Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Melayu harus perjuang apa yang diyakini, kawal naratif sendiri

Siri Cendekiawan Lestari (CLS) anjuran Yayasan Warisan Melayu (MHF) telah melengkapkan kuliah keempatnya minggu lalu. Dalam bahagian pertama di ruangan Bahasa & Budaya minggu lepas, BERITA HARIAN mengimbas semula kuliah yang disampaikan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, sebagai pembuka tirai siri tersebut. Ikuti bahagian kedua dan terakhirnya di bawah.
Aug 02, 2021 | 05:30 AM



SATU lagi hujahan popular yang digunakan bagi menjelaskan kurangnya pencapaian masyarakat Melayu ialah yang dipanggil teori 'defisit budaya'.



Secara ringkas, definisi ini mengatakan budaya kita ketinggalan zaman lantas kita juga ketinggalan zaman. Terdapat dua subteks tersembunyi di sini yang menimbulkan masalah.



Pertama, budaya anda tidak boleh diubah. Ia tidak berubah lantas anda harus menerimanya. Demi mengorak perubahan anda harus mengamalkan ciri-ciri budaya orang lain.



Justeru, orang Melayu harus menjadi seperti mereka yang berjaya. Orang Islam harus mengubah amalan agama mereka atau pandangan mereka agar dapat membangun secara ekonomi.



TEORI DEFISIT BUDAYA



Banyak telah ditulis mengenai subjek ini, tetapi izinkan saya berkongsi beberapa butiran daripada Dr Ha-Joon Chang dari Universiti Cambridge, menerusi bukunya Bad Samaritans: The Myth of Free Trade and the Secret History of Capitalism.



Yang menarik di sini ialah Bab 9, yang bertajuk (sesuai benar dengan perbincangan kita) 'Lazy Japanese and Thieving Germans - Are Some Cultures Incapable of Economic Development" (Jepun Pemalas dan Jerman Pencuri - Apakah Ada Budaya Tidak Berkeupaya bagi Pembangunan Ekonomi), di mana beliau menolak tanggapan awal tentang dua masyarakat itu, yang sangat diketahui sekarang kerana kerajinan dan keupayaan membangun negara berjaya secara ekonomi).



Selepas penjelasan panjang mengenai teori defisit budaya ini, beliau merumuskan: "Tetapi apa yang ingin ditekankan ialah sikap manusia tidak ditentukan oleh budaya. Tambahan pula, budaya berubah: lantas itu, salah melayan budaya sebagai masa depan, sebagaimana ramai budayawan tidak akan lakukan".



Dan sehubungan dengan orang Jepun dan Jerman, beliau merumuskan: "Dalam perkataan lain, banyak unsur 'negatif' sikap orang Jepun dan Jerman pada masa lalu kebanyakannya adalah hasil keadaan ekonomi yang biasanya berlaku pada semua negara kurang membangun secara ekonomi, berbanding budaya tertentu mereka.



"Kerana itu orang Jerman dan orang Jepun pada masa lalu secara budaya lebih serupa dengan penduduk negara membangun hari ini berbanding orang Jerman dan Jepun hari ini".



Justeru jelas terdapat penjelasan rasional bagi sikap manusia dan tidak mustahil bagi sebarang masyarakat untuk berubah. Kehidupan ini terlalu kompleks dan apabila kita mengecilkan kesulitan ini, kita kehilangan pelbagai nuansa dan wawasan yang boleh membantu menjelaskan tentang keadaan isu masyarakat.



Seseorang pernah menjelaskan kepada saya bahawa rumah orang Cina lebih banyak diterangi lampu berbanding rumah Melayu kerana masyarakat Cina lebih sukakan pembelajaran. Kata-kata begitu menggambarkan sikap meninggi diri dan kejahilan yang berakar umbi dalam sesebuah masyarakat.



Mungkin sebilangan anggota masyarakat kurang berkemampuan membeli peralatan lampu yang lebih baik. Tetapi kecenderungan untuk mengurangkan segalanya menjadi kepada satu penjelasan sahaja menjadikan kita jauh lebih miskin dalam pemahaman kita tentang masyarakat lain.



Apabila kita meratakan semuanya, kita kehilangan warna dan nuansa yang dapat membantu kita menghargai satu sama lain dengan lebih baik.



"Membaca buku ini akan membantu orang Singapura memahami bahawa filem Barat yang kita membesar dengannya, yang menggambarkan penduduk asli Amerika sebagai orang biadab dan orang kulit putih sebagai pahlawan, adalah satu persendaan kepada kebenaran."



REBUT NARATIF, CATAT SEJARAH SENDIRI



Kita perlu merebut naratifnya dan menulis mengenai sejarah kita hingga kebenaran siapa kita dicatat untuk dibaca semua orang.



Dan di sini saya tidak mencadangkan kita hanya mengumpul angka berapa banyak yang telah lulus peperiksaan dalam jangka masa tertentu untuk menunjukkan kejayaan kita. Angka tidak menceritakan realiti kompleks manusia dan perjuangan mereka.



Ketika Profesor Syed Hussein Al-atas menulis bukunya yang terkenal, beliau mendedahkan kesan melemahkan ideologi kolonial terhadap penduduk asli.



Buku Profesor Madya Teo You Yenn mengenai ketidaksamaan menunjukkan jurang dalam pelaksanaan, walaupun dasar-dasar itu begitu bermurah hati dalam mahu membantu mereka yang berada di bawah.



Kita memerlukan kisah dan cerita yang ditulis, disuarakan dan dihasilkan oleh kita, mengenai perjuangan dan aspirasi kita, mengenai sejarah dan budaya kita, agar gambaran lebih mendalam dan bernuansa dapat dibentuk.



Selain memiliki catatan sejarah kita sendiri, ada juga keperluan bagi intelektual awam daripada kalangan kita untuk menangani isu stereotaip dan prasangka yang terus muncul.



PERANAN GOLONGAN INTELEKTUAL



Golongan intelektual memainkan peranan penting untuk memberi suara meyakinkan kepada masyarakat.



Ini bukan untuk menunjukkan bahawa hanya intelektual berperanan dalam hal ini. Pada 100 tahun lalu, orang Barat yang berkuasa memandang rendah orang Timur.



Hari ini ceritanya amat berbeza. Dengan gabungan dasar, pemimpin dan tindakan sivik betul, masyarakat boleh dan telah berubah. Saya dapat memahami perasaan jijik dan tidak percaya kita tatkala mendengar beberapa orang masih mempunyai salah anggap dan prasangka buruk berkaitan masyarakat kita.



Kita semua memiliki kewajipan memperbetul kesalahfahaman tersebut dengan sebaik mungkin, dan terus memperkuat kepercayaan kita terhadap siapa diri kita, tanpa mengira kesalahfahaman itu.



Sebilangan mungkin berpendapat menangani stereotaip dan prasangka bukanlah satu keutamaan, kerana kita tidak menderita daripada penganiayaan dan layanan buruk yang dirasakan masyarakat lain. Tetapi kita merasakan keperitan apabila menghadapi prasangka, walaupun luka mungkin tidak kelihatan. Kesannya merosakkan dan bahaya.



Saya juga ingin menekankan bahawa usaha membebaskan diri daripada stereotaip mesti merangkumi diri kita sendiri. Pada tahap paling asas, kita mesti menahan dorongan untuk mengkategorikan diri kita sendiri.



Setiap kita mempunyai pelbagai identiti. Saya seorang Melayu, beragama Islam, ahli Nusantara, yang boleh bercakap dengan selesa dalam bahasa Inggeris dan Melayu, mudah bergaul dengan gek IT dan ulat buku, percaya pada hak orang memilih kepercayaan mereka, toleransi terhadap kepelbagaian dan perbezaan, menikmati pelbagai jenis makanan dan suka melakukan teka-teki.



Dalam beberapa isu, saya berdiri bersama dengan penganut agama saya, sementara dalam isu lain saya berdiri bersama mereka yang menyokong pengembangan budaya Melayu. Kita mesti memperjuangkan apa yang kita yakini dan mengawal naratif itu.



KITA TIDAK MILIKI IDENTITI DOMINAN



Sebenarnya, seperti yang dikatakan beberapa sarjana, apabila kita menerima pendekatan pelbagai identiti dalam menggambarkan diri kita, persimpangan pelbagai identiti kita bermaksud kita semua minoriti.



Ini adalah satu pandangan yang kuat, kerana ini bermaksud tidak ada identiti yang dominan. Kita semua berkongsi sesuatu yang sama dengan hampir semua orang.



Ada ruang buat pelbagai usaha selain intelektual semata-mata. Satu lagi bidang penting yang menjadi perhatian ialah budaya popular, dan ini termasuk media sosial dan internet. K-pop menjadi satu fenomena sejagat sebahagian besarnya melalui televisyen dan kemudian Internet.



Artis, penyair, dramatis, penulis skrip, juruanimasi, pembuat filem, pemblog dan banyak lagi pekerja budaya mempunyai sumbangan penting untuk memberi suara kepada masyarakat kita dan membentuk naratif kita.



Walaupun saya tidak menafikan terdapat penceritaan tepat mengenai kisah kita, perspektif kita mengenai kisah dan sejarah kita adalah penting, kerana ia akan memberi perspektif orang dalaman dan menambah lagi pemahaman kolektif kita mengenai sejarah kita.



Dalam hal ini, saya ingin menekankan bahawa usaha positif dapat memberikan kesan besar walaupun pada bidang asas, yang tampak tidak bahaya.



Contohnya, anda mungkin memandang masakan sebagai perkara remeh, tetapi sebenarnya ia adalah topik yang membentuk inti siapa kita dan bagaimana orang lain melihat kita.



Ini dapat dilihat dalam kekecohan mengenai penamaan semula kek Melayu sebagai kek nyonya atau nasi ambeng sebagai makanan nyonya.



Apabila sebilangan orang bukan Melayu mula menjual nasi lemak kepada pelanggan kelas tinggi, ada suara melahirkan rasa tidak adil, kerana nasi lemak pernah dianggap sebagai makanan masyarakat Melayu yang tidak sihat.



Tetapi, sekarang setelah pengemasan semula dan harga menarik, produk ini dianggap produk makanan yang diinginkan buat rakyat Singapura.



Bagaimana kita tidak dapat merasakan bahawa identiti kita terancam ketika peraturan itu diterapkan secara berbeza bagi kumpulan orang yang berlainan?



Penulis Perancis-Lebanon Amin Maalouf dalam 'In the Name of Identity: Violence and the Need to Belong' berbicara panjang lebar mengenai cara warisan yang menggambarkan identiti kita bersifat cair dan jamak. Beliau menukil sejarawan Marc Bloch: "Lelaki adalah anak lelaki lebih pada zaman mereka daripada bapa mereka."



Maalouf berpendapat kita lebih dekat dengan sezaman kita daripada nenek moyang kita dan harus merayakan dua warisan, satu dari masa lalu kita dan satu lagi dari keadaan semasa kita, walaupun dalam pelbagai peringkat.



Dengan berbuat demikian, beliau berpendapat kita mesti dapat mengenali diri kita secara positif dalam apa yang kita lihat di sekeliling kita. Pandangan balas mengenai perkara ini adalah usaha untuk terus membezakan masyarakat berdasarkan beberapa kesetiaan.



Analisis oleh Amin Maalouf ini berguna kerana pengalaman kita sebagai sebuah masyarakat semakin mencerminkan masyarakat lebih luas.



Setelah hampir 60 tahun pembangunan negara, dengan penyertaan penuh daripada semua masyarakat, terdapat pertumpuan lebih besar dari segi pengalaman, terutama dalam kalangan anak muda kita. Ramai antara anak muda kita dengan bangga melakukan peranan mereka sebagai rakyat Singapura sambil mengekalkan banyak ciri identiti kita sebagai orang Melayu.



GOLONGAN MUDA YAKIN AKAN TEMPAT MEREKA DI SINGAPURA



Pengalaman anak muda kita amat berbeza daripada pengalaman generasi sebelumnya. Kemudahan mereka berinteraksi dan menyertai secara aktif kehidupan nasional menunjukkan satu generasi yang lebih yakin akan tempat mereka di Singapura. Ini adalah baik.



Namun penting juga bagi generasi ini tidak melupakan cabaran generasi sebelumnya dan memelihara semampu mungkin kekuatan kita, seperti nilai budaya dan agama kita, penghayatan hubungan kekeluargaan, hormat terhadap orang tua dan tradisi kita.



Dan, penting juga bagi generasi muda menuntut identiti kita berdasarkan pengalaman mereka sendiri dan rasa percaya diri mereka sebagai orang Singapura berketurunan Melayu.



Cabaran saya kepada generasi muda ialah jangan membebani diri dengan sejarah, tetapi jangan juga mengabaikan pelajaran yang telah kita pelajari sebagai sebuah masyarakat, dan gunakan pelajaran itu dalam membentuk semula naratif secara berterusan. Kita telah dapat mengatasi takrifan perduaan (binary) mengenai siapa diri kita.



Dan, kita tidak boleh menerimanya walaupun dari kalangan masyarakat. Kepelbagaian pengalaman anda dan kumpulan pengalaman yang diperoleh daripada perjuangan masa lalu adalah gabungan kuat yang dapat memperkaya lagi identiti kita.



Contoh-contoh yang saya kongsikan berperanan mengingatkan diri kita dan generasi muda bahawa perjuangan untuk menentukan siapa diri kita tidak akan pernah berakhir.



Contoh ini juga menunjukkan kita harus terus menerus mengusahakannya, belajar daripada pengalaman masa lalu dan memeta jalan maju dengan pengalaman baru selain suara baru dan pelbagai daripada masyarakat.



Oleh itu, perlunya usaha berterusan daripada perbincangan dan tulisan intelektual, hingga analisis sejarah masyarakat kita dan penyebaran imej positif masyarakat kita melalui budaya popular. Bersama dengan ini, mesti ada analisis berterusan dan jujur mengenai sifat dalam masyarakat kita yang mesti berubah.



Walaupun kita mesti mempunyai rasa bangga mengenai siapa kita, kita juga harus mempunyai rasa tanggungjawab untuk mengubah perkara salah. Terdapat banyak bukti mencukupi dalam perkara yang berlaku baru-baru ini untuk menunjukkan bahawa kita mampu berubah menjadi satu masyarakat yang lebih berdaya tahan, penyayang dan bertahan lama.



Apa yang saya kemukakan pastinya bukan menyeluruh. Keupayaan kita untuk menolak naratif yang memberi tanggapan negatif terhadap kita memerlukan analisis yang lebih mendalam mengenai pelbagai pelaku yang terlibat dalam menyebarkan naratif tersebut.



SOKONG USAHA SATUKAN KITA SEBAGAI SEBUAH NEGARA



Di sesetengah negara, suku kaum berlainan yang pernah hidup dengan aman menjadi musuh kerana pelaku politik yang berusaha memperoleh keuntungan daripada konflik itu. Kita berada dalam situasi berbeza di mana terdapat komitmen daripada semua pihak untuk memastikan kita hidup bersama secara harmoni.



Kita mesti memuji dan menyokong pelbagai usaha pemerintah, kumpulan agama dan masyarakat serta pertubuhan masyarakat sivil untuk memperkukuh hubungan yang mengikat kita sebagai satu negara. Tetapi tanggapan negatif atau bahaya antara satu sama lain masih berlanjutan dan kadangkala menjadi sifat lumrah.



Apabila masyarakat dilihat seakan tidak berkebolehan seperti yang lain, rasa sakit itu mendalam. Apabila kita melihat salah seorang daripada kita diketepikan atau tidak diberi akses sama seperti orang lain, kita dapat merasakan rasa didiskriminasi.



Sebilangan kejadian berlaku kerana kesalahan yang tidak disengajakan, sementara kejadian lain dilakukan oleh kepercayaan tinggi diri.



Cabarannya ialah bagi kita semua bersatu dan saling menghormati dan menghargai satu sama lain, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama. Ini adalah perkara terpuji yang harus dilakukan.



  • Profesor Yaacob Ibrahim kini Penasihat kepada Presiden Institusi Teknologi Singapura (SIT) dan Pengarah bagi Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial SIT.

Untuk bahagian pertama kuliah beliau, sila imbas kod QR di bawah.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >