Tidak mudah mencipta nama dalam persada seni Singapura yang banyak saingannya khususnya apabila seseorang itu masih hijau dan memerlukan bimbingan. Tiga puteri seni yang baru bertapak mencorak kerjaya muzik dalam tempoh pandemik Covid-19 ini berkongsi pengalaman mereka. BERITA HARIAN melaporkan.
KEMBALINYA bakat Singapura, Nertasha, dalam bidang nyanyian setelah mengambil keputusan menggantung mikrofon lima tahun lalu bukan dirancang.
Si manis yang kini berusia 25 tahun itu hanya meminjamkan suara emasnya kepada demo lagu regeton, Me Gusta, yang dinyanyikan rapper Singapura, YK, untuk pendengaran label rakaman Map Music di Malaysia.
Tanpa diduga penerbit di seberang Tambak berkenan dengan vokal Nertasha walaupun sudah ada artis wanita di sana menyanyikan bersama lagu tersebut.
Sejak peristiwa itu, Nertasha, yang nama sebenarnya Nurtasha Nabilla Sallahudin, didorong agar giat semula dalam bidang seni dan tidak sesiakan bakat menyanyi yang dipupuk sejak kecil.
Baru-baru ini, beliau muncul pula dengan lagu solo pertamanya, Mi Amor, yang dicipta Amyr Abadawn dengan lirik hasil ilham Nertasha sendiri.
Mi Amor, perkataan Sepanyol bermaksud 'Sayangku', berirama regeton yang diadun dengan genre pop dan muzik tarian Sepanyol, flamenco.
Jalan cerita lagu ini bak sambungan lagu Me Gusta dengan gadis dalam lagu ini masih belum pasti ingin menjalin cinta dengan jejaka yang ingin memikatnya.
Namun, dalam Mi Amor, gadis itu mula terpaut hati dengan si teruna dan tertanya-tanya di manakah dia berada?
Dengan lagu ini, yang turut disertakan cabaran TikTok yang mampu menarik penyertaan warga Venezuela, Jerman dan United Kingdom dan seronok menari, apakah Nertasha sudah bersedia bergelar Puteri Regeton Singapura?
Katanya yang ditemui di Marina Bay Sands, baru-baru ini:
"Apabila bulatkan tekad ingin kembali menyanyi, saya beritahu penerbit dan penggubah lagu, Abang Amyr, saya inginkan satu kelainan dan kesegaran pada irama yang saya bawa.
"Walaupun saya suka lagu-lagu perlahan Datuk Seri Siti Nurhaliza khususnya lagu 'wajib' saya berkaraoke, Jerat Percintaan dan Aku Bidadari Syurgamu (ada dalam senarai lagu kegemaran masa kini), saya tetap memerlukan lagu pengenalan yang rancak dan 'catchy' (mampu menarik perhatian).
"Jadi, saya boleh rancang gerak tari yang ligat untuk promosi di TikTok, sesuatu yang disenangi generasi muda. Alhamdulillah, koreografi diusahakan teman saya, seorang jurutari dengan baik. Saya sebenarnya segan nak menari tetapi kali ini, saya perlu keluar daripada zon selesa.
"Tapi taklah sampai nak nyanyi lagu regeton 24/7 (24 jam, tujuh hari) sepanjang kerjaya saya. Saya pun inginkan kerencaman. Malah, saya rancang single selanjutnya berentak perlahan."
Nertasha bersyukur apabila dansa yang dipaparkan dalam Mi Amor memikat anak muda di United Kingdom, Venezuela dan Jerman.
"Walau mereka tidak memahami bahasa Melayu, mereka menguar-uarkan lagu dendangan saya melalui dansa TikTok mereka. Ia satu usaha mengenalkan lagu Melayu ke peringkat antarabangsa secara tidak langsung menerusi TikTok," katanya.
Bagi membina jenama 'Nertasha', anak muda ini menggiatkan interaksi bersama penyokongnya di media sosial.
Beliau ingin rajin hasilkan video 'cover' lagu orang lain, membuat tinjauan rambang tentang muzik dan kehidupan dan menyediakan ruang buat pengikut bertanya soalan kepadanya menerusi Instagram.
"Dalam era baru, penyanyi pun perlu jadi pempengaruh sosial dan giatkan kegiatan di media sosial, lebih-lebih lagi dalam tempoh wabak Covid-19 dengan tidak banyak persembahan 'live' dibuat.
"Saya bersyukur bertemu Abang Olly Maguire dan Abang Amyr yang membantu saya memajukan kerjaya saya serta memberi tunjuk ajar dalam bidang nyanyian dan persembahan.
"Yang penting, sebagai bakat baru dan seorang wanita dalam bidang seni, kita pun perlu bekerja keras dan bentang strategi kita sendiri serta berhati-hati dengan siapa yang berurusan dengan kita," tambahnya.