Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PERUBATAN

Meningkatkan kesedaran menerusi Hari Kanser Sedunia

Tanggal 4 Februari setiap tahun adalah Hari Kanser Sedunia. Ia sebagai memperingati tentang angka kematian akibat kanser sekaligus memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya kanser dan melakukan pencegahan.
Feb 15, 2021 | 05:30 AM



HARI kanser ini adalah usaha Kesatuan bagi Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) yang diiktiraf pertama kalinya pada 2000.



UICC, salah satu organisasi barah antarabangsa terbesar dan tertua di dunia dan Hari Kanser Sedunia, pertama kali diadakan pada 4 Februari 2000 di Sidang Kemuncak Dunia Menentang Kanser di Paris, Perancis.



Persidangan ini membincangkan penyelidikan dan pencegahan bagi meningkatkan perkhidmatan dan kesedaran mengenai kanser.



Sehingga kini, Hari Kanser Sedunia diadakan setiap tahun dan dihadiri pelbagai negara di dunia. Peringatan ini juga melibatkan pelbagai komuniti, organisasi, kerajaan, hospital dan pihak lain.



Ia kemudian menjadi gerakan positif kepada masyarakat untuk bersatu menentang penyakit pembunuh nombor satu ini.



Bagi menunjukkan sokongan penuh kepada pesakit kanser, pelbagai inisiatif dilakukan pada hari itu.



Salah satunya #NoHairSelfie pada 2016 yang menyaksikan orang ramai mencukur rambut sebagai simbol keberanian bagi pesakit kanser yang sedang dalam proses rawatan.



Setiap tahun, pelbagai kegiatan dan acara berlangsung di seluruh dunia sebagai memperingati ketabahan dan keberanian pesakit kanser.



Tema tahun ini adalah 'I m And I Will' atau 'Saya Akan dan Saya Boleh' yang masih sama digunakan dengan dua tahun sebelumnya.



Ia bermaksud 'komited untuk melakukan sesuatu tindakan'.



Ini merupakan satu motivasi bahawa setiap individu mempunyai kekuatan serta kapasiti untuk berjuang melawan kanser.



Tujuan tema ini adalah undangan untuk berkomitmen terhadap tindakan yang memberi impak pada masa akan datang.



Kempen yang diadakan selama tiga tahun ini diharap dapat memberi kesan berkekalan dengan meningkatkan pendedahan dan keterlibatan orang ramai terhadap barah.



Tema 'Saya Akan dan Saya Boleh' ini akan digunakan sempena kempen yang dirangka selama tiga tahun sehingga 2021.



Maklumat terperinci mengenai kempen ini diketengahkan menerusi laman web khusus worldcancerday.org untuk kefahaman umum.



PENYAKIT MAUT DI DUNIA



Sememangnya diketahui penyakit kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia yang menyumbang kepada 8.8 juta kematian pada 2015.



Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2018, kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia; iaitu kira-kira 1 daripada 6 kematian adalah akibat daripada penyakit ini.



Kanser adalah penyakit kedua paling membawa maut di dunia selepas penyakit jantung - terdapat catatan bahawa kira-kira 9.6 juta orang mati akibat barah setiap tahun.



Sekitar 70 peratus kematian akibat kanser berlaku di negara berpendapatan rendah hingga sederhana.



Data Riskesdas, satu penyelidikan asas di Indonesia, pada 2013 mendapati terdapat 1 kes barah bagi setiap 1,000 penduduk dan kebanyakan wanita mengalami barah buah dada dan serviks.



Namun, ada kalanya sel ini bertambah secara tidak normal menyebabkan berlakunya ketumbuhan tidak normal atau juga dikenali sebagai tumor.



Kanser terdiri daripada sel-sel barah yang sekiranya tidak dirawat boleh merebak ke bahagian tubuh badan yang lain, menyebabkan komplikasi sistemik. Komplikasi dan kehilangan fungsi pelbagai organ akan menyebabkan kematian.



Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan lain, ketumbuhan baru boleh terjadi. Keadaan barah merebak ini dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis.



Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan.



Ini seperti dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu leukimia.



BOLEH DICEGAH



Penyakit kanser tidak mengenali umur, jantina mahupun bangsa.



Sempena Hari Kanser Sedunia, seluruh masyarakat dunia diharap bersama-sama mencegah dan mengawal penyakit tersebut dengan mengamalkan gaya hidup sihat.



Menurut WHO, amalan gaya hidup sihat ini dapat mencegah sehingga 30-50 peratus kanser.



Pengesanan awal kanser juga boleh dilakukan dengan menjalani ujian saringan kanser buah dada, kolorektal, serviks dan kanser mulut di klinik-klinik kesihatan dan pergigian - selain mengenal pasti serta mendapatkan rawatan awal apabila mengalami gejala.



Menurut WHO, sekurang-kurangnya satu pertiga daripada barah sebenarnya dapat dicegah dengan memakan makanan yang sihat, menjaga berat badan normal dan bersenam.



Merokok dan meminum alkohol berlebihan adalah penyebab peningkatan risiko barah pada manusia. Oleh itu, sangat digalakkan untuk berhenti merokok dan mengurangkan alkohol.



Bersenam salah satu kaedah terbaik mencegah barah.



Terdapat sekurang-kurangnya 10 jenis barah yang dapat dicegah dengan melakukan senaman, seperti perut, buah dada, rahim dan barah pankreas dan hati.



Selain itu, orang ramai perlu melindungi kulit daripada terkena sinaran ultra ungu matahari dengan memakai losyen pelindung.



Menerima vaksinasi juga salah satu langkah mencegah barah kerana jangkitan virus boleh menyebabkan barah.



HANYA MITOS



Terdapat banyak mitos dan salah tanggapan mengenai barah, misalnya tidak ada penawar untuk barah atau tidak ada yang dapat dilakukan mengenainya.



Maklumat yang salah boleh menyebabkan ketakutan, menjadi penyebab menangguhkan pemeriksaan atau pengambilan ubat.



Akibatnya, penghidap barah menjadi lebih sukar dirawat, sebaliknya mengesahkan bahawa barah tidak dapat diubati. Salah satu tujuan Hari Kanser Sedunia adalah melenyapkan mitos ini.



RAWATAN



Rawatan kanser bergantung pada jenis barah, bahagian tubuh yang terjejas dan jika ia telah merebak.



Malah, faktor jenis rawatan juga dipengaruhi oleh usia pesakit.



Kebanyakan barah dirawat secara pembedahan, radioterapi (terapi sinar-X) atau kemoterapi.



Satu atau lebih cara mungkin digunakan dalam merawat pesakit.



APA ITU KEMOTERAPI?



Kemoterapi adalah ubat-ubat yang digunakan bagi merawat barah dengan cara membunuh sel barah.



Ubat kemoterapi ini berfungsi dengan cara menghalang sel barah daripada terbahagi dan bertambah.



Sel barah itu akhirnya akan rosak dan mati.



Memandangkan ubat tersebut disuntik ke dalam darah, ia juga boleh membunuh sel barah di bahagian tubuh lain.



Pada kebanyakan keadaan, beberapa ubat kemoterapi diberikan serentak kepada pesakit. Hanya dalam kes tertentu, sejenis ubat kemoterapi digunakan dalam rawatan.



Tujuan rawatan kemoterapi adalah menyembuhkan, mengawal penyakit barah atau mengurangkan gejala penyakit barah.



Tempoh rawatan dan kekerapan rawatan bergantung pada jenis barah dan ubat yang digunakan.



Secara am, rawatan kemoterapi diberikan dalam tempoh enam hingga 12 bulan walaupun ada kalanya ia boleh diberikan dalam tempoh lebih singkat atau lebih panjang.



Individu digalakkan berbincang dengan doktor mengenai perubahan dalam pelan rawatan. Doktor pula akan sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan tindak balas barah terhadap kemoterapi.



Bagi tujuan ini, pesakit diperlukan menjalani ujian darah, sinar-X dan ujian imbasan. Hasil daripada ujian-ujian ini akan menunjukkan tahap tindak balas barah terhadap rawatan kemoterapi.



Kadangkala pelan rawatan perlu diubah berdasarkan keputusan ujian kerana ada masanya rawatan yang diberikan tidak memberi kesan.



Pesakit digalakkan mengambil ubat penahan muntah sebelum mendapatkan rawatan kemoterapi.



KESAN SAMPINGAN



Sesetengah pesakit mungkin menghadapi masalah seperti sembelit atau cirit-birit (setelah diberikan rawatan kemoterapi).



Keguguran rambut adalah disebabkan kesan sampingan sementara ubat pada rambut. Namun, tidak semua ubat kemoterapi menyebabkan keguguran rambut.



Kemoterapi boleh memberi kesan sementara atau kekal kepada kesuburan pesakit. Pesakit wanita mungkin menghadapi kitar haid tidak teratur atau putus haid tetapi keadaan ini bersifat sementara.



Walaupun kebarangkalian hamil menurun berikutan rawatan kemoterapi, masih ada pesakit wanita yang hamil setelah tamat rawatan.



Bagi pesakit lelaki, rawatan kemoterapi boleh mengurangkan jumlah penghasilan sperma. Kesan sampingan ini boleh bersifat sementara atau kekal.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >