Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Isu perkauman... bagaimana menghadapinya

Jun 26, 2021 | 12:00 AM



ISU perkauman di sini bukanlah sesuatu yang baru, dan insiden-insiden berbaur perkauman yang tular di media sosial kebelakangan ini bukanlah yang pertama dan besar kemungkinan bukan juga yang terakhir yang akan timbul dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Singapura.



Namun, yang penting, setiap individu dan juga sebagai sebuah masyarakat, kita perlu tahu bagaimana untuk menangani diskriminasi melibatkan kaum sekiranya berdepan dengan keadaan sedemikian.



Pensyarah kanan di Jabatan Kemanusiaan, Seni dan Sains Kemasyarakatan di Universiti Teknologi dan Rekaan Singapura (SUTD), Dr Nazry Bahrawi, berkata kejadian berbentuk perkauman adalah satu pengalaman yang mengejutkan bagi mereka yang menjadi mangsanya, dan boleh membuat seseorang rasa terasing.



"Untuk mengatasi keadaan sedemikian, ia amat membantu sekiranya individu itu mendapat perlindungan di tempat yang selamat, komuniti yang prihatin atau sekadar meluahkan perasaan dan pengalaman kepada seseorang yang boleh percayai, yang dapat mendengar tanpa membuat penilaian," kata Dr Nazry kepada Berita Harian (BH).



"Di platform media sosial, saya lihat semakin banyak komuniti yang prihatin terhadap kaum minoriti (dan isu-isu perkauman)," tambah beliau.



Dr Nazry menekankan pengalaman rasisme itu berbeza bagi setiap orang mengikut konteks dan lokasi, bahkan pengalaman individu.



Justeru, menurutnya, beliau berhati-hati untuk memberikan satu definisi yang tegas tentang bagaimana seseorang itu boleh dianggap rasis atau sama ada seseorang itu adalah mangsa perkauman.



Baru-baru ini, beberapa kejadian berbaur perkauman yang mula muncul satu-persatu telah menimbulkan keprihatinan dalam kalangan masyarakat sehingga mendorong beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dan Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, mengeluarkan kenyataan di media sosial bagi mengutuk perbuatan sedemikian.



Salah satu insiden melibatkan pensyarah Politeknik Ngee Ann (NP), Tan Boon Lee, yang dirakam di video yang tular di media sosial, menegur seorang lelaki India kerana mempunyai teman wanita berbangsa Cina.



Kejadian itu dipercayai bukan kali pertama Encik Tan, yang kini digantung daripada tugas, meluahkan sentimen rasis. Sejak video itu tular, beberapa bekas pelajarnya telah berkongsi pengalaman mereka mengenai beberapa insiden di mana beliau menghina agama Islam dan Kristian.



Selain insiden tersebut, turut tular ialah video di mana seorang wanita Cina dilihat mengganggu upacara keagamaan jirannya.



Dalam video itu, seorang lelaki India dilihat membunyikan lonceng dalam satu upacara keagamaan manakala wanita Cina itu pula memukul gong kecil dengan kuat dan mengganggu upacara itu.



Dakwaan kejadian perkauman juga berlaku di tempat kerja dengan baru-baru ini seorang wanita Melayu yang memohon kerja di sebuah prasekolah berprestij, MapleBear, ditanya dalam sesi temuduga jika beliau bersetuju untuk membuka tudung semasa bekerja bagi mematuhi kod seragam sekolah tersebut.



Setelah wanita itu memuat naik pengalamannya di media sosial, pihak pengurusan MapleBear menjelaskan prasekolah tersebut tidak mempunyai kod seragam sedemikian.



Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Facebook MapleBear itu, ia berkata mereka mempunyai beberapa guru dan kakitangan sokongan yang memakai hijab semasa bekerja di prasekolah.



Diminta mengulas, Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Kembangan-Chai Chee, Encik Fazlur Rahman Kamsani, akui beliau prihatin dengan insiden-insiden yang menghina bangsa dan agama yang berlaku dan kemudian tular di media sosial.



Beliau menekankan, memelihara keharmonian kaum merupakan usaha kolektif dan semua orang memainkan peranan untuk berusaha memahami satu sama lain dengan lebih mendalam sambil menolak sebarang bentuk sikap tidak toleransi.



"Ini adalah kejadian malang yang sebenarnya tidak mencerminkan bagaimana warga Singapura secara amnya menghargai kehidupan bersama kita yang aman dalam sebuah masyarakat inklusif. Kita perlu kekal bersatu dan menolak suara-suara yang tidak toleransi ini bersama," katanya.



Pemimpin masyarakat Sikh, Encik Malminderjit Singh, pula berpendapat insiden perkauman yang berlaku tidak seharusnya menjadikan masyarakat lebih sensitif kepada membincangkan isu-isu berkaitan kaum.



Malah, sebaliknya yang harus berlaku - lebih banyak perbincangan dalam sekitaran dan suasana selamat mengenai isu kaum perlu diadakan kerana ia penting untuk semua memahami perspektif dan isu-isu yang dihadapi setiap kaum.



"Sebab kaum adalah isu yang sangat emotif, kita perlu lebih banyak tempat selamat untuk orang rasa selesa berkongsi pandangan mereka tanpa diadili atau perlu meminta maaf. Tanpa tempat sedemikian, malangnya, media sosial kemudian menjadi wadah biasa dan ia adalah segalanya tetapi bukan tempat yang selamat," tambah beliau.



Meskipun akur isu perkauman yang timbul baru-baru ini wajar diberi perhatian, namun Encik Fazlur berkata Singapura beruntung kerana dapat menangani isu tersebut dalam kedudukan keharmonian kaum yang utuh.



"Kita tidak boleh membenarkan apa yang berlaku di tempat lain mengganggu perpaduan sosial dan kewujudan bersama kita yang aman," ujarnya.




Soalan: Apakah bahayanya jika kita mengambil ringan keharmonian kaum di Singapura?



Jawapan: Kita sudah melihat contoh dari negara-negara lain dan juga sewaktu tempoh awal pembangunan negara kita bahawa ketegangan kaum dan agama yang dipergunakan oleh kumpulan etnik atau agama telah melemahkan kepercayaan antara satu sama lain. Sekian lama, pemerintah telah menetapkan dasar dan program bagi memastikan masyarakat berbilang kaum dan agama kita dapat terus menikmati kehidupan bersama secara aman. Kita tidak boleh membenarkan sikap tidak toleransi dan kesangsian menjejas perpaduan kita.



S: Apa lagi yang perlu kita lakukan bagi memelihara keharmonian kaum di sini?



J: Dengan trend globalisasi, migrasi yang kian meningkat dan perkahwinan antara kaum, kita melihat lebih banyak kepelbagaian dalam kalangan masyarakat Singapura. Mengenal pasti bangsa dengan cara tradisional - iaitu Cina, Melayu, India dan lain-lain - juga menjadi tidak begitu jelas. Kemudian ada pula kejadian-kejadian di luar negara seperti Black Lives Matter dan pendedahan menerusi media sosial. Lebih ramai orang kini membincangkan dan berkongsi tentang kejadian perkauman dan sikap tidak toleransi agama. Oleh demikian, kita perlu berusaha lebih gigih untuk menangani salah tanggapan, stereotaip dan pada masa yang sama memupuk semangat muhibah yang lebih utuh untuk menggalakkan pemahaman dan hormat antara satu sama lain.



S: Bagaimanakah masyarakat boleh memainkan peranan untuk memahami agama dan budaya berbeza?



J: Untuk memupuk masyarakat Singapura yang lebih inklusif dan padu, kita perlu mendekati satu sama lain di luar zon keselesaan kita, iaitu mereka dari kumpulan agama dan etnik berbeza.



Kita beruntung memandangkan dalam negara sekular kita, dalam pemerintah memperjuangkan kebebasan beragama, ia tetap akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menghina agama lain atau penganutnya.



Kita juga tidak boleh membenarkan apa yang berlaku di tempat lain menjejas perpaduan sosial dan kewujudan bersama kita yang aman. Sebab itulah penting menyesuaikan amalan keagamaan kita dalam konteks Singapura.



Lebih banyak usaha boleh dilakukan untuk mengenali satu sama lain dengan lebih baik supaya kita boleh menggalakkan kepercayaan dan pemahaman antara satu sama lain. Selain dialog, kunjungan dan perayaan, kita perlu lebih banyak inisiatif masyarakat oleh pelbagai pihak berkepentingan lebih-lebih lagi dalam usaha mendekati belia. Kita juga boleh bekerjasama dalam kegiatan yang mempunyai minat kolektif seperti penjagaan sekitaran dan kemanusiaan melebihi bangsa dan fahaman.




Soalan: Apakah erti perkauman?



Jawapan: Terdapat beberapa definisi mengenai perkauman daripada cendekiawan yang menyorot isu-isu kaum tetapi satu yang saya dapati paling berguna ialah dari pakar sejarah Ibram X. Kendi yang merujuk perkauman kepada penyatuan dasar dan idea yang menghasilkan dan membiasakan ketidaksamaan kaum. Ibram ialah penulis buku How To Be An Antiracist.



S: Apakah jenis perkauman yang ada?



J: Perkauman santai atau casual racism berlaku pada seseorang ketika beliau menghadapi kata-kata atau tindakan lembut (subtle) dalam kehidupan seharian yang membiasakan ketidaksamaan kaum.



Mereka boleh muncul sebagai pujian yang bukan berbentuk pujian atau backhanded. Contohnya seperti "Bagi seorang Melayu, anda ni cantik ya".



Perkauman langsung atau direct racism dialami oleh seseorang atau kumpulan ketika mereka berdepan kata-kata atau tindakan jelas yang membiasakan ketidaksamaan kaum.



Sebagai contoh, satu catatan di Facebook pada 2012 oleh seorang pengguna berbangsa Cina yang mengatakan: "Orang Melayu harus keluarkan belanja bagi perkahwinan yang sebenar dan bukannya mengadakan perkahwinan mereka di kolong blok. Kalau begitu, barulah mungkin kadar perceraian mereka tidak begitu tinggi".



Perkauman sistemik pula merujuk kepada dasar, peraturan dan aspek pentadbiran awam yang menggalak ketidaksamaan antara kaum.



S: Bagaimana anda menganggap seseorang itu rasis?



J: Pengalaman rasisme berbeza mengikut konteks, lokasi dan bahkan pengalaman individu. Oleh itu, saya berhati-hati untuk memberikan satu definisi yang tegas tentang bagaimana seseorang itu rasis.



Saya berpendapat bahawa secara amnya ialah apabila seseorang individu telah bertindak atau berkomunikasi dengan cara yang membiasakan ketidaksamaan kaum.




Soalan: Apakah cabaran yang dihadapi golongan minoriti di sini?



Jawapan: Saya fikir ia penting untuk memahami bahawa minoriti di serata dunia akan berdepan beberapa cabaran - termasuk memastikan terdapat kesedaran yang mencukupi mengenai identiti dan aspirasi mereka serta memperbetulkan stereotaip dan salah faham.



Masyarakat minoriti di sini berdepan isu yang sama meskipun ia mungkin pada skala yang berbeza. Saya fikir apa yang membuat ia lebih mencabar bagi masyarakat India adalah tamparan xenofobia baru-baru ini yang menyilangi dengan identiti etnik, dan lantas isu kaum disatukan dengan rasa tidak selamat yang mungkin ada di antara kita dengan orang asing di sini.



Itu telah menambahkan kerumitan bagi masalah kaum bagi masyarakat India di sini.



S: Apakah antara detik yang anda tidak dapat lupakan dalam interaksi anda bersama bangsa atau mereka yang berbeza agama?



J: Sebagai seorang beragama Sikh, perkauman yang kami hadapi ada kalanya ketara dan agak tegas disebabkan prasangka, bias atau stereotaip yang ada pada lelaki beragama Sikh yang memakai serban dan berjanggut atau wanita beragama Sikh yang berambut panjang.



Antara perkara pelik yang pernah saya alami atau dengar adalah permainan gurauan apabila seseorang itu mencubit rakannya apabila mereka nampak seorang beragama Sikh yang berserban dan kemudian bertanya "What colour?"(Warna apa?) dan sebagainya.



Walaupun ia hanya gurauan, ia mengguris sentimen keagamaan orang Sikh. Apabila saya memberitahu mereka tentang tindakan mereka, saya kemudian sedar bahawa mereka tidak sedar yang tindakan mereka itu menyakitkan hati. Mungkin bagi orang-orang itu, mereka tiada niat jahat. Secara peribadi saya mendapati kejadian ini berkurangan sekarang berbanding beberapa tahun yang lalu.



S: Mengapa ada fikir ia penting untuk generasi masa kini mengekalkan keharmonian kaum dan tidak mensesiakannya?



J:Ini adalah teras utama kestabilan bagi masyarakat kita. Jika keharmonian antara kaum terancam, struktur sosial kita akan turut tertekan.



Oleh itu, saya fikir adalah penting untuk mengusahakan keharmonian kaum di Singapura dengan keadaan dan konteks kita sendiri dan tidak melihatnya dari sudut pandangan masyarakat lain.



Sebanyak mungkin ia mudah mencari persamaan, tetapi sebenarnya setiap masyarakat mempunyai konteks, cabaran dan keadaan yang sangat berbeza dan unik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >