Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pandemik jadikan ikon tari Som Said 'super canggih'

Jul 12, 2021 | 05:30 AM



PADA usia 70 tahun, ikon tarian tradisional Melayu Singapura, Cik Som Said, masih bersemangat mempelajari ilmu pendigitalan, apa lagi dalam keterbatasan sekatan pandemik Covid-19, meskipun akur ia tidak semudah mana.



"Kalau bikin Zoom berkali-kali tu, anda sama ada tak nampak muka saya dan hanya dengar suara atau hanya nampak muka tetapi suara saya tidak kedengaran kerana faham-fahamlah... selalu ada sahaja kesilapan teknikalnya.



"Bayangkan, cuba 18 kali, barulah saya dapat kendalikan mesyuarat Zoom dengan rakan-rakan seni di peringkat setempat atau antarabangsa mahupun mengajar pelajar Sekolah Seni Singapura (Sota) melalui kaedah serba baru ini," jelas pengasas kumpulan seni Sri Warisan Performing Arts ini.



Lantaran itu, apabila melihat dirinya wujud dalam bentuk holografik kuasi (seakan-akan) tiga dimensi (3D) di pameran penerokaan tarian tradisional Singapura, Routes, di Pusat Seni Stamford baru-baru ini, beliau cukup kagum.



"Awalnya, apabila 'disunting' bagi projek Majlis Seni Kebangsaan (NAC) ini, saya tak tahu apa nak jangka. Tak dapat bayangkan apa akan jadi pada rakaman video saya atau gambar yang saya berikan kepada penganjur.



"Anak saya, Adel Dzulkarnaen Ahmad, cuba terangkan tentang kesan 3D dan bagaimana pengunjung pameran akan terasa ibarat saya atau penari yang kami tampilkan ada di depan mata mereka.



"Jika ini arah tuju teknologi kita dalam mengekalkan warisan tradisi sebagai bahan arkib sejarah tarian tradisional pelbagai kaum, saya rasa berbesar hati dapat terlibat dalam Routes.



"Dengan segala keterbatasan menonton lebih banyak persembahan tarian di ruang awam kerana Covid-19, maka ini satu inisiatif yang menarik dan membuka mata," tambahnya.



Memandangkan Routes turut mengetengahkan pengasas tarian India di Singapura, Cik Santha Bhaskar dari Bhaskar's Arts Academy, dan pengarah artistik pengasas trup tari Singapore Hokkien Huay Kuan, Cik Lim Moi Kim, Cik Som bagaikan teringat persembahan Anekaragam Rakyat (kendalian Kementerian Kebudayaan) yang bermula pada 1959.



"Saya belum lagi terlibat secara aktif dalam tarian Melayu pada ketika itu. Namun, saya masih ingat bagaimana orang awam terdedah pada tarian tradisional semua bangsa menerusi Anekaragam Rakyat yang dibawa ke Kebun Bunga, Padang dan balai rakyat. Macam roadshow," jelasnya.



Dalam pameran Routes, Cik Som membuka selingkar kisah bagaimana beliau bermula dalam bidang tarian di Sriwana pada 1965, evolusi tarian Melayu dan apa yang dikekalkan sebagai lambang jati diri anak Melayu.



Beliau mengimbas balik tarian lama yang bersejarah dalam mencari identiti tarian Melayu Singapura seperti Singapura Dilanggar Todak, Restu Keluarga dan Tanggang.



"Seawal 1966, saya sudah mula menghasilkan reka tari saya sendiri. Bukan kerana saya bagus atau saya pandai. Dahulu, anggota 'senior' akan ajar yang baru.



"Kalau guru belum datang, saya biasanya tak nak duduk diam maka rajin ajak teman-teman berlatih. Dari situ, lama-kelamaan, saya ke depan, timba ilmu dan berkongsinya dengan ramai anak didik yang sesetengahnya sudah membuka kumpulan mereka sendiri.



"Apa yang saya tekankan adalah walau semaju mana pun atau semoden mana pun idea cipta tari kita, jangan lupa kekalkan yang asas atau tradisi serta tidak menganggapnya kolot," ujarnya.



Beliau juga gembira Adel dan pasukannya bersiap sedia mengharungi era pendigitalan dengan membuka studio digital dan perpustakaan sumber yang menampung foto dan video persembahan silam.



Setiap penggiat Sri Warisan juga membangun sudut Zoom di rumah masing-masing bagi keperluan mengendalikan kursus atau latihan dalam talian.



"Dahulu, kami gigih mengembara ke luar negara bagi pesta seni. Kini segalanya dibuat secara maya dan menuntut mutu perfileman yang tinggi. Banyak lagi yang perlu Sri Warisan pelajari. Tiada keluhan. Kita tenang-tenang sahaja kerana banyak hikmah di sebalik pandemik ini," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >