Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

ULASAN BUKU

Membentuk kanak-kanak 'Bukan Generasi Remote Control'

Apr 15, 2021 | 05:30 AM



"ADIK belajar apa di sekolah hari ini?"



"Hari ini adik main sahaja. Hari-hari adik main dengan kawan-kawan."



"Eh, tak belajar ke?"



Begitulah perbualan antara ibu bapa dan anak yang membuka bab pertama buku ini.



Ia menunjukkan betapa pemahaman konsep "belajar" dalam kalangan sesetengah ibu bapa masih lagi dibelenggu cara pemikiran yang telah lapuk.



Bagi mereka, "belajar" bermaksud duduk diam sambil membaca, menulis dan mengira. "Belajar" juga bermatlamat untuk mendapat nombor satu dalam kelas atau meraih markah yang tinggi.



Namun, bagi kanak-kanak, khususnya mereka di peringkat pendidikan awal, pengertian "belajar" merupakan sesuatu yang lebih daripada itu semua.



Ditulis oleh Hazhari Ismail, pensyarah Bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Bukan Generasi Remote Control membicarakan isu-isu berkaitan pendidikan awal.



Dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu perkembangan kanak-kanak, keibubapaan dan peranan institusi, ia bertujuan mengatasi pemaknaan stereotaip dalam pendidikan awal kanak-kanak abad ke-21.



Antaranya ialah tanggapan sebahagian besar masyarakat terhadap bidang pendidikan awal kanak-kanak sebagai satu kerjaya yang remeh, kerisauan ibu bapa terhadap jangkitan kuman jika anak bermain tanpa berkasut, kebergantungan kita kepada alatan atau gajet yang semakin menjadi-jadi, serta penerimaan masyarakat yang keterlaluan dalam penggunaan kad imbasan dan buku latihan.



Selain kritikan, penulis juga memberikan nasihat.



Contohnya, pentingnya memberi sokongan kepada perasaan ingin tahu kanak-kanak, meskipun soalan mereka mencabar pengetahuan dan kesabaran kita.



Perbincangan tentang isu-isu yang akan dapat membantu ibu bapa dan golongan pendidik memahami serta mengatasi masalah seperti mutisme berpilih (selective mutism) dan juga keresahan pemisahan (separation anxiety) turut disertakan.



Kekuatan buku ini terletak pada pendekatannya yang memusat kepada kanak-kanak (child-centric) di mana perasaan serta pemikiran kanak-kanak diberi keutamaan dalam kupasan isu.



Namun demikian, terdapat sedikit kekurangan yang perlu diperbaiki.



Dalam usaha penulis melawan pemikiran stereotaip, beliau terlepas pandang akan stereotaip jantina yang beliau sendiri pertahankan.



Dalam beberapa bab dinyatakan bahawa tujuan lelaki hidup di dunia adalah sebagai pemimpin.



Oleh itu, aktiviti di dalam bilik darjah perlu sesuai dengan keperluan kanak-kanak lelaki yang perlu didedahkan dengan potensi kewiraan lelaki seawal mungkin supaya mampu menjadi pemimpin yang baik apabila meningkat dewasa.



Jelaslah penulis masih dibelenggu dengan cara pemikiran yang bersifat patriakal.



Kepimpinan tidak terbatas oleh jantina seseorang. Jika diberikan peluang yang saksama serta latihan yang mencukupi, kanak-kanak lelaki dan perempuan mampu menjadi seorang pemimpin yang cekap.



Akhir kata, penerbitan buku ini tetap dialu-alukan. Ia harus dibaca serta dibicarakan dengan meluas oleh para ibu bapa serta mereka yang berkecimpung dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak termasuk golongan pendidik dan penggubal dasar, demi membangunkan generasi yang lebih baik.



  • Penulis Pustakawan NLB. 'Bukan Generasi Remote Control' boleh dipinjam menggunakan 'Nombor Panggilan: Malay 372.21 HAZ' atau dengan mengimbas Kod QR.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >