Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Nurman pujuk isteri menerusi 'Wanita Terindah'

Lagu hargai kepentingan kaum Hawa sempena Hari Wanita Antarabangsa
Mar 08, 2021 | 05:30 AM



Di sebalik syahdunya sebuah lagu atau rancaknya irama, tersemat kisah peribadi si pencipta lagu atau penyanyi yang mendendangkannya. Dua bakat tempatan berkongsi tentang cerita sebenar yang mencorak tema lagu terbaru mereka. BERITA HARIAN melaporkan.




BAK lirik lagu P. Ramlee dan Saloma yang dijadikan runut bunyi filem Tiga Abdul, 'Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri...', perselisihan faham antara pasangan yang melayari bahtera rumah tangga memang tidak dapat dinafikan.



Perkara inilah yang mencetus ilham buat bakat Singapura, Nurman Aliman, 31 tahun, mencipta lagu permohonan maaf buat isterinya, Nor Aisyah Mat Amim, 29 tahun.



Lagu bertajuk Wanita Terindah itu merupakan single pertamanya yang berkumandang di wadah digital mulai semalam.



Secara kebetulan, ia merupakan hadiah dan penghargaan Nurman buat kaum Hawa sempena Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan hari ini.



Ketika dihubungi baru-baru ini, Nurman, bapa lima anak antara usia tiga bulan dengan sembilan tahun, berkata:



"Wanita Terindah ini merupakan lagu memujuk isteri dan meminta maaf kepadanya di atas segala salah faham antara kami.



"Setiap kali kami berbincang untuk menghurai pertelingkahan antara kami, barulah saya sedar secara tidak sengaja ada beberapa perkara yang saya terlepas pandang menyinggung perasaan isteri tersayang.



"Saya ingat perkara biasa yang tak mengguris hatinya."



Nurman merupakan jurulatih memandu bagi tentera baru yang ditugaskan mengendalikan kenderaan tentera.



Beliau mula menyanyi seawal usia lapan tahun. Pada ketika itu, Nurman menemani ayahnya ke sesi jamming dan sering melihat kesungguhan si ayah masuk bertanding dalam peraduan band atau menghiburkan tetamu majlis jemputan kahwin.



Beliau kemudian mengikut jejak ayahnya terlibat dalam band dan turut menyanyi secara solo di majlis kahwin.



Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi ketika menghasilkan lagu Wanita Terindah, beliau berkata ia lebih pada mencari perkataan yang lebih padat dan bersesuaian untuk dikenakan dengan irama dan tajuk lagu ini.



"Saya juga menujukan lagu ini buat semua kaum wanita. Saya ingin mereka tahu diri mereka dihargai dan dihormati kaum Adam seperti saya.



"Kami menjulang tinggi pencapaian dan pengorbanan mereka sebagai ibu, isteri, kakak, adik, anak atau sahabat kami.



"Tak sangka apabila saya menghasilkan lagu ini, tarikh terbitannya di platform digital jatuh pada hujung minggu di mana Hari Wanita Antarabangsa bakal diraikan," jelasnya lagi.



Nurman kini terdorong mencipta lebih banyak lagu bukan buat dirinya sahaja, malah bagi bakat muda yang ingin melibatkan diri dalam bidang muzik.



Jika berkesempatan, beliau juga ingin bekerjasama dengan penyanyi dan penggubah lagu Singapura pada masa hadapan.



"Saya banyak meraih inspirasi daripada penyanyi balada berkarisma yang melantunkan lagu My Baby You, Marc Anthony.



"Suaranya lunak. Feel setiap lagu yang didendangkan juga meresap ke sanubari kita yang mendengar.



"Pada masa yang sama, saya juga terpegun degan kebolehan bakat tempatan, Taufik Batisah dan Awi Rafael.



"Bagi saya, ciptaan lagu dan gaya nyanyian mereka bermutu," kongsinya.



Muzik adalah terapi penenang jiwa buat Nurman kerana hatinya menjadi damai setiap kali mendengar muzik atau berkarya.



"Segala masalah terlerai di samping muzik menjadi wadah luahan masalah harian yang dihadapi. Semua yang memenuhi benak akan saya lontarkan dalam lagu yang dicipta," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >