh cucu, telah 'membesar' di masjid tersebut, dan kini merupakan antara orang kuat masjid tersebut.



Beliau telah menyumbang tenaga sebagai sukarelawan Masjid Khalid sejak zaman remajanya sebagai seorang pelajar di Sekolah Menengah St Andrew's, dan berkhidmat sebagai pengerusi sejak sekitar 20 tahun lalu.



Malah, masjid di Joo Chiat itu dianggap sebagai 'rumah pertamanya', meskipun masjid tersebut tidak jauh dari rumahnya di Haig Road.



Masjid tersebut, yang usianya mencecah 100 tahun pada 2017, kali pertama dibina pada 1917 di atas tanah yang diwakafkan oleh Allahyarham Haji Abdul Khalid bin Haji Mohamed Tyeb, seorang peniaga dan dermawan.



Menerusi khidmatnya sejak berdekad lalu, Encik Allaudin, telah melihat perkembangan masjid itu menjadi satu pusat penting bagi masyarakat Islam di kawasan tersebut.



"Masjid Khalid telah berkembang dengan kukuh selama ini.



"Ini bukan kerja saya seorang diri tetapi ini kerja pasukan. Tanpa sukarelawan dan semangat gotong-royong, banyak kegiatan masjid tidak dapat dijalankan," kata Encik Allaudin, seorang peniaga.



Selama ini, beliau juga telah membantu untuk menghidupkan tradisi menyiapkan nasi beriani Masjid Khalid yang dikenali ramai.



Beliau belajar masak nasi beriani di masjid itu sendiri, dan telah 'menurunkan' kemahiran itu kepada orang-orang lain di masjid itu.



Tradisi tersebut dimulakan oleh imam pertama masjid itu, Syeikh Osman Bin Syaikh Omar AlGanus, yang dikenali sebagai Abah Osman Ganos, seorang Arab dari Palembang.



Hidangan nasi beriani Masjid Khalid itu dihidangkan semasa acara amal seperti Cabaran Presiden dan pada acara-acara khas.



Sepanjang lebih tiga dekad lalu, beriani Nasi Khalid telah membantu mengumpul lebih $7 juta bagi pelbagai tujuan amal.



Sejak beberapa tahun lalu, masjid itu juga giat dalam usaha memupuk keharmonian antara kaum dan bekerjasama rapat dengan badan seperti Gereja Heart of God, Kuil Geylang dan Persekutuan Buddha.



"Sebagai masyarakat minoriti, kita tidak boleh kekal dalam kepompong kita sendiri. Kita mesti dakap masyarakat lebih luas.



"Kita perlu cari kawan dan bina jambatan, tunjukkan bahawa Islam, menerima semua orang, dan kita boleh berjalan seiring dengan orang lain secara adil dan saksama," ujar Encik Allaudin.



Bagi memastikan Masjid Khalid kekal relevan kepada masyarakat, Encik Allaudin berkata tenaga belia memainkan peranan penting demi masa depan.



"Kami cuba memupuk sukarelawan belia sebagai tunggak masjid, dan harap-harap mereka dapat ambil alih satu hari nanti.



"Sudah tentunya setiap generasi akan mempunyai cara dan gaya mereka tersendiri, tetapi jika kita boleh kongsi sedikit pengalaman kita, harap-harap ini akan membantu mereka pada masa depan," kata Encik Allaudin.



Menyentuh tentang cabaran dalam khidmat sebagai orang masjid, Encik Allaudin berkata sedang pihak masjid cuba sedaya upaya, bukan mudah untuk cuba menggembirakan semua pihak.



Antara cabaran yang dihadapi Ramadan ini contohnya ialah keterbatasan ruang bagi mendirikan solat tarawih, sedang kegiatan masjid di Singapura dibenarkan untuk disambung semula secara terhad sebagai langkah berjaga-jaga terhadap Covid-19.



Masjid Khalid pula hanya boleh menampung 100 jemaah di tapak sementaranya di Onan Road sedang kerja peningkatan dijalankan di tapak asal.



"Untuk menjadi sukarelawan, anda memerlukan minda yang terbuka dan perlu berlapang dada.



"Anda perlu terima semua dan memberikan yang terbaik," ujarnya.




"Kami cuba memupuk sukarelawan belia sebagai tunggak masjid, dan harap-harap mereka dapat ambil alih satu hari nanti. Sudah tentunya setiap generasi akan mempunyai cara dan gaya mereka tersendiri, tetapi jika kita boleh kongsi sedikit pengalaman kita, harap-harap ini akan membantu mereka pada masa depan."
- Encik Allaudin Mohamed, pengerusi Masjid Khalid.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >