APA yang bermula sebagai kerja sambilan selama setahun di McDonald's setelah menjalani Perkhidmatan Negara (NS), telah mencetuskan minatnya dalam bidang hospitaliti.
Walaupun pekerjaannya itu dalam bidang makanan dan minuman (F&B), tugasnya memerlukannya menyelam dunia perkhidmatan pelanggan.
Encik Mustafa Syed Ahmad sentiasa bersedia melakukan lebih daripada yang diperlukan bagi kemudahan pelanggan.
Kini sebagai pekerja di Hotel Crowne Plaza Lapangan Terbang Changi, Encik Mustafa sering dipuji ramai atas perkhidmatannya yang cemerlang.
Antara tindakannya yang telah menerima pujian adalah apabila beliau membantu seorang tetamu berkerusi roda yang kelihatan resah di lobi hotel itu.
"Saya kemudian diberitahu bahawa individu itu ingin mengecas bateri kerusi rodanya. Tanpa berlengah, saya cuba mencari suis dan membantu beliau lakukan apa yang perlu, walaupun bukan tetamu hotel. Pada saya, jika seseorang perlukan bantuan, saya sedia hulurkan bantuan," ujar penyelia berusia 38 tahun itu kepada Berita Harian baru-baru ini.
Dengan ketulusan hati Encik Mustafa yang selalu ingin membantu, beliau diberi Anugerah Perkhidmatan Emas di majlis Anugerah Baik Budi Kebangsaan 2022 anjuran Gerakan Baik Budi Singapura (SKM) dan Persatuan Hotel Singapura (SHA).
Beliau merupakan antara 99 penerima daripada 57 hotel yang menyertai.
"Memenangi anugerah ini adalah satu penghormatan dan saya gembira kerja saya telah diiktiraf," kata Encik Mustafa, yang telah bekerja di hotel itu selama lapan tahun.
Mengulas kepentingan anugerah itu, Encik Mustafa berkata: "Anugerah ini penting kerana ia menjadikan satu galakan pada diri saya untuk terus bekerja dengan lebih baik. Ia juga memberikan harapan dan motivasi kepada saya serta rakan kerja bahawa pekerjaan dalam industri ini masih relevan."
Menurut Encik Mustafa, sifat berbaik budi adalah satu keperluan dalam bidang hospitaliti.
"Ini kerana kami harus memastikan tetamu hotel sentiasa mempunyai pengalaman yang baik semasa penginapan mereka," tambah beliau.
Encik Mustafa akur bahawa pekerjaan di hotel bukannya mudah.
"Pekerjaan perkhidmatan pelanggan sedemikian memerlukan minat kerana ia tidak mudah. Sebelum membuat keputusan untuk mengejar kerjaya dalam bidang ini, seseorang individu perlu melihat jangka panjang jika mereka rasa dapat bertahan.
"Dalam pada itu, saya juga menggalak generasi muda untuk cuba menceburi bidang ini. Walaupun sukar, ia sesuatu pekerjaan yang memuaskan jika anda minat perkhidmatan tetamu," ujar beliau.
Selain itu, Encik Mustafa menceritakan bahawa sebelum menceburi bidang hospitaliti, beliau telah melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam bidang elektronik dan kemudian pengurusan sukan.
Namun, katanya, bidang yang dipilih tidak rasa lengkap dan memuaskan.
Justeru itu, pada usia 27 tahun, Encik Mustafa meneruskan pembelajaran diploma dalam pengurusan hotel dan hospitaliti.
"Sejak kecil, ibu bapa saya sering memberi nasihat agar cari pekerjaan yang saya minat sepenuhnya. Mengikuti nasihat mereka itu, kerjaya saya kini sesuatu yang saya minati dan ia menjadi satu sumber kegembiraan bagi saya," katanya.
"Walaupun perjalanan pembelajaran saya mengambil masa yang lebih lama, saya tidak menyesalinya kerana akhirnya saya mengejar minat saya," tambah beliau yang bersyukur mempunyai keluarga dan isteri yang amat menyokong kerjayanya itu.
"Pekerjaan perkhidmatan pelanggan sedemikian memerlukan minat kerana ia tidak mudah. Sebelum membuat keputusan untuk mengejar kerjaya dalam bidang ini, seseorang individu perlu melihat jangka panjang jika mereka rasa dapat bertahan. Dalam pada itu, saya juga menggalak generasi muda untuk cuba menceburi bidang ini. Walaupun sukar, ia sesuatu pekerjaan yang memuaskan jika anda minat perkhidmatan tetamu."
- Encik Mustafa Syed Ahmad, penyelia di Hotel Crowne Plaza Lapangan Terbang Changi.