Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

'Mat' kurator jadi jambatan bakat seni SG

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

'Mat' kurator jadi jambatan bakat seni SG

Jan 30, 2021 | 05:30 AM

JIWA Melayu kurator bebas, pendidik dan penggiat seni visual, Encik Zulkhairi Zulkiflee, begitu menebal dan dapat dilihat dalam kebanyakan kerja seninya.

Dua tahun lalu, beliau pernah bergelar kurator pada pameran seni bertajuk Mat yang diadakan di balai seni sebuah pusat fotografi dan filem, Chapel Gallery, Objectifs.

Pameran ini menyelongkar tanggapan biasa orang ramai terhadap identiti seseorang berbangsa Melayu dengan kupasan tentang politik budaya, perbezaan lapisan masyarakat dan hubungan antara lelaki dengan wanita.

Tahun ini, dalam tempoh pandemik Covid-19 masih belum reda, Encik Zulkhairi, 28 tahun, diamanahkan tugas sebagai kurator pameran The Orchid; The Wasp di Gillman Barracks, 47 Malan Road, #01-22 pula.

Pameran sempena Minggu Seni Singapura ini berlangsung dari 22 Januari lalu hingga hari ini dibuka percuma dari 12 tengah hari hingga 7 malam.

Ia merupakan pameran seni visual dengan isu perbezaan, kepelbagaian dan perubahan menjadi teras kerja seni yang dipamerkan.

Naratif menjadi sesuatu disejajarkan dengan pelbagai potensi mencetus kepelbagaian tanpa batas sebagaimana yang diusulkan ahli falsafah Perancis, Gilles Deleuze dan Felix Guattari.

Ikuti wawancara Encik Zulkhairi.

Soalan (S): Apakah perasaan anda sebagai kurator pameran ini?

Encik Zulkhairi (Z): Ia adalah satu perjalanan menarik dan panjang yang memerlukan saya berkomunikasi dengan seniman dan penganjur bersama, Cik Racy Lim.

Saya harus berterima kasih kepada pelukis yang terlibat seperti Encik Anthony Chin, Encik Ivan David Ng, Cik Liyana Ali, Encik Leroy Sofyan, Cik Liana Yang dan Thesupersystem.

S: Apakah antara cabaran yang dihadapi?

Z: Membentangkan visi menghasilkan pameran ini merupakan antara cabarannya. Saya perlu fikirkan cara meletakkan sesebuah kerja seni dalam sesebuah ruang dengan memastikan keberkasanan saya dari segi pengendalian pameran ini terjamin.

S: Apakah yang anda cuba paparkan dalam pameran ini?

Z: Saya ingin mengetengahkan bagaimana seniman setempat dapat menjadikan diri satu sama lain sebagai pencetus inspirasi dan dialog.

S: Apakah faktor yang diambil kira dalam menganjurkan pameran ini?

Z: Kami harus pastikan walau apa pun perbezaan pendapat yang kami hadapi atau miliki, kami dapat mencapai kata putus bagi menjayakan pameran ini. Terbukti, kami menjalin hubungan atas nama seni yang menggalakkan.

S: Apakah yang anda ingin lihat dalam Minggu Seni Singapura akan datang?

Z: Saya harap Minggu Seni Singapura akan terus menyokong penganjur pameran baru.

Sebagai contoh, sangat menarik melihat projek bebas dihasilkan bersebelahan balai seni komersial di Gillman Barracks. Kerencaman sebegini amat digalakkan.

S: Bagaimana kerja seni anda terjejas kerana pandemik? Adakah perkara baru tentang dunia seni Singapura yang anda temui sewaktu pandemik ini?

Z: Kami perlu berhubung dari jarak jauh. Namun, saya menyedari golongan penggiat seni selalu bersedia dan teruja membuat pengubahsuaian dan terus berseni!

S: Nyatakan kerja seni lain yang anda jayakan tahun ini.

Z: Secara kebetulan, pada malam pameran The Orchid; The Wasp dirasmikan, projek seni berkumpulan yang saya jayakan, The Body As A Dream, juga dibuka syarikat runding cara seni, Art Agenda S.E.A. Saya mengetengahkan tiga kerja seni saya dalam pameran ini.

Antara lain ada lukisan Mat Motor dan topi keledarnya yang menggambarkan imaginasi lelaki Melayu yang identitinya berlegar di sekitar dunia motosikal. Ia merupakan respons pada lukisan 1953 pelukis veteran, mendiang Encik Cheong Soo Pieng tentang lelaki Melayu dengan hobi memelihara unggas. 

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3